Keluarga Yasir

PADA suatu pagi subuh yang sangat hening, tiba satu kabilah yang datang dari Yaman ke Kota Makkah dan ketika Yasir bin Amir al-Kinani melihat binaan Kaabah yang tersergam indah, hatinya sangat gembira kerana matanya tidak pernah melihat Kaabah yang dimuliakan oleh bangsa Arab. Tujuan mereka ke Makkah bukanlah untuk berdagang dan berniaga, tetapi Yasir dan tiga orang saudaranya ke Makkah untuk mencari Harith, saudaranya yang hilang. Kisah ini menceritakan detik awal bagaimana Yasir telah ditakdirkan untuk berada di Kota Makkah. Menerusi segmen Hayatus Sahabah, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany menceritakan bagaimana Yasir dan keluarganya memeluk Islam serta akhirnya diseksa sehingga gugur syahid Yasir dan isterinya.

Selang beberapa hari mereka mencari saudaranya itu, namun tidak berjaya menemuinya. Maka akhirnya, dua saudara Yasir membuat keputusan untuk kembali ke Yaman. Manakala bagi Yasir, kota Makkah seolah-olah telah mempengaruhi jiwanya menyebabkan beliau telah bertekad untuk tinggal di Kota Makkah dan enggan meninggalkan Kaabah. Yasir ketika membuat keputusan tersebut, tidak pernah terlintas dalam fikirannya bahawa itu merupakan satu keputusan yang sangat tepat dan baik. Beliau juga tidak mengetahui bahawa satu hari nanti akan tercatat namanya di dalam lembaran sejarah.

Tidak dapat tidak bagi orang asing seperti Yasir, beliau perlu mencari pembelaan daripada ketua-ketua kabilah kerana mereka hidup dalam masyarakat yang tidak pernah memberi peluang kepada orang-orang lemah. Pada ketika itu, Yasir mendapatkan jaminan keamanan daripada Abu Huzaifah bin Mughirah al-Mahzumi, Ketua Kabilah Mahzum. Abu Huzaifah melihat Yasir merupakan seorang yang sangat baik, berbudi pekerti tinggi dan mempunyai kepintaran. Akhirnya Abu Huzaifah membuat keputusan mengahwinkan Yasir dengan Sumayyah binti Khibat, yang merupakan hamba sahaya kepada Abu Huzaifah.

Maka Yasir dan Sumayyah hidup dalam keadaan aman dengan jaminan keamanan daripada Bani Mahzum. Bertambah kegembiraan kedua pasangan ini apabila Abu Huzaifah bersetuju untuk memerdekakan Sumayyah. Mereka hidup dengan penuh kegembiraan dan Allah SWT menghadiahkan mereka kegembiraan yang sangat besar dengan dikurniakan cahaya mata yang diberi nama Ammar.

Tidak lama sesudah itu, pancaran keimanan telah mula terpancar di Kota Makkah. Baginda Nabi SAW telah tampil dan berdakwah kepada seluruh umat untuk memeluk agama Allah SWT. Baginda menyampaikan peringatan dan berita gembira kepada umatnya untuk memilih agama yang baik serta memilih kebaikan dunia dan akhirat. Ammar pada ketika itu yang telah meningkat remaja sangat asyik dan suka mendengar dakwah Rasulullah SAW yang sampai kepadanya melalui para sahabat yang lain. Pada satu hari beliau merasakan mengapakah beliau perlu mendapatkan berita mengenai Islam daripada orang lain sedangkan beliau boleh bertemu langsung dengan Baginda, maka mulalah Ammar mendekati Rasulullah SAW. Pada ketika itu, Baginda menyampaikan Islam secara rahsia di rumah Arqam bin Abi al-Arqam.

Saat kali pertama melangkah ke rumah tersebut, maka berbahagialah Ammar dapat melihat dan mendengar terus ucapan dakwah Baginda SAW akhirnya beliau menghulurkan tangan kepada Baginda lalu dilafazkan kalimah syahadah. Itulah detik bersejarah dalam hidupnya. Ammar kemudian kembali ke rumahnya dan berdakwah pula kepada ibunya, Sumayyah. Ibunya saat mendengarkan kata-kata dakwah Ammar, langsung memeluk agama Allah SWT. Kemudian, Ammar bertemu pula dengan bapanya, Yasir lalu beliau berdakwah kepada bapanya. Pada ketika itu jugalah, ayahnya memeluk agama Allah SWT. Maka, gembiralah seluruh kaum Muslimin pada ketika itu dengan Islamnya keluarga tersebut. Namun, apabila berita keislaman ini sampai ke pengetahuan Bani Mahzum, kumpulan yang memberikan jaminan keselamatan kepada mereka, maka kabilah itu bersumpah bahawa mereka akan pastikan ketiga-tiga orang pendatang ini akan kembali kepada agama nenek moyang mereka yang asal.

Apabila Bani Mahzum mengetahui ketiga-tiga orang ahli keluarga ini telah memeluk Islam, lalu ditangkap dan dibawa ke tengah-tengah padang pasir di saat terik panasnya mentari lalu ditanggalkan pakaian mereka dan kemudian dipakaikan baju besi kepada mereka. Mereka juga tidak diberikan air untuk menghilangkan dahaga mereka sehinggakan mereka pengsan. Kulit mereka juga terkoyak dek kerana melekat pada baju besi yang dipakaikan. Saban hari mereka diseksa sedemikian rupa sehingga mereka pengsan. Namun tidak sekalipun kata-kata kufur keluar daripada mulut Yasir dan keluarganya.

Sati hari ketika mereka bertiga diseksa, Rasulullah SAW melihatkan bagaimana seksaan itu dilakukan terhadap mereka, maka hancur luluh hati Baginda melihat keadaan ketiga-tiga sahabat ini. Maka terlontarlah daripada Baginda kata-kata yang sangat menggembirakan mereka “Besabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya telah dijanjikan syurga buat kalian”. Berita ini membuatkan mereka tenang dan gembira. Tidak lama sesudah itu,, ketika mereka diseksa, datang Abu Jahal memaki dan mencerca Sumayyah. Sumayyah kemudian menentang cercaan tersebut dengan kata-kata yang sangat menyakitkan hati Abu Jahal. Lalu Sumayyah ditikam pada bahagian rahim beliau sehingga tembus ke bahagian belakang. Maka akhirnya Sumayyah gugur syahid dan beliau merupakan orang pertama yang gugur syahid.

Begitu juga Yasir, sesudah isterinya dibunuh, Yasir terus diseksa sebagaimana rutin harian sehinggakan satu hari mereka memaksa Yasir meninggalkan agama Islam. Mereka mengikat kedua tangan Yasir pada kedua ekor kuda manakala kakinya pada kuda yang berlainan lalu sengaja mereka tusukkan besi panas kepada ekor kuda dan berlarilah dua ekor kuda tersebut ke arah yang bertentangan sehingga tercabut kaki dan tangan Yasir. Lantas gugur syahid Yasir. Ammar yang menyaksikan gugur syahid kedua orang tuanya itu, masih tetap tabah mempertahankan akidahnya sehinggalah satu hari Ammar dilepaskan lantas beliau segera bertemu Baginda SAW dalam keadaan yang sangat sedih. Lantas Baginda bertanya “Wahai Ammar, kedukaan apa yang sedang engkau tanggung dan keresahan apa yang sendang engkau bimbang?” Ammat menjawab “Ya Rasulallah, semalam aku diseksa oleh musuh-musuh Allah dengan seksaan yang aku tidak mampu lagi untuk menahannya. Sesungguhnya, semalam mereka telah menyimbah minyak ke tubuhku lalu mereka membakar seluruh tubuhku Ya Rasulallah sehingga aku tidak mampu menanggungnya dan terkeluar kata-kata kufur dan menghina engkau Ya Rasulallah”. Baginda lantas bertanya “Bagaimanakah hati engkau saat keluar katakata kufur itu?” Ammar menjawab “Ketika itu, hatiku tetap teguh dengan keimanan dan kekal kepercayaanku kepada Allah dan Rasul”. Maka Baginda SAW mengatakan “Sekiranya begitu, tidak ada masalah. Kamu tidak bersalah.”

Allah SWT memuliakan Ammar ini dengan menurunkan ayat 106, Surah Al-Nahl yang bermaksud “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman;…” Demikianlah kisah keluhuran iman dan kekuatan akidah Yasir dan keluarganya demi mempertahankan keimanan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 Mei 2017
\"\"
Scroll to Top