Islam Itu Indah

UMUR atau usia adalah modal bagi seseorang mukmin untuk mendekati dan mendapat syurga Allah SWT. Ertinya bagi mereka yang taat, usia yang dimiliki ini adalah untuk menambah ketaatan kepada Allah, bagi yang berdosa, usia yang Allah berikan ini dijadikan peluang untuk selalu memohon keampunan daripada Allah SWT.
Memetik kata-kata Imam al-ghazali, “Apakah manusia itu tidak malu apabila Allah SWT menghulurkan waktu baginya untuk bertaubat, tetapi dia terus-menerus melakukan dosa kepada Allah SWT”
Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang dikendalikan oleh panel tetap Ustaz Pahrol Muhamad Juoi di radio IKIMfm yang bersiaran setiap Rabu jam 10.15 pagi, beliau menjelaskan bahawa agama Islam itu adalah agama yang sangat indah, bahkan bagi mereka yang tidak mendapati keindahan pada agama Islam, bukan kerana agama itu yang tidak baik, akan tetapi mereka yang tidak dapat melihat keindahan dan kebaikan pada ajaran Islam.
Analoginya seperti seekor kelawar yang jika tidak dapat melihat di waktu siang hari, bukan kerana hari yang tidak terang, tetapi kerana siang hari itu terlalu terang sehingga mata kelawar tidak mampu untuk melihat pada waktu siang.
Membicarakan tentang keindahan agama Islam, ianya berkait rapat dengan bagaimana kita melihat agama itu dari sudut pandangan mata hati. Fikiran yang kelam dek kejahilan akan memudarkan pandangan kita terhadap kemurniaan Islam, begitu juga hati yang kotor membuatkan kita tidak mampu untuk melihat betapa indahnya ajaran agama Islam.
Dengan kata lain, terdapat dua sebab apabila seseorang mukmin tidak dapat melihat keindahan agama Islam iaitu disebabkan oleh kejahilan akal fikiran dan kedua adalah hati yang degil. Hakikatnya Islam itu adalah ajaran agama yang amat indah. Keindahannya pasti akan terlihat oleh hati-hati yang suci.
Islam adalah agama yang sempurna tanpa cacat cela. Keindahan Islam umpama pokok rimbun yang syumul, di dalamnya terdapat akidah, muamalat, ibadah, akhlak dan sebagainya yang melengkapkan ajarannya untuk diamalkan oleh seseorang manusia.
Ketika negara-negara barat hari ini mendominasi tamadun dunia dengan kejayaan, sedangkan Islam telah mendominasi tamadun dunia sejak 1600 tahun dahulu. Pembangunan fizikal dan rohani pada hari ini sebenarnya telah berhutang kepada tamadun Islam. Bahkan pencapaian kejayaan tamadun barat hari ini adalah hasil pembelajaran dari tamadun Islam yang dibina oleh orang-orang Islam.
Sederhana itu indah!, begitulah ajaran agama Islam. Kesederhanaan dalam ajaran Islam itu memberi keindahan kepada ajaran agama ini. Contohnya dalam pemilikan harta oleh masyarakat atau negara, Islam membenarkan pemilikan harta malah tidak menghalang manusia mencari kekayaan namun dengan cara yang disyariatkan. Bagi yang kaya dididik mengeluarkan zakat dan sedekah sehingga mereka yang miskin diberi peluang untuk sama-sama menikmati manfaat nikmat Allah SWT.
Memahami ajaran Islam, adalah agama yang dapat diibaratkan sebagai ‘pasangan hidup manusia’. Ajaran agama yang flexible dan user friendly menjadikan Islam adalah ajaran agama yang sangat sesuai, sebati dan serasi dengan amalan kehidupan manusia.
Namun persoalan di sini, mengapa ajaran Islam yang indah itu tidak lagi kelihatan indah bagi sesetengah manusia? Jawapannya adalah disebabkan oleh kejahilan, kedegilan, sikap orang Islam itu sendiri yang tidak amalkan ajaran Islam dan propaganda bukan Islam teradap ajaran agama Islam.
Ilmu yang jelas terhadap ajaran Islam penting dalam kita melihat keindahan Islam. Umpamanya seperti orang buta melihat gajah. Walau hebat bagaimana gajah itu namun pada mata orang buta ia tidak terlihat kehebatannya.
Begitulah dengan cara kita melihat agama. Justeru, dengan ilmu, pastinya menjadikan seseorang akan dapat melihat keindahan Islam dengan jelas. Mata hati yang terang dan penuh cahaya pasti akan dapat melihat cahaya agama yang indah.
Islam akan terus mekar menyinar jika pengamalnya sentiasa berusaha menjaga kemurniannya. Justeru, bagi mendapatkan keindahan Islam, umatnya hendaklah menghapuskan kejahilan dengan ilmu, perangi kedegilan dengan amalan, sampaikan Islam dengan cara hikmah dan lemah lembut dan akhir sekali perjuangkan Islam dengan cara yang terbaik. Berkongsi kata-kata Hassan al Banna “Seseorang itu akan merasa kemanisan Islam hanya bagi mereka yang menegakkan agama Islam”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 April 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top