Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA PILAH, 30 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan susulan penemuan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji perlu dilaksanakan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak yang didapati melakukan penyelewengan.
Beliau berkata kerajaan komited memastikan segala isu yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan disiasat secara menyeluruh bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi penting umat Islam itu.
“Tabung Haji rugi berpuluh bilion. Bukan saya yang kata, tetapi Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja. Siapa yang salah biarlah disiasat. Saya sebagai Perdana Menteri telah mengamanahkan supaya siasatan dibuat secara telus, jangan cover lagi dah atau lindung sesiapa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang, Kuala Pilah, malam tadi.
Program Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan yang menghimpunkan ribuan masyarakat setempat bagi mengimarahkan majlis kerohanian yang turut dihadiri tokoh-tokoh agama termasuk Sheikh Khaleel Ismael Elias, Sheikh Mahmood Al Wosabi, Habib Nael Ben Taher, Angham Anisah.
Anwar berkata rakyat juga perlu menilai kepimpinan berdasarkan rekod integriti, kejujuran dan kemampuan mentadbir, bukannya dipengaruhi sentimen kebencian atau fitnah.
“Kalau ada pemimpin yang akhlaknya baik, bekerja kuat, tidak mencuri dan tidak menyalahgunakan kuasa, maka pertahankan mereka,” katanya.
Terdahulu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyatakan dapatan RCI menunjukkan isu yang dibangkitkan bukan sekadar melibatkan dakwaan penyelewengan, sebaliknya merangkumi campur tangan politik, kelemahan tadbir urus, konflik kepentingan, struktur pelaburan yang tidak berkesan serta keperluan memperkukuhkan mekanisme semak dan imbang.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan terus berusaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat meskipun negara masih berdepan cabaran ekonomi global dan kenaikan harga barangan import.
Menurutnya, kerajaan memperuntukkan sehingga RM16 bilion setahun bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain menanggung subsidi bahan api bagi mengurangkan beban rakyat.
Beliau berkata kerajaan turut melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam terbesar dalam sejarah negara, melibatkan tambahan perbelanjaan sebanyak RM18 bilion selepas lebih sedekad tiada semakan menyeluruh dibuat.




