Ibrah Pengorbanan

BULAN Zulhijjah adalah kurniaan Allah SWT terhadap seluruh hambanya yang beriman kepadaNya. Kehadiran bulan yang istimewa ini menandakan indahnya ajaran Islam yang di dalamnya terkandung fadhilat dan kurniaan pahala yang besar bagi umat yang beribadat kepada Allah SWT.

Dalam rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di radio IKIMfm hari Rabu jam 10 pagi, Ustaz Mohd Meeftah Anuar menjelaskan daripada hadis Riwayat Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini- iaitu 10 hari pertama Zulhijah. Para sahabat baginda bertanya: apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah?. Sabda baginda: tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun.”

Justeru, 10 hari terawal bulan Zulhijah adalah hari yang sangat istimewa. Buktinya Allah SWT berfirman dalam surah al-Fajr, ayat 1-5 disebut: “Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah SWT) dan bilangan yang genap serta ganjil dan malam apabila ia berlalu. Bukankah demikian itu mengandungi sumpah (yang diakui kebenarannya) oleh orang yang berakal sempurna?”

Imam al-Tabari mentafsirkan firman tersebut, “Wa Layaalin ‘Asyr” (dan malam yang sepuluh) bahawa yang dimaksudkan itu adalah malam sepuluh Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujah dari ahli tafsir.

Pentafsiran itu diperkukuhkan oleh Ibnu Kathir dalam menghuraikan ayat “Dan malam yang sepuluh” sebagai: “Hari 10 awal Zulhijah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan lebih dari satu ulama salaf dan khalaf yang menyatakan bahawa perkara itu juga dinyatakan dalam Surat Al-Hajj dengan perintah agar memperbanyakkan menyebut nama Allah SWT pada hari-hari tersebut.”

Dalam riwayat oleh Abu Musa al Madini dalam kitab ‘al Targhib wa al Tarhib’ menyebut: “Tidak ada hari yang lebih afdal di sisi Allah daripada 10 hari terawal bulan Zulhijah dan tidak ada malam yang lebih afdal daripada malam-malam 10 terawal bulan Zulhijah.”

Firman Allah SWT dalam surah al- Kauthar ayat 1-3 yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (Wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). (al-Kauthar: 1-3).

Sekiranya difahami maksud ayat di atas, segala nikmat yang diterima sama ada kebaikan yang banyak atau segala bentuk kelebihan yang dimiliki sewajarnya dizahirkan kesyukuran ke atas nikmat dan kelebihan tersebut dengan bersembahyang dan menyembelih korban untukNya.

Ini kerana ibadah korban yang disyariatkan khusus pada bulan tersebut dan berlakunya peristiwa perhimpunan berjuta-juta tetamu Allah di Mekah bagi menzahirkan kehambaan kepada-Nya pada tanggal 10 Zulhijjah. Sekali gus menandakan sambutan Hari Raya Aidiladha bagi seluruh umat Islam di dunia.

Pensyariatan ibadah korban bukan hanya sekadar melaksanakan aktiviti dan ritual keagamaan dengan penyembelihan binatang atau menunaikan haji di Mekah semata-mata. Namun maksud sebenar pensyariatan ibadah korban itu lebih luas.

Sangat indah ajaran Islam, Allah SWT menawarkan pelbagai pendekatan untuk umatnya amalkan dan seterusnya merupakan jalan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Ini semua merupakan erti dan nilai ketaatan hamba untuk persembahkan kepada Allah SWT.

Ibrah dari pengorbanan yang diperintahkan oleh Allah SWT dapat dilihat dari kisah Nabi Adam As. yang bersumber dari wahyu yang disampaikan kepada kedua putranya, seperti dinukil dalam tafsir Ibnu Katsir: \”Wahai anakku (Qabil dan Habil) hendaknya masing-masing diantara kalian menyerahkan korban, maka siapa diantara kalian berdua yang korbannya diterima Allah SWT dialah yang berhak menikahinva (Iklimah).\”begitu juga dari nukilan sirah lembaran pengorbanan Nabi Ibrahim dan anakandanya Nabi Ismail

Hakikatnya, hikmah pengajaran melalui peristiwa korban dari kedua kisah yang dinukilkan di dalam al-quran ini adalah nilai pengorbanan yang diterima Allah SWT adalah yang didasarkan atas keikhlasan dan ketaqwaan kepada-Nya, yaitu korban Habil yang berupa seekor binatang yang besar dan bagus. Sementara kurban Qabil ditolak karena dilakukan atas dasar hasud (kedengkian). Karana kebakhilannya, dia juga memilihkan binatang peliharaan yang kurus untuk dikorbankan.

Dalam melaksanakan ibadat kepada Allah taala, jangan terlalu berkira soal wang ringgit dan harta benda. Segala rezeki yang dimiliki adalah dari kurniaanNya. Justeru, jangan sesekali berkira dalam soal ibadat kepada Allah. Laksanakan setiap amalan kerana kecintaan dan ketaatan yang tinggi kepadaNya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 September 2017
\"\"
Scroll to Top