KALIMAH Islam membawa erti menyerah diri sepenuhnya kepada ALLAH SWT serta memberi makna keamanan dan kesejahteraan. Keselamatan di dunia dan di akhirat akan dapat dinikmati dengan kehidupan yang dijamin ALLAH melalui ketaatan kepada-Nya. Konsep yang ditekankan oleh agama Islam menyeru seluruh umatnya berkasih sayang antara satu sama lain serta menghormati diantara sesama manusia. Kaedah yang diterapkan ini ternyata membuktikan agama Islam mengajak umat dunia kepada kedamaian yang abadi membolehkan agama ini sesuai dan sejagat terhadap sesiapa sahaja untuk menganutinya.
Oleh itu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi membuka bicara melalui rancangan ‘Islam Itu Indah’ yang bersiaran di radio IKIMfm pada setiap hari Rabu jam 10.15 pagi yang lalu dengan topiknya ‘Islam Ajaran Perdamaian’.
Kedatangan Islam berjaya mengubah masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang bertamadun. Agama Islam dikembangkan dengan penuh didikan kasih sayang bukan sahaja suci malah ia lagi menyucikan serta boleh menyelamatkan umatnya. Walaupun berbeza keturunan, pangkat, budaya dan warna kulit, roh Islam yang sejagat berjaya menghapuskan sebarang persengketaan demi menegakkan keamanan serta kedamaian. Faktor ini juga dibuktikan melalui firman ALLAH dalam surah Al-Hujurat ayat 10 maksudnya, “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. Terbitnya firman ALLAH melalui sumber yang sahih itu, maka hadirnya nabi Muhamad S.A.W kepada umat Islam untuk menyempurnakan akhlak persaudaraan dan peradaban serta memberi kerahmatan kepada seluruh alam.
Islam mendidik umatnya dengan pegangan agama yang tinggi serta meletakkan manusia sebagai makhluk ciptaan ALLAH yang paling sempurna dan saling mengenali antara satu sama lain. Kehidupan yang dilalui oleh umat Islam tidak membawa kepada keganasan serta penyelesaian kepada sesuatu perkara juga bukan melalui peperangan. Wujudnya agama Islam di muka bumi ini bukan untuk menyerang tetapi mempertahankan agama ALLAH dan menyebarkan kebaikan. Di dalam Islam, terdapat beberapa peristiwa yang memberi pengertian kedamaian apabila berlakunya penindasan kepada Rasulullah semasa di Thaif dalam misi baginda untuk menyebarkan ajaran Islam. Ketika itu baginda menerima ujian hebat apabila orang-orang arab quraisy tidak menerima kehadirannya sehingga berlaku keganasan terhadapnya dikejar keluar dari Thaif dalam keadaan berdarah. Pada masa itu Malaikat yang menjaga gunung-gunung dan bukit sekitarnya menawarkan kepada Rasulullah S.A.W untuk menghempap penduduk disitu. Namun sebaliknya Rasulullah S.A.W tidak mahu membalas apa-apa tindakan dan mendoakan musuhnya supaya mereka menerima memeluk Islam serta mengadu akan kelemahan dirinya terhadap ALLAH.
Selain itu, semasa pembebasan kota Mekah yang berlaku di bulan Ramadan orang-orang yang menentang Rasulullah S.A.W sehingga ingin membunuhnya juga tidak dibalas oleh baginda dengan apa-apa tindakan. Sebaliknya baginda memberi kemaafan kepada mereka walaupun selepas peristiwa itu baginda telah menguasai kota Mekah. Indahnya dari peristiwa tersebut dapat menjelaskan bahawa Islam itu tidak sesekali mengajar umatnya bertelingkahan dimana Rasulullah S.A.W sendiri memaafkan mereka walaupun baginda mampu membalas setiap perbuatan jahat orang lain. Melalui firman ALLAH S.W.T dalam surah Al-Ma’idah ayat 3, maksudnya “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. Oleh itu, Ibrah dari sumber dalil dan peristiwa ini turut mengambarkan bahawa ALLAH S.W.T tidak menjadikan sesuatu yang sia-sia kepada diri Rasulullah S.A.W melainkan terdapat kebaikan untuk kita pelajari dan teladani.
Didalam sejarah Islam, peperangan yang berlaku adalah bersifat mempertahankan dan bukan sesekali dalam bentuk menyerang. Hal ini diceritakan melalui peristiwa peperangan Badar yang berlaku ketika bulan Ramadan. Rasulullah S.A.W dan sahabat yang berjuang dalam peperang tersebut disegani dan ditakuti oleh kabilah-kabilah Arab lain serta digeruni oleh orang Yahudi dan Munafiqin Madinah disebabkan jumlah mereka yang sedikit mampu mengalahkan musuh. Orang yang ditawan oleh tentera Islam pula dibebaskan serta mereka menceritakan kepada sahabat-sahabat dan keluarga tentang kebaikan dan sifat-sifat kebaikan orang Islam. Kisah dari sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh juga membuktikan pembebasan kota Konstantinopel kepada nama Islambul yang bermaksud negeri Islam yang kini dikenali sebagai Istanbul. Begitu juga melalui kisah Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan Baitulmaqdis dari kekejaman penjajahan musuh-musuh Islam.
Oleh itu, kesimpulan dari peristiwa-peristiwa tersebut menjelaskan Islam adalah agama yang damai tetapi tidak gentar menghadapi peperangan untuk mempertahankan agama suci ini dari tindakan jahat oleh musuh-musuh ALLAH. Hadirnya Islam juga adalah untuk membebaskan dari persengketaan dan kesempitan dunia untuk menikmati kelapangan pada hari akhirat. Sistem yang datang dari idealogi manusia yang hanya mengikut kepentingan tertentu adalah tidak adil serta mencengkam kehidupan mereka sendiri sehingga menyebabkan berlakunya kerosakkan dunia. Oleh yang demikian, kedamaian yang diterapkan dalam Islam juga menfokuskan kepada pembebasan dan kehidupan yang sistematik untuk menikmati keadilan mengikut syariat dan undang-undang Islam.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 29 Jun 2016