Islam Agama Persaudaraan Melangkaui Bangsa Dan Bahasa

ALLAH SWT berfirman menerusi surah Ali ‘Imran ayat 159 yang bermaksud “Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” Keterangan ayat tersebut menjadi sumber inspirasi kepada keazaman yang terdapat pada diri umat Islam apabila memasuki ke tahun 1438 Hijriah. Istiqamah yang memandu diri umat Islam kearah kebaikan dapat direalisasikan dengan bermujahadah (berpenat lelah) yang menjurus kepada ALLAH SWT.

Oleh yang demikian, jika kelengkapan diri umat Islam itu menjadi umat yang soleh dan solehah maka ianya akan menjadi sebuah produk agama yang dapat mempamerkan kebaikan dan menjalin perhubungan yang baik kepada seluruh warga dunia. Sesuai dengan mesej itu, Ustaz Rushdi Ramli Al-Jauhary yang bersiaran di IKIMfm menerusi rancangan Islam Itu Indah pada setiap Rabu jam 10.15 yang lalu telah membawakan tajuk ‘Islam agama persaudaraan melangkaui bangsa dan bahasa’.

Pengertian Islam dari sudut bahasa turut membawa maksud ‘thariq’ yang bererti jalan ataupun ‘way of life’ yang bukan hanya semata-mata agama tetapi menjadi panduan hidup merangkumi semua aspek kehidupan. Disamping itu, Islam juga membawa maksud ‘hukmu’ yang menterjemahkan kepada hukum-hakam menjadi sebuah prinsip kehidupan dan agama Islam turut dikenali sebagai agama anugerah yang mendekat diri umatnya kepada ALLAH SWT. Keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH SWT yang menjadi prinsip utama dalam agama Islam telah memberi sebuah pendekatan kepada keamanan yang dibawa oleh agama ini. Oleh itu, orang yang beriman, mereka itu selalu akan memberi keamanan kepada orang lain.

Di dalam AL-Quran menerusi surah Al-Hujurat ayat 10, ALLAH SWT telah berfirman yang bermaksud, “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Berdasarkan ayat ini, natijah apabila umat Islam menghubungkan persaudaraan, mereka akan mendapat rahmat kasih sayang ALLAH SWT selain turut dikurniakan ganjaran pahala dan balasan syurga. Syurga yang diidamkan oleh setiap umat Islam itu dapat dikecapi dengan pengampunan dan  pemberian syafaat dari Rasulullah SAW.

Persaudaraan yang maksudkan dalam Islam bererti ‘ikhwa’ berasal dari istilah ‘akhun’ yang turut membawa maksud adik-beradik. Oleh itu, pendekatan persaudaraan yang ditekankan dalam Islam menggunakan istilah adik beradik lebih utama digunapakai oleh setiap individu Muslim untuk menjadikan perhubungan manusia di serata dunia melangkaui bangsa dan bahasa. Dalam sebuah hadis riwayat Al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda “Orang Islam yang sebenar adalah orang yang tidak mengganggu orang Islam lain baik dengan lidah mahupun tangannya, dan orang yang hijrah itu adalah orang yang hijrah meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah”.

Agama Islam adalah menyeluruh dan bukan hanya milik sesuatu bangsa sahaja. Perhubungan persaudaraan Islam dapat dilihat apabila tibanya musim haji dimana ia merupakan himpunan terbesar umat Islam membawa mesej yang sangat luas untuk disahut oleh setiap umat Islam yang berada di seluruh dunia. Oleh itu, perhimpunan haji juga mampu membawa mesej silatulrahim. Silatulrahim terbit dari perkataan ‘Silah’ yang bertaut hubungan kasih sayang tanpa ada perselisihan faham. Kepentingan bersilatulrahim amat penting dalam mewujudkan persaudaraan antara umat Islam supaya terus dikasihi ALLAH SWT dan mendapat manfaat kebaikan dunia untuk menjalinkan komunikasi yang tidak mengira bangsa, bahasa perantaraan mahupun tempat.

Persaudaraan dan silatulrahim yang dibawa oleh agama Islam menjadi sebuah intipati utama dalam menentukan keamanan dunia membawa kepada keberkatan di akhirat. Oleh yang demikian, Rasulullah SAW juga telah berpesan bahawa “Tidak akan masuk syurga bagi orang yang memutuskan silaturahmi” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Amalan mentauhidkan Allah, mendirikan solat, berpegang teguh pada sifat jujur, dan menjauhkan diri dari perbuatan buruk merupakan sebuah modul lengkap yang disediakan oleh ALLAH SWT kepada hamba-Nya. Sifat yang terdapat dalam diri umat Islam ini akan menjadikan persaudaraan manusia itu istimewa apabila mereka berpegang teguh kepada kalimah ‘Hablun Minan Nas’ seimbang dengan ‘Hablun Minallah’ untuk berpaut kepada pertalian ALLAH SWT.

Oleh itu, persaudaraan dalam islam yang menjadi konsep hubungan antara manusia diseluruh dunia akan dapat menjadi sebuah keharmonian dunia dan akhirat. Keseimbangan hidup yang bahagia di dunia dan akhirat akan terus dapat dikecapi dengan berpandukan seruan oleh ALLAH SWT menerusi surah An-Nisa ayat 36 yang bermaksud “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 Oktober 2016
\"BH121016\"
Scroll to Top