Akademi Dalam Industri Buka Laluan Kerjaya Sambil Bekerja dan Bergaji

KUALA LUMPUR, 31 Julai (IKIM) – Peluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi bukanlah laluan yang dapat dilalui oleh setiap anak muda. Ada yang terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana kekangan kewangan, manakala sebahagian lagi memilih untuk terus bekerja bagi membantu keluarga. Namun, bekerja tidak bermakna proses pembelajaran perlu terhenti.

Menyedari hakikat ini, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) memperkenalkan Akademi Dalam Industri (ADI) sebagai satu inisiatif yang menghubungkan dunia pekerjaan dengan pembangunan kemahiran. Program ini membolehkan peserta bekerja sambil mengikuti latihan dalam persekitaran industri sebenar, sekali gus memperoleh pendapatan dan sijil kemahiran yang diiktiraf.

Berbeza dengan pendekatan konvensional yang menekankan konsep belajar dahulu, bekerja kemudian, ADI mengaplikasikan konsep “Place and Train”. Peserta ditempatkan terus di syarikat untuk bekerja sebelum mengikuti latihan kemahiran secara berstruktur. Pendekatan berasaskan Work-Integrated Learning (WIL) ini memberi peluang kepada peserta mempelajari kemahiran sebenar mengikut keperluan industri.

Lebih menarik, peserta bukan sahaja menerima gaji, malah berpeluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3 melalui kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Laluan pembangunan kerjaya turut diperkukuh menerusi Diploma Profesional, Diploma Industri dan Ijazah Industri yang membuka ruang kepada peningkatan kompetensi serta pendapatan.

Inisiatif ini jelas membuktikan bahawa peningkatan kemahiran perlu bergerak seiring dengan peningkatan taraf hidup. Tenaga kerja yang memiliki kemahiran tinggi sewajarnya menikmati ganjaran yang setimpal, sekali gus menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan daya saing negara.

Program ADI terbuka kepada individu berumur 18 hingga 40 tahun dengan syarat asas mempunyai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Walaupun lepasan SPM menjadi sasaran utama, program ini turut memberi peluang kepada individu yang tercicir daripada sistem pendidikan untuk kembali membina masa depan melalui laluan kemahiran.

Sehingga kini, sambutan terhadap ADI amat memberangsangkan apabila lebih 54,000 bakat telah berdaftar di dalam portalnya. Daripada jumlah itu, kira-kira 12,000 peserta telah berjaya ditempatkan di syarikat untuk menjalani latihan sambil bekerja. Dalam tempoh pelaksanaannya juga, lebih 900 graduan telah berjaya menamatkan program dan memperoleh pensijilan yang diiktiraf.

Kejayaan ini turut didorong oleh penyertaan lebih 2,800 syarikat daripada pelbagai sektor termasuk syarikat multinasional, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sektor pembuatan, peruncitan, hospitaliti, logistik, pendidikan awal kanak-kanak serta perkhidmatan kesihatan.

Melalui ADI, latihan dilaksanakan dengan pendekatan 80 peratus pembelajaran di tempat kerja dan 20 peratus pembelajaran teori berdasarkan National Occupational Skills Standard (NOSS). Kaedah ini memastikan peserta benar-benar menguasai kemahiran yang diperlukan industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Selain memberi manfaat kepada pencari kerja, ADI turut menawarkan penyelesaian kepada majikan yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran. Syarikat berpeluang membentuk pekerja mengikut keperluan operasi masing-masing, manakala syarikat dalam sektor berimpak tinggi di bawah New Industrial Master Plan (NIMP) turut berpeluang menikmati insentif yang disediakan kerajaan.

Lebih penting, ADI bukan bertujuan menggantikan sistem pendidikan sedia ada, sebaliknya melengkapkan ekosistem pembangunan modal insan negara. Ia menyediakan pilihan kepada mereka yang ingin membina kerjaya tanpa perlu mengorbankan peluang untuk terus belajar dan meningkatkan kelayakan.

Dalam usaha memperkukuh daya saing ekonomi negara, pembangunan bakat tempatan perlu terus diperkasakan. Akademi Dalam Industri membuktikan bahawa tempat kerja juga boleh menjadi institusi pembelajaran yang mampu melahirkan tenaga kerja kompeten, produktif dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 serta ekonomi digital.

Bagi individu yang sedang mencari pekerjaan, ingin meningkatkan kemahiran atau majikan yang memerlukan tenaga kerja berkualiti, ADI menawarkan satu platform yang wajar dimanfaatkan. Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dibuat menerusi adi.gov.my atau melalui talian WhatsApp rasmi ADI di 013-668 8432.

Akademi Dalam Industri bukan sekadar membuka peluang pekerjaan, tetapi membina harapan baharu bahawa setiap rakyat Malaysia berpeluang meningkatkan kemahiran, memperkukuh kerjaya dan menikmati masa depan yang lebih sejahtera.

WhatsApp
Scroll to Top