Indahnya Doa Nabi Ibrahim AS

SETIAP hamba Allah SWT yang mengaku beriman kepada-Nya, pasti akan diuji bagi membuktikan tahap keimanan kita. Setelah dihadirkan ujian buat kita, pasti Allah SWT hadirkan juga penyelesaiannya dan yang pasti dengan berdoa kepada Allah SWT akan hadirlah penyelesaian demi penyelesaian. Akan kita dapati di dalam Al-Quran doa-doa yang dilafazkan oleh para rasul yang dimakbulkan oleh Allah SWT.  Syukur kepada Allah SWT telah hadirkan doa-doa tersebut untuk turut kita amalkan.

Menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm jam 5.15 petang minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi buat rakan pendengar mengenai kisah doa yang dilafazkan oleh Nabi Ibrahim AS. Seorang hamba yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, mencipta hikmah dan tidak menunggu hikmah sebelum dianugerahkan dengan pelbagai lagi.

Ramai antara kita mengetahui dan kenal akan Nabi Ibrahim AS tambahan lagi bila kita memasuki musim Haji. Namun, ramai yang tidak mengetahui bagaimana al-Quran merakamkan babak bagaimana Makkah al-Mukarramah dan kisah padang pasir Makkah yang kering kontang itu bermula.

Ustaz memberi penerangan bersandarkan kepada ayat al-Quran menerusi Surah Ibrahim ayat 37 yang bermaksud : \”Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah.

Doa ini dilafazkan oleh Baginda ketika melalui detik perpisahan yang tidak diketahui apakah yang sedang diaturkan oleh Allah SWT. Merujuk kepada lafaz doa yang diucapkan oleh Nabi Ibrahim AS, Baginda memulakan dengan perkataan ‘Rabb’ yang mana membawa maksud yang pemelihara dan penjaga. Baginda akan menghadapi detik-detik perpisahan dengan anaknya dan isterinya dan Baginda percaya, Allah SWT akan bersifat ‘rabb’. Baginda telah mengadu kepada Allah SWT tentang beratnya ujian yang perlu Baginda hadapi. Baginda bukan meninggalkan isteri seorang sahaja, bahkan perlu meninggalkan isteri bersama anak yang masih menyusu.

Antara hikmah Allah SWT merakamkan lafaz doa Nabi Ibrahim AS ini, Baginda menyebut zuriatku dan bukan isteriku. Ini kerana Baginda amat yakin dengan kekentalan iman Hajar, namun Baginda amat membimbangi akan anakandanya itu. Mampukah anakandanya bertahan sekiranya makan dan susu sudah tidak ada. Tambahan pula ditinggalkan di tempat yang kering kontang, tanpa tanaman dan tanpa sumber air.

Baginda mengadu kepada Allah SWT kerana Baginda percaya hanya Allah SWT sahaja yang boleh memelihara zuriat dan isterinya.  Menerusi doa ini juga, Nabi Ibrahim AS menyatakan perintah ini dilakukan bukan pada sembarangan tempat, bahkan di Baitullah. Di padang pasir yang kering kontang, di satu lembah kematian, Allah menyebutnya sebagai Baitullah (Rumah Allah). Dalam fikiran kita pada hari ini, bila sebut tentang rumah Allah maka kita akan gambarkan sebuah binaan masjid yang penuh dengan kemudahan dan tidak sekali-kali terbayang akan padang pasir yang gersang.

Baginda sedikit pun tidak gentar untuk meninggalkan zuriat dan isterinya kerana berdekatan dengan Baitullah dan lebih-lebih lagi rumah ini mempunyai satu sifat yang diharamkan daripada berlaku sebarang pencerobahan terhadapnya dan sebarang musuh-musuh yang jahat. Baginda sangat yakin kepada Allah SWT dan inilah proses menenangkan Hajar. Bagaimanapun, dalam peristiwa ini, Hajar berkali-kali memohon penjelasan daripada Nabi Ibrahim AS menurut hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Ibn ‘Abbas mengenai tindakan Nabi Ibrahim AS meninggalkannya bersama Nabi Ismail AS. Jelas jawapan Hajar yang benar-benar menenangkan ialah “Sekiranya begitulah perintah Allah SWT wahai Ibrahim, maka Allah SWT tidak akan meninggalkan kami”. Inilah jawapan Hajar selepas seolah-olah Baginda memberikan isyarat bahawa Hajar dan Ismail ditinggalkan ditempat yang selamat.

Fasa kedua dalam doa ini, sekali lagi Nabi Ibrahim AS menyebut lafaz ‘rabb’. Lafaz ini disusuli dengan memohon kepada Allah SWT agar mereka menyempurnakan dan tidak meninggalkan solat. Baginda tidak risau dengan makan minum anak dan isterinya serta keselamatan meraka. Inilah iman yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS yang daripadanya lahirlah keturunan Rasulullah SAW. Baginda bimbang sekiranya mereka meninggalkan solat. Baginda mengharapkan dengan dipisahkan isteri dan anaknya daripadanya dan daripada kemudahan di Palestin, mereka akan lebih khusyuk mendirikan solat.

Di pengakhiran doa Nabi Ibrahim AS, Baginda turut berdoa sekiranya mereka mendirikan solat, jangan dibiarkan mereka tidak mendapat apa-apa. Baginda mengharapkan juga agar Allah SWT kurniakan padang pasir yang kering kontang itu suatu hari nanti, hati manusia sebahagiannya berlumba-lumba mendatangi mereka (yang menjadi zuria Nabi Ibrahim AS). Baginda mengharapkan juga agar Allah SWT kurniakan mereka rezeki, buah-buahan supaya mereka akan bersyukur. Agar dengan syukur tersebut mereka akan khusyuk menunaikan solat. Inilah keindahan lafaz doa Nabi Ibrahim AS yang menyebabkan bermulanya sejarah Baitullah al-Haram.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 Ogos 2016
\"2016-08-9\"
Scroll to Top