KEISTIMEWAAN PUASA 6 BULAN SYAWAL

KEISTIMEWAAN PUASA 6 BULAN SYAWAL 

Tibanya bulan Syawal, semua umat Islam pasti tersenyum kegembiraan dalam meraikan bulan kemenangan ini setelah sebulan mengerjakan ibadah puasa wajib di bulan Ramadan. Kesemua daripada kita pasti akan merindui suasana bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan digandakan pahala amalan serta keberkatan dari Allah SWT.

Namun, berakhirnya bulan Ramadan, bukan bererti pengakhiran kita untuk tidak meneruskan ibadah puasa dan salah satunya yang dituntut adalah dalam mengerjakan ibadah puasa 6 di bulan Syawal. Banyak keistimewaan dan kelebihan yang dapat diperoleh sekiranya kita berusaha menunaikannya.

Berikut dikongsikan fadilat / kelebihan Puasa 6 di bulan Syawal menurut sumber rujukan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan JAKIM:

5 KELEBIHAN PUASA 6 PADA BULAN SYAWAL

1. Mendapat Ganjaran Pahala Seperti Berpuasa Setahun

Puasa merupakan salah satu ibadah yang mempunyai tempat yang tinggi di sisi Allah.

Oleh sebab itu, umat Islam digalakkan untuk melengkapkan puasa 6 pada bulan Syawal.

Memetik hadis riwayat Muslim yang dikongsikan oleh JAKIM :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Terjemahan:

Daripada Abu Ayyub al-Ansari RA, meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diiringinya dengan puasa (sunat) enam hari dalam bulan Syawal, itu adalah menyamai seperti berpuasa selama setahun.”

(Hadith riwayat Muslim, no. 1164, Abu Dawud, no. 2433, al-Tirmizi, no. 759, Ibn Majah, no. 1716, Ahmad, no. 22433 & 22454)

Menerusi hadis ini, puasa 6 juga dilihat sebagai tanda kasih sayang Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW dengan mengurniakan peluang untuk beroleh pahala berpuasa setahun jika puasa bulan Ramadhan dilengkapi dengan puasa enam hari di bulan Syawal.

Ibadah yang kita lakukan tak lain hanyalah bagi mendapatkan pahala serta keredaan Allah. Terdapat satu lagi hadis yang memberi gambaran tentang fadilat puasa enam hari pada bulan Syawal.

Berdalilkan satu riwayat hadis yang bermaksud: “Puasa Ramadan pahalanya menyamai berpuasa selama sepuluh bulan dan berpuasa enam hari daripada bulan Syawal menyamai puasa selama dua bulan. Maka ianya mencukupi setahun.”

(Hadith riwayat Ahmad, no. 21378, Ibn al- Khuzaimah dalam sahihnya, no. 2115, al-Darimi, no. 1755, al-Baihaqi dalam sunan al-Kubra, no. 8230).

Tawaran ini hanya datang setahun sekali untuk kita merebut pahala berpuasa sebulan pada bulan  Ramadan dan 6 hari pada bulan Syawal.

Menurut perkongsian dari JAKIM, ulama terkemudian dalam Mazhab Syafie seperti al-Khatib al-Syarbini dan Imam al-Ramli, orang yang menunaikan puasa lain seperti qadha’, nazar atau puasa sunat Isnin Khamis selama enam hari dalam bulan Syawal turut memperolehi pahala puasa sunat Syawal.

Oleh itu, bulan Syawal ialah bulan yang digalakkan bagi kita untuk mengerjakan puasa seperti puasa sunat, nazar atau qadha’.

2.Menampung Kekurangan Puasa Ramadan

Antara kelebihan puasa 6 adalah ia merupakan peluang untuk kita menampung kekurangan puasa Ramadan yang terdahulu.

Dalam menjelaskan mengenai perkara ini al-Imam Ibn Rajab menjelaskan:

أن صيام شوال وشعبان كصلاة السنن الرواتب قبل الصلاة المفروضة وبعدها فيكمل بذلك ما حصل في الفرض من خلل.

“Sesungguhnya puasa enam dan puasa syaaban adalah seperti amalan solat sunat rawatib sebelum dan sesudah solat fardu. Amalan sunat ini menampung kekurangan yang ada pada amalan fardu tersebut sekiranya berlaku kelompongan pada amalan fardu.” (Lataif Maarif)

3. Meneruskan Momentum Ibadah Ramadan

Selain itu, kita juga amat digalakkan untuk berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal untuk meneruskan momentum amal ibadah yang telah dilakukan pada bulan Ramadan.

Kebanyakan dari kita amat bersemangat untuk melakukan amal ibadah ketika bulan Ramadan, dan berjaya melawan nafsu untuk menggandakan amalan berbanding bulan-bulan lain.

Untuk membantu mengekalkan momentum tersebut, puasa 6 dapat melatih jiwa kita untuk tetap konsisten dalam tetap mengerjakan amalan sunat.

4. Menjadi Pelengkap Ibadah Fardu

Seperti yang dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Kerajaan Negeri Perak, YB Ustaz Mohd Akmal Kamarudin, kita sebagai hamba-Nya yang lemah sentiasa berharap supaya amalan sunat yang dilakukan dapat menjadi pelengkap kepada amalan-amalan fardu yang mempunyai kekurangan.

Bertepatan dengan hadis Qudsi :

إنَّ أوَّلَ ما يحاسبُ النَّاسُ بِه يومَ القيامةِ من أعمالِهمُ الصَّلاة قالَ يقولُ ربُّنا جلَّ وعزَّ لملائِكتِه وَهوَ أعلمُ انظروا في

صلاةِ عبدي أتمَّها أم نقصَها فإن كانت تامَّةً كتبت لَه تامَّةً وإن كانَ انتقصَ منها شيئًا قالَ انظُروا هل لعبدي من تطوُّعٍ فإن

كانَ لَه تطوُّعٌ قالَ أتمُّوا لعبدي فريضتَه من تطوُّعِه ثمَّ تؤخذُ الأعمالُ علَى ذاكُم

Terjemahan : “Sesungguhnya amalan pertama yang dihitung bagi manusia di Hari Kiamat ialah solat. Baginda S.A.W bersabda, Allah S.W.T berfirman kepada para malaikat-Nya sedang Dia lebih mengetahui: Lihatlah pada solat hamba-Ku ini adakah ia telah disempurnakan atau masih ada kurang? Sekiranya sudah sempurna, tulislah sempurna. Sekiranya masih ada kurang, FirmanNya: Lihatlah adakah ada pada hamba-Ku itu amalan-amalan sunat. Sekiranya ada, FirmanNya: Sempurnakanlah bagi hamba-Ku itu amalan fardunya dengan amalan sunatnya, kemudian dikira amalan-amalan dalam keadaan itu.”

(Riwayat al Hakim)

5. Allah Menjanjikan Syurga Buat Yang Rajin Berpuasa

YB Ustaz Mohd Akmal Kamarudin turut menjelaskan ganjaran syurga buat umat Islam yang rajin berpuasa bagi mengejar keredaan Allah. Sepertimana hadis Nabi Muhammad S.A.W, terdapat pintu syurga yang telah dikhususkan iaitu Ar-Rayyan buat hamba Allah yang melazimkan ibadah puasa.

مَن أَنفَقَ زوجَينِ في سبيلِ اللهِ، نودِيَ من أبوابِ الجنةِ: يا عبدَ اللهِ هذا خيرٌ، فمَن كان من أهلِ الصلاةِ دُعِيَ من بابِ الصلاةِ،

ومَن كان من أهلِ الجهادِ دُعِيَ من بابِ الجهادِ، ومَن كان من أهلِ الصيامِ دُعِيَ من بابِ الرَّيَّانِ، ومَن كان من أهلِ الصدقةِ

دُعِيَ من بابِ الصدقةِ . قال أبو بكر رضي الله عنه : بأبي انت وأمي يا رسول الله ما على من دعي من تلك الأبواب من

ضرورة ، فهل يدعى أحد من تلك الأبواب كلها؟ قال : نعم وأرجو تكون منهم.

Terjemahan : “Sesiapa yang membelanjakan harta di jalan Allah, dia akan dipanggil daripada pintu syurga: Wahai hamba Allah ini adalah kebaikan untukmu. Sesiapa yang sentiasa mendirikan solat, dipanggil daripada pintu solat. Sesiapa yang berjihad, dipanggil daripada pintu jihad. Sesiapa yang berpuasa, dipanggil daripada pintu ar-Rayyan. Sesiapa yang bersedekah, dipanggil daripada pintu sedekah. Saidina Abu Bakar R.A berkata: Demi ibu dan ayahku wahai Rasulullah S.A.W. Mereka yang dipanggil daripada pintu-pintu tersebut tidak lagi memerlukan kepada apa-apa. Apakah akan ada seseorang yang dipanggil dari semua pintu. Jawab Baginda S.A.W: Ada, aku mengharapkan engkau termasuk di kalangan mereka.”

Bulan Syawal juga dilihat sebagai kayu ukur sama ada amalan pada bulan Ramadan berjaya memberi kesan pada hati dan perbuatan kita.

Sekiranya kita masih mengekalkan rutin ibadah sama seperti dalam bulan puasa, bererti kita telah berjaya mencapai matlamat sebenar bulan Ramadan itu sendiri, iaitu sebagai bulan latihan bagi umat Islam dalam mengutamakan ibadah kepada Allah berbanding perkara lagha.

Oleh itu, sementara kita punya masa dan ruang setiap kehidupan ini, janganlah kita melepaskan peluang untuk meraih pahala puasa enam yang hanya datang setahun sekali.

PUASA 6 PERLU DILAKUKAN SECARA BERTURUTAN ATAUPUN BOLEH DIPISAHKAN?

Dalam kita melaksanakan puasa 6 di bulan Syawal, akan wujud persoalan mengenai adakah puasa 6 perlu dilakukan secara berturutan ataupun boleh dipisahkan?

Menerusi perkongsian di laman rasmi fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, antara amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya Syawal adalah dengan melakukan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Ia thabit dari perbuatan Nabi SAW yang mana di dalam hadis ada menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ia bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.

Riwayat Muslim (1164)

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis di atas menyebut bahawa hadis ini menjadi dalil bagi mazhab Syafi’e, Hanbali dan juga Daud (al-Zahiri) bahawa disunatkan untuk berpuasa enam pada bulan Syawal manakala fadhilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang lain yang mana menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda (أَنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا  )[1].

Adakah Puasa 6 Perlu Dilakukan Secara Berturutan?

Setelah mengetahui akan pensyariatan puasa sunat enam Syawal beserta fadhilatnya, timbul juga persoalan mengenai adakah puasa yang enam itu perlu dilakukan secara berturutan ataupun boleh dilakukan secara berasingan.

Mengenai persoalan di atas, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ ada menyebutkan: “…dan disunatkan untuk berpuasa secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa 6 hari secara berturutan) ataupun diakhirkan puasa tersebut di dalam bulan Syawal, maka ianya dibolehkan…”[2]

Al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni menyebutkan mengenai permasalahan ini seperti berikut: “…tidak ada bezanya (menjadikan puasa tersebut) dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan samaada di awal Syawal ataupun diakhirnya kerana hadis menyebutkannya secara mutlaq tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain…”[3]

Berdasarkan pendapat-pendapat yang terdapat di dalam isu ini, kami katakan bahawa isu ini ada fleksibilitinya yang tersendiri iaitu puasa 6 boleh dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan. Diawalkan ataupun dilewatkan selagi mana masih berada di dalam bulan Syawal. Ia tidak menjadi masalah.

Di dalam kemeriahan kita menyambut Syawal, sudah pasti akan ada jemputan dari sanak saudara juga rakan taulan untuk menghadiri rumah terbuka, kenduri dan sebagainya. Maka ia tidak menjadi masalah serta penghalang untuk menunaikan puasa 6 Syawal kerana terdapat fleksibiliti di dalam kaifiat menunaikannya. Alangkah baiknya jika kita dapat menghimpunkan dua kebaikan dalam bulan Syawal ini, satunya dengan berpuasa enam dan keduanya dengan menghubungkan silaturrahim sesama kita.

Berikut disertakan cara lafaz Niat Puasa 6 untuk rujukan bersama:

LAFAZ NIAT PUASA 6

Berikut adalah Niat Puasa 6:

نَوَيتُ صَوْمَ غَدٍ عَن سِتَّةٍ مِنْ شَوَّالٍ سُنَّةً لِلَّهِ تعَالى

Maksudnya: “Sahaja aku berniat puasa esok hari enam hari Syawal kerana Allah Ta’ala”

BOLEHKAH NIAT PUASA ENAM DAN PUASA GANTI SECARA SERENTAK?

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah:183)

Berbuka Puasa Di Bulan Ramadhan Tanpa Ada Sebarang Keuzuran

Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.

Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).

Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala  menyebut: “ (Dan demikian  lagi) orang yang tiada puasa  dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat syawwal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadhan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)

Isu Menggabungkan Dua Ibadat Dengan Satu Niat

Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :

Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub. Sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi jumaat tersebut pun terhasil. Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardhu atau solat sunat yang lain.

Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qadha atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada Bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.

Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha Bulan Ramadan dan niat puasa 6 pada bulan syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?

Gabung Niat Puasa Qadha Ramadhan Dan Puasa 6 Syawal

Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qada Ramadan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.

Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadh=an, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja. Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadhan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)

Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadhan dan qadha  di bulan Syawal, adakah berhasil qada puasa Ramadan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?

Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadannya walaupun dia gabung niat puasa qada Ramadannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)

Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)

Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qada puasa bulan Ramadan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini  kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu)  maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.

Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut. Hal ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim : “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat fardu atau solat sunat yang lain. (Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)

Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak. Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)

Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan syawal, puasa qada, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari A^syura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A—Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)

Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qada atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid.  ” (Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)

Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qada atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”

Walaupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna

Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdhal seseorang itu menjadikan puasa qada berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qada dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif. Namun begitu, menyegerakan qada puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.

Niat Gabung Puasa 6 Dan Puasa Ganti (Qada)

Cara lafaz niat bagi puasa ganti (wajib) dan puasa 6 yang digabungkan:

“Sahaja aku berniat puasa esok hari qada fardu Ramadan bersama puasa sunat enam hari bulan Syawal kerana Allah Taala.”

Sumber rujukan:

http://myhadith.islam.gov.my/index.php/bm/semua-mutiara-hadith/996-puasa-sunat-6-syawal

http://islam.gov.my/images/ePenerbitan/Panduan_Amalan_di_Bulan_Ramadhan.pdf

https://harakahdaily.net/index.php/2020/05/28/puasa-enam-dan-kelebihannya/

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1327-irsyad-al-fatwa-ke-120-adakah-puasa-6-di-bulan-syawal-perlu-dilakukan-secara-berturutan-ataupun-boleh-dipisahkan

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3458-al-kafi-1275-bolehkah-niat-puasa-enam-dan-puasa-ganti-secara-serentak

WhatsApp
Scroll to Top