Kemajmukan Bukti Keunikan Malaysia

AL-QUR\’AN menyatakan sekiranya Allah berkehendak, niscaya manusia dijadikan-Nya satu umat sahaja, dengan satu bahasa, satu perangai dan ciri, sama keadaan fizikal dan gender, serta seragam iklim dan hawa; bahkan hanya satu waktu, generasi dan zaman. Tetapi sebaliknya Dia hendak menguji sama ada manusia ikhlas atau tidak kepada hikmah dan ilmu-Nya Pencipta kepelbagaian. Justeru wujud kepelbagaian keupayaan, cita-cita dan keinginan, profesion dan pekerjaan; dan manusia diseru agar berlumba-lumba berbuat kebajikan (al-Ma’idah, 5: 48), bukan merosakkan dan bermusuh-musuhan antara satu sama lain.

Kepelbagaian gender dan bangsa diberikan matlamat yang mulia dalam ayat universal (al-Hujurat, 49: 13): “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu sekaliannya dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Ukuran kemuliaan ialah ketaqwaan, yang terdiri daripada ilmu, akhlak, adab dan jasa membangun peradaban bangsa. Kuasa, harta dan keturunan bukan ukuran Islam. Dalam praktis Nabi dan para Sahabat Baginda, tidak wujud penganiayaan berdasarkan kaum kelahiran atau warna kulit. Bahkan sejarah merakamkan dengan tinta emas, bagaimana seorang Islam kaum Negro yang berhidung pesek mungkin sahaja untuk meraih taqwa, kemuliaan, dan kepimpinan, seperti Bilal bin Rabah.

Seorang bekas abdi berkulit hitam yang bernama Zayd bin Harithah pula telah dimerdekakan oleh Rasulullah, dan diambil sebagai anak angkat. Beliau satu-satunya Sahabat yang mendapat penghormatan namanya disebut secara langsung dalam al-Qur’an (al-Ahzab, 33: 37). Hasil perkahwinannya dengan Umm Ayman Barakah (juga seorang bekas hamba yang dimerdekakan), putera mereka Usamah bin Zayd dilantik Nabi menjelang kewafatan Baginda sebagai pemimpin angkatan tentera yang membariskan tokoh ternama seperti Abu Bakr, ‘Umar, Khalid, Abu ‘Ubaydah, Talhah, dan Zubayr.

Demikian pelaksanaan seruan dalam surah al-Nisa’ (4: 1): “Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari satu diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling berurusan satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”

Ayat tersebut memberikan panduan bahawa meskipun wujud kepelbagaian, namun masing-masing tetap ada tugas dan kewajiban kepada yang lainnya, berdasarkan kepada hakikat sifat kemanusiaan, sama-sama seketurunan dicipta-Nya daripada tanah daripada satu bapa dan ibu iaitu Adam dan Hawa’, sama-sama bersaudara abang kakak adik beradik, tanpa perlu membelakangkan orang yang berlainan warna kulit, berlainan kaum, berlainan bahasa, atau berlainan jantina.

Kewajiban kita adalah untuk saling kenal-mengenali, bahawa kesemua suku-kaum dan bangsa, individu lelaki dan perempuan, semua adalah satu keluarga manusia yang mulia, yang perlu saling hormat-menghormati, dan melindungi satu sama lain. Kita harus menghargai kesatuan manusia yang hakiki, yang lebih utama daripada perbezaan luaran. Perbezaan luaran hanyalah semacam label untuk memudahkan kita mengenal ciri-ciri dan sifat-sifatnya, bukan untuk melakukan kezaliman dan penganiayaan.

Menurut Sejarah, negara kita Malaysia terletak dalam kawasan yang dahulunya adalah sebahagian daripada kerajaan Alam Melayu-Islam sebelum zaman Penjajahan Kuasa-Kuasa Barat seperti Portugis dan Belanda. Mulai akhir abad ke-18 hingga 19, kita dijajah oleh Inggeris (oleh Jepun antara tahun 1942-1945). Dasar utama Inggeris adalah menggalakkan kedatangan kaum Cina dan India untuk bekerja di negara ini, sebagai pembekal  barangan keperluan atau komoditi kepada negara British dan negara-negara Barat yang sedang mengalami revolusi industri.

Apabila kita merdeka sebagai Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1957, dan dengan pembentukan Malaysia bersama Singapura, Sabah dan Sarawak dalam tahun 1963, maka negara kita sekarang ini mempunyai susunan atau komposisi kaum yang unik lagi istimewa. Bayangkan bahawa untuk tiap 10 orang di Malaysia terdapat 5 Melayu, 1 Bumiputera lain (seperti etnik Siam, Kemboja dan peribumi Sabah dan Sarawak seperti Iban, Kadazan-Dusun dan Bajau), 2 Cina, 1 India, dan 1 lain-lain.

Dari sini terbayang kepelbagaian bahasa: tahukah kita, bahawa warga Malaysia seluruhnya bertutur dalam sejumlah 137 bahasa hidup? Sementara bahasa kebangsaan berperanan menyatukan kita, Malaysia turut diperkayakan dengan bahasa Iban, Dusun, Tamil, dan pelbagai bahasa daerah selatan China seperti Hokkien, Hakka, Kantonis, Teochew, Fuchow dan Hainan.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berilmu” (al-Rum, 30: 22). Mari kita bersama syukuri, dalam naungan langit dan di persada bumi Malaysia, dalam kesungguhan mendaulatkan bahasa kebangsaan bahasa perpaduan, tiada bahasa dan bangsa yang dinafikan ruang dan peluang yang seadilnya.

Sebagai menghormati kepercayaan nan pelbagai, Perlembagaan Malaysia menjamin kebebasan beragama, sungguhpun Islam selaku agama yang paling ramai penganutnya merupakan agama bagi Persekutuan. Keamanan dan rukun-damai amat penting, kerana untuk tiap 10 warga Malaysia terdapat 6 orang Islam, 2 Buddha, 1 Kristian, dan 1 agama-agama lain, seperti Taoisme, Sikhisme, Jainisme dan pelbagai lagi. Keadilan dan kesaksamaan turut merangkum kepelbagaian dalam sistem kehakiman: Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah (berasaskan mazhab imam Syafi‘i), dan Mahkamah Anak Negeri di Sabah dan Sarawak.

Allah melarang kita daripada menghina objek-objek sembahan penganut agama lain, kerana akan menimbulkan kemarahan, dendam dan kedengkian, hingga mereka membalas dengan menghina Allah secara yang melampaui batasan permusuhan dan dengan ketiadaan pengetahuan (al-An’am, 6: 108). Jelas bahawa semangat mementingkan diri yang jahil, berpuak-puak dalam kezaliman, bermusuh-musuhan dan saling benci-membenci tidak layak wujud di bumi bertuah ini: selamat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia!

Rencana yang disiarkan ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri

Scroll to Top