Keistimewaan Kejadian Manusia

ANTARA tanda-tanda kekuasaan dan keesaan Allah SWT adalah kesempurnaanNya dalam penciptaan setiap kejadian di langit, dibumi dan di antara keduanya. Semuanya itu tidak diciptakan dengan sia-sia, kecuali dengan tujuan dan kebaikan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, yang bermaksud, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami , tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”. Surah Ali ‘Imran ayat 190-191].

Mengambil contoh kejadian batu, ia diciptakan dengan sifat yang keras dan dapat digunakan dalam membuat binaan yang kukuh seperti jalan, bangunan dan sebagainya. Contoh lain pula seperti pokok yang dijadikan unik dengan keutuhan dan boleh dibentuk dan dapat dimanfaatkan menjadi papan dan bermacam lagi kelebihan. Ringkasnya semua kejadian yang ada membantu manusia memperoleh kebaikan dan manfaat dalam meneruskan kehidupan dengan sempurna.

Merenung hakikat bahawa setiap kejadian itu tidak diciptakan dengan sia-sia, setiap dari kita perlu mencari makna  dan peranan tentang keberadaannya sebagai insan di dunia ini. Bahkan Allah SWT telah mengangkat darjatnya berbanding makhluk yang lain sebagaimana disebut di dalam Surah At-Tin ayat 4,  “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.

Sebagaimana disebutkan minggu lalu dalam Rancangan Suluh Budi oleh Dr. Mohd Farid Mohd Shahran,  istimewanya kejadian manusia itu adalah kerana aspek kerohaniannya. Tiga bentuk jiwa rohani iaitu yang pertama, jiwa tumbuhan, yang kedua jiwa kehaiwanan dan yang ketiga aqli atau jiwa ruh. Jiwa tumbuhan beerti ia memerlukan makan, tumbuh dan hidup sebagaimana sifat manusia. Kedua sifat iaitu jiwa kehaiwanan sebagaimana ia mampu bergerak dan mempunyai keinginan seperti nafsu syahwat dan sifat takut. Bahagian jiwa yang ketiga adalah jiwa aqli dan qalbu. Bentuk jiwa yang ketiga inilah penting diberikan perhatian khusus dalam mendidik jiwa manusia untuk kekal berakhlak dengan sifat yang terpuji dan menjadikan ia istimewa berbanding makhluk lain.

Allah SWT memberikan hawa nafsu kepada manusia dalam tiga jiwa itu tadi adalah supaya kehidupan manusia menjadi dinamik. Dengan nafsu seperti keinginan makan, seksual, emosi dan lain-lain akan membawa kepada cita-cita dan keinginan untuk mencapai matlamat hidupnya dan seharusnya mendorong agar berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan.

Namun nafsu perlu dikendalikan dan dikawal bukannya dituruti sepenuhnya seperti binatang yang tidak mampu mengendalikan nafsu. Ia perlu digunakan dan dikawal bagi tujuan yang betul dan baik. Semua nafsu yang ada dalam diri secara fitrah ini jika dijaga dan ditadbir dengan sifat sabar, iltizam dan istiqamah bakal melahirkan manusia yang berakhlak mulia.

Menjelaskan lagi berkenaan peradaban yang cemerlang, Dr. Mohd Farid memberitahu ulama sejak dahulu menyebut berkenaan perkara yang membezakan keistimewaan manusia dengan makhluk yang lain itu adalah sifatnya yang berakal. Manusia yang berakal akan mengenal dirinya dan akan sentiasa meletakkan sesuatu perkara  itu ditempat yang betul dan adil. Mereka tidak akan mudah terpesong dan tidak akan terjerumus ke lembah ekstrimisme dalam apa jua perkara.

Sebaliknya jika  potensi tersebut tidak digunakan, maka mereka akan mendapat penghinaan dan status yang tidak bernilai di hadapan Allah SWT. Di antara akibat kelalaian manusia adalah mereka diumpamakan oleh Allah SWT sebagai serupa dengan binatang atau makhluk lainnya yang lebih rendah.  Memahami firman Allah SWT  “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. Surah al-A’raaf: 179.

Kebanyakan manusia yang lalai itu diancam dengan azab neraka Jahannam disebabkan akal dan perasaan mereka tidak digunakan untuk memahami keesaan dan kebesaran Allah SWT dan meninggalkan perintah serta peranan sebagai khalifah Allah. 

Manusia yang dihina sebagai lebih rendah darjatnya daripada binatang ini adalah yang menjadi hamba kepada hawa nafsu, kerana tidak mampu menggunakan kelebihan akal dan hati dan seterusnya menjadikan mereka golongan yang berakhlak buruk. Justeru penting untuk sentiasa kita peka dalam mengemudi hawa nafsu agar tidak tergolong dari kalangan mereka yang berakhlak buruk dan hina di sisi Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 1 Mei 2018

 

WhatsApp
Scroll to Top