Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA PILAH, 31 Julai (IKIM) – Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan menjadi platform menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW serta memperkukuh perpaduan ummah melalui pengisian kerohanian yang menghimpunkan masyarakat dari sekitar Kuala Pilah dan daerah berhampiran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata program itu bukan sekadar mengajak masyarakat memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, malah menjadi medium menyampaikan mesej kasih sayang, rahmah, keamanan dan kedamaian dalam mendepani cabaran semasa.

“Malam ini kita menganjurkan Program Kuala Pilah Berselawat. Alhamdulillah, kita menghimpunkan masyarakat sekitar Kuala Pilah dan daerah-daerah berdekatan untuk bersama-sama berselawat ke atas junjungan Baginda Rasulullah SAW. Bukan itu sahaja, kita turut menyelitkan tausiyah daripada para asatizah dan masyaikh yang menyampaikan pesanan serta panduan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata dalam suasana dunia yang berdepan pelbagai cabaran, masyarakat perlu terus dipupuk dengan nilai kasih sayang dan saling menghormati, selain memperkukuhkan ukhuwah sesama Islam serta keharmonian dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia.

“Para masyaikh mengingatkan kita supaya terus bersatu padu, memperkukuhkan kesatuan dan ukhuwah sesama Islam, di samping memelihara hubungan baik sesama warga negara Malaysia,” katanya.
Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bersama masyarakat yang memeriahkan program kerohanian berkenaan sehingga lewat malam.
Program yang berlangsung di Dataran Melang itu turut diserikan dengan pengisian tausiyah dan qasidah daripada Sheikh Khaleel Ismael Elias, Sheikh Mahmood Al Wosabi, Habib Nael Ben Taher serta Angham Anisah, yang mengajak masyarakat mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui selawat, zikir dan munajat.




