Istighfar dan Doa Kunci Menuju Keharmonian Keluarga

DALAM sebuah keluarga yang bahagia, nilai toleransi, bertimbang rasa, kasih sayang, hormat menghormati dan kejujuran sewajarnya menunjangi kehidupan seharian ahli-ahlinya. Tidak lengkap jika setiap ahli keluarga hanya melakukan kerja sendiri tanpa mempedulikan ahli keluarga yang lain kerana sikap saling membantu bagai aur dengan tebing harus diamalkan dalam sesebuah keluarga. Sukar untuk dipercayai jika seseorang itu menyatakan  bahawa dia tidak mengimpikan keluarga yang bahagia lagi harmoni. Oleh itu, kita harus membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan itu kerana tanpa keluarga tidak mungkin kita akan menjadi insan yang berjaya dalam kehidupan.Dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang disiarkan di IKIMfm pada Isnin lalu,  Ustaz Muhamad Abdullah al Amin berkata selain daripada bersyukur, bertawakal serta menyambung tali silaturrahim ,  satu lagi amalan yang dituntut dalam membantu serta menguatkan lagi institusi kekeluargaan ialah dengan memperbanyakkan istighfar.

Apabila dilihat makna di sebalik ungkapan Istighfar , “Aku memohon keampunan dari Allah swt.”; dapat dilihat bahawa ungkapan tersebut  adalah suatu lafaz bertaubat dari dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh seorang hamba kepada Tuhannya. Jelas sekali bahawa lafaz yang sangat pendek itu  amat besar nilainya di sisi Allah swt iaitu sama besarnya dengan taubat seperti dalam firmanNya: Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhamu  dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat , (Surah An-Nasr, ayat 3) . Tidak dapat disangkal lagi bahawa Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang .  Buktinya amalan istighfar jika sentiasa diamalkan secara berterusan mampu memudahkan segala urusan dan membawa seseorang itu keluar dari segala permasalahan yang dihadapi. Dari Ibni Abbas ra, Baginda Rasulullah SAW  bersabda: Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan  kegembiraan dari setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.(Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad).

Malah dengan beristighfar juga ia  mengundang takdir yang baik untuk diri kita. Kisah Nabi Yunus a.s. boleh disifatkan sebagai contoh  terbaik manusia yang segera mendapat bantuan Allah kerana baginda sentiasa mengingati Allah ketika senang. Nabi Yunus adalah orang pelarian yang melarikan diri dari kaumnya sebelum datang perintah Allah untuk meninggalkan kaumnya. Maka, Nabi Yunus pun akhirnya terjun ke laut dan ditelan gelombang besar yang hebat kemudian ditelan oleh seekor ikan yang besar. Namun atas izin Allah SWT Nabi Yunus tidak mati dalam perut ikan, Nabi Yunus berdoa kepada Allah dan memohon ampun atas kesalahannya. Ada  yang beranggapan rahsia bantuan Allah kepadanya berpunca hanya daripada doa ini: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolonglah daku)! Sesungguhnya aku adalah daripada orang yang menganiaya diri sendiri”. Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia daripada kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami),” (Surah al-Anbiya’ ,ayat 87-88). Dengan pertolongan Allah AWT, ikan yang besar itu terdampar ke laut dan akhirnya Nabi Yunus berjaya keluar dari dalam perut ikan tersebut dengan keadaan selamat. Betapa banyaknya amanah yang telah kita ingkari maka marilah kita kembali menghayati dan mengamalkan  istighfar .Semoga Allah SWT memberikan jalan keluar yang terbaik buat kita semua  dalam menjalankan amanah-amanah yang telah Allah SWT perintahkan kepada kita. 

Menurut Muhamad lagi, doa  juga memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga. Doa merupakan sebahagian daripada unsur tauhid. Doa adalah tanda pengharapan, permohonan dan pergantungan kita hanya kepada Allah SWT. Misalnya, segala kata-kata, keyakinan, doa, harapan dan impian ibu bapa adalah sebenarnya doa dan akan terkesan ke dalam jiwa anak. Doa mestilah disusuli dengan tindakan yang hikmah dalam cara kita membentuk peribadi anak. Oleh itu, dalam misi kita untuk  menggapai impian “Rumahku Syurgaku”  ayuh  sama-samalah kita menghidupkan  amalan istighfar dan berdoa  sebagai satu kelaziman dalam mewujudkan  keharmonian sesebuah keluarga.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 Ogos 2016
Scroll to Top