ISLAM melihat perkahwinan itu merupakan satu ikatan suci yang menyatukan antara dua hati. Tujuan perkahwinan adalah untuk memenuhi keperluan syariat yang yang telah ditetapkan kepada semua pasangan lelaki dan wanita yang sepakat untuk hidup bersama Perkahwinan itu sendiri merupakan saluran untuk meneruskan keturunan manusia di muka bumi. Sudah menjadi fitrah manusia yang dijadikan berpasang-pasangan.
Sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu. (Surah An-Nisa\’, ayat 1). Jika direnungkan secara mendalam ayat ini, ia memberi tumpuan kepada dua perkara. Pertama, umat Islam disaran memperkukuhkan iman kita terhadap Maha Pencipta. Jika seseuatu hubungan itu begitu kuat dengan Allah SWT, nescaya akan diberikan ketengangan hati dan kebahagiaan hidup. Sesungguhnya, manusia yang memiliki keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT akan sentiasa berkata yang benar, hormat kepada orang lain dan memperbaiki hubungan kemasyarakatannya dan sentiasa berusaha tidak akan menjerumuskan diri dalam kecelakaan dan kesengsaraan.
Menerusi rancangan Pesona D’ Zahra yang disiarkan setiap Isnin di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al- Amin berkata tidak dinafikan wujudnya segelintir manusia yang mempunyai perasaan benci dan iri hati terhadap orang lain. Situasi tersebut terjadi disebabkan golongan berkenaan biasanya melihat dunia sebagai menyenangkan tetapi hakikatnya tidak memberi ketenangan dalam diri mereka. Betapa mahalnya harga ketenangan jiwa. Banyak yang mengorbankan apa saja untuk mendapatkannya. Namun, tidak sedikit juga yang keliru. Misalnya, lihat saja apabila seseorang ingin mendapatkan ketenangan jiwa, sangup menghabiskan masa berjam-jam untuk berhibur sambil mengambil minuman keras. Sementara, ketenangan yang diperolehi hanya sebentar saja. Akibatnya bukan ketenangan jiwa yang diperolehi tetapi kerosakan dan kehancuran yang diterima. Sebaliknya mereka yang sentiasa memikirkan tentang kehebatan dan keagungan Allah SWT ,jiwanya akan merasa tenang dan tenteram. Ketenangan dan ketenteraman jiwa ini akan mendatangkan kebahagiaan, baik di dunia mahupun di akhirat kelak.
Perkara kedua yang diberi tumpuan dalam ayat yang diturunkan oleh Allah tersebut juga menyentuh tentang kepentingAn silaturrahim khususnya yang membabitkan hubungan yang perlu dipelihara antara suami dan isteri. Menurut Muhammad antara dua elemen yang menghubungkan ikatan suami dengan isteri adalah nafkah dan meminta keizinan. Antara tanggungjawab suami kepada isteri ialah menyediakan nafkah zahir dan batin. Nafkah adalah hak isteri yang wajib ditunaikan suami menurut kemampuannya. Nafkah diwajibkan melalui al-Quran dalam yang bermaksud: \”Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah SWT kepadanya, Allah SWT tidak memberatkan seseorang melainkan yang diberikan Allah kepadanya.. (Surah al-Talaq, ayat 7).
Seterusnya, perkara yang perlu dititikberatkan bagi mengukuhkan ikatan dalam rumahtangga adalah memahami betapa pentignya isteri meminta izin kepada suami mereka terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara. Dalam situasi ini , isteri perlu meminta izin apabila ia melibatkan hak suami. Umpamanya, menjaga harta yang diberikan seorang suami dengan cara menggunakannya dengan baik dan benar sudah merupakan sebuah ketaatan seorang isteri kepada suaminya. Menjaga harta suami pula bukan dilihat dari banyak atau sedikitnya harta yang diberikan. Selain itu, jika isteri berhasrat untuk melaksanakan ibadah puasa sunat dia perlu mendapat keizinan daripada suaminya. Larangan berpuasa tanpa keizinan suami diwujudkan kerana dibimbangi si isteri tidak dapat melayani kehendak si suami dengan baik. Oleh sebab itu, meminta izin adalah sangat penting.
Seterusnya, perkara yang perlu diminta izin oleh isteri apabila ia berkait rapat dengan tanggungjawab suami . Dalam hal isteri keluar bekerja menyara keluarga salah satu perkara yang harus dipatuhi adalah memeperolehi keizinan suami. Para isteri perlu mendapat ‘lampu hijau’ sebelum membuat keputusan untuk keluar bekerja . Sekiranya suami tidak mengizinkan, maka isteri tidak boleh keluar begitu sahaja meskipun niatnya untuk membantu suami. Akhir sekali, perkara –perkara yang bersangkut paut dengan hal kemanusiaan yang tiada kaitan dengan suami dan juga tanggungjawab harian seperti membersihkan halaman rumah, memasak, mengemas rumah dan lain-lain, ia tidak memerlukan isteri tersebut untuk mendapat keizinan suami.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 Jun 2017