KUALA LUMPUR, 20 Nov (IKIM) – Kejayaan Malaysia dalam industri kewangan Islam bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya dibina atas asas ilmu, integriti dan kepakaran penasihat Syariah yang memandu arah pembangunan sektor tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata kepakaran para penasihat Syariah bukan sahaja memastikan setiap produk dan instrumen kewangan Islam mematuhi prinsip Syariah, malah berperanan sebagai pembimbing moral dan strategik yang mengekalkan keaslian sambil mendorong inovasi.

Berucap merasmikan Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam ke-18 di sini hari ini, Mohd Na’im berkata kepimpinan berwawasan, sistem tadbir urus kukuh serta institusi yang mantap telah mengangkat Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam sejak penggubalan Akta Perbankan Islam 1983.
Beliau berkata, Malaysia kini mencatat pencapaian kukuh termasuk perbankan Islam yang merangkumi 46.6 peratus daripada keseluruhan pembiayaan negara, pasaran modal Islam bernilai RM2.63 trilion atau 62 peratus daripada pasaran modal negara, serta penguasaan hampir 45 peratus terbitan sukuk global.

“Malaysia bukan sekadar mengikut arus dunia; kita membentuk hala tuju kewangan Islam global. Industri ini telah menjadi lambang inovasi, integriti dan keterangkuman,” kata beliau.
Muzakarah anjuran Centre for Research and Training (CERT) itu menghimpunkan pembuat dasar kanan, sarjana Syariah dan pemimpin industri bagi membincangkan inovasi peraturan, pendigitalan, kelestarian serta pematuhan Syariah dalam kewangan Islam.
Menurut beliau, Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk terus menerajui pasaran instrumen kewangan hijau seperti sukuk hijau, sukuk iklim dan pembiayaan berasaskan ESG, seiring permintaan global terhadap agenda kelestarian.
“Perubahan global adalah peluang untuk menjadikan kewangan Islam lebih dinamik, lestari dan inklusif. Dengan ilmu, nilai dan visi, Malaysia akan terus memimpin dunia dalam kewangan Islam,” tambah beliau.
Foto: FB Dato’ Setia Dr. Na’im




