KUALA LUMPUR, 7 Julai (IKIM) – IKIMfm akan terus memperkukuh peranannya sebagai medium penyebaran kefahaman Islam yang sederhana, sahih dan relevan dengan perkembangan semasa, seiring sambutan ulang tahun penubuhannya yang ke-25.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamad Azam Mohamad Adil berkata sejak mula bersiaran pada 6 Julai 2001, IKIMfm konsisten mengangkat misi utama institusi itu untuk menyampaikan kefahaman Islam berteraskan pendekatan wasatiyyah kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Menurut beliau, dalam tempoh 25 tahun, IKIMfm bukan sahaja berkembang sebagai sebuah stesen radio dakwah yang bersiaran 24 jam sehari, malah berjaya menyesuaikan diri dengan perubahan landskap media melalui penggunaan teknologi digital.
“IKIMfm akan terus relevan sekiranya kita sentiasa berubah mengikut perkembangan teknologi. Hari ini kita mempunyai aplikasi mudah alih, aktif di platform media sosial seperti TikTok, selain menawarkan kandungan menerusi podcast dan Spotify. Kita juga sedang meneroka penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk perancangan memperkenalkan DJ AI bagi segmen-segmen tertentu pada masa hadapan,” katanya dalam program khas Sorotan 25 Tahun IKIMfm.

Beliau berkata, transformasi itu penting bagi memastikan mesej Islam yang mendidik dapat terus mendekati generasi muda melalui pendekatan yang lebih mesra dan sesuai dengan corak penggunaan media masa kini.
Mengulas pencapaian IKIMfm sepanjang suku abad penubuhannya, beliau berkata stesen itu telah mencipta sejarah sebagai radio digital pertama di Malaysia yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records, selain berjaya mencatat rekod penyiaran berterusan selama 25 jam dari Menara Merdeka 118 baru-baru ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pendengar setia IKIMfm yang sentiasa mengikuti siaran harian, termasuk program doa pada jam 7.00 pagi dan Doa Dhuha pada jam 8.12 pagi yang menjadi antara identiti stesen tersebut.
Sementara itu Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj. Othman berkata, warga IKIM dan IKIMfm perlu melihat tugas mereka bukan sekadar sebagai satu kerjaya, sebaliknya sebagai amanah yang dipilih oleh Allah SWT untuk menyampaikan kebaikan kepada masyarakat.

Menurut beliau, setiap individu mempunyai bakat dan potensi yang dikurniakan Allah SWT, justeru peluang berkhidmat di IKIM perlu dimanfaatkan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah, bukan hanya mengejar ganjaran dunia.
“Jangan jadikan radio ini sekadar tempat membina kerjaya atau mencari rezeki semata-mata. Jadikanlah ia sebagai wadah untuk melaksanakan amanah sebagai khalifah Allah. Apabila niat kita melangkaui kepentingan peribadi, maka akan lahir nilai tambah dalam setiap pekerjaan yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, sejak penubuhannya, IKIM bukan hanya berperanan menyampaikan dakwah melalui program keagamaan, malah menjadi pusat pemikiran yang membincangkan pelbagai isu semasa secara ilmiah dan akademik, termasuk berkaitan keharmonian masyarakat, hak asasi manusia, ekonomi, perundangan Syariah serta pelbagai cabaran kontemporari.
Katanya, pendekatan tersebut membolehkan IKIM terus memainkan peranan sebagai institusi yang memberi kefahaman Islam kepada masyarakat, manakala pelaksanaan dasar dan tindakan menjadi tanggungjawab pihak-pihak berkaitan.

Sempena ulang tahun ke-25, kedua-dua tokoh itu berharap IKIMfm akan terus menjadi “Inspirasi Utama” kepada rakyat Malaysia dengan mengekalkan identiti sebagai radio yang mendidik, menyatukan masyarakat dan memperkukuh kefahaman Islam selaras dengan cabaran zaman serta perkembangan teknologi.




