PELAJAR TAHFIZ PERLU DIPERSIAP BERDEPAN ISLAMOFOBIA – PM ANWAR

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu golongan pelajar huffaz dipersiapkan dengan ajaran Islam yang sebenar bagi berdepan kelompok Islamofobia dan pihak yang menanam kebencian menerusi Islam di negara ini.

Beliau berkata hal ini kerana agama Islam di negara ini berada dalam persimpangan disebabkan kelompok itu yang mencemarkan kesuciannya.

“Sebab itu anak-anak (huffaz) sekalian terus tumpu dalam amalan kita. Yakin bahawa masa depan kita cemerlang. Tetapkan pendirian bahawa mesej Islam ini mesej kebenaran, risalah Islam ini risalah keadilan, menyatukan dan penuh dengan rahmah dan kasih sayang, ini yang harus kita tetapkan.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Himpunan 24K Huffaz di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Mengenai Himpunan 24K Huffaz, beliau menyifatkan majlis berkenaan sebagai satu platform yang bermakna dan ikhtiar bagi mengumpulkan para huffaz serta menanam semangat cintakan al-Quran.

Anwar berkata malah Kerajaan MADANI turut mementingkan masa depan pelajar tahfiz dengan memberi lebih banyak peluang kepada mereka untuk menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan kerjasama semua kementerian.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar.

Majlis Himpunan 24K Huffaz mengumpulkan lebih 24,000 huffaz dari seluruh negara antaranya pelajar dan guru tahfiz serta alim ulama dari 1,500 madrasah tahfiz al-Quran yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA).

Himpunan berkenaan dicetuskan semula oleh Ahmad Zahid yang mahu meletakkan agenda pengislahan generasi masa hadapan dengan mengutamakan pendidikan al-Quran sebagai asas penting.

Objektif lain Himpunan 24K Huffaz bertemakan ‘Huffaz Tonggak Modal Insan Negara’ itu ialah bagi memartabatkan al-Quran, mengukuhkan silaturahim, mendidik, menginspirasi serta memperkasakan generasi berasaskan nilai-nilai al-Quran untuk manfaat sosial masyarakat dan negara.

Scroll to Top