25 TAHUN IKIMFM: BERMULA DENGAN CABARAN, TERUS MENJADI INSPIRASI

Oleh: Haziq Izzuddin Abdullah

Mewujudkan sebuah stesen radio Islam pada awal tahun 2000 bukanlah satu tugas mudah, terutama ketika landskap penyiaran ketika itu lebih banyak dipengaruhi oleh kandungan hiburan dan muzik, namun cabaran tersebut tidak menghalang IKIMfm daripada membina sebuah platform yang menggabungkan ilmu, dakwah dan khidmat masyarakat berteraskan nilai Islam.

Mengimbau kembali detik awal penubuhan IKIMfm, mantan Pengarah Radio pertama, Dr Johanni Saleh berkata cabaran terbesar ketika itu ialah membina identiti sebuah stesen radio yang mampu mendekati masyarakat menerusi pendekatan Islam yang bersifat inklusif dan dekat dengan kehidupan seharian.

Katanya, selain membangunkan konsep dan identiti stesen, IKIMfm turut perlu bersaing dalam landskap radio yang ketika itu didominasi oleh stesen-stesen komersial.

“Itu yang paling mencabar sekali. Mula-mula nak menghasilkan format, nak dapatkan kelulusan logo, tentang ‘programming’ lagi dan isi kandungan.

“Saya pada ketika itu seorang sahaja yang membuat kertas kerja dan sebagainya. Siapa yang bekerja dengan saya pada ketika itu faham betapa sukarnya cabaran (yang dihadapi),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi temu bual slot Bicara Ilmu sempena sambutan ulang tahun ke-25 IKIMfm.

Menurut Dr Johanni, segala kesukaran yang dilalui pada peringkat awal diterima sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar dalam membina sebuah stesen radio Islam yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Katanya, setiap pengorbanan dan usaha yang dilakukan ketika itu menjadi asas kepada perkembangan IKIMfm sehingga terus bertahan selama 25 tahun.

Mengekalkan Relevansi Kepada Semua Lapisan Masyarakat

Dalam mengenang kembali perjalanan awal IKIMfm serta persaingan dengan radio-radio komersial lain, stesen itu pernah dilabel sebagai radio yang lebih sinonim dengan golongan berusia berikutan majoriti pendengarnya ketika itu terdiri daripada kelompok dewasa.

Walau bagaimanapun Dr Nik Roskiman Abdul Samad, Pengarah Radio merangkap Pengarah Pusat Media yang paling lama berkhidmat menegaskan bahawa IKIMfm tidak pernah menetapkan sasaran kepada kelompok pendengar tertentu sepanjang operasinya.

Menurut beliau, sebagai sebuah radio dakwah, IKIMfm memainkan peranan untuk menyampaikan mesej kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur.

“Kita tak boleh buat macam itu, sebab kita radio dakwah. Kita kena berdakwah kepada setiap lapisan masyarakat dan semua generasi,” katanya dalam temu bual slot Sorotan 25 Tahun secara siaran langsung sempena ulang tahun ke-25 IKIMfm.

Tambah beliau, pendekatan kandungan perlu disesuaikan mengikut kelompok pendengar agar mesej yang ingin disampaikan lebih mudah diterima.

“Kita kena ada masa untuk orang dewasa, masa untuk remaja dan masa untuk kanak-kanak,” katanya.

Bagi kedua-dua tokoh yang menyumbang kepada perkembangan IKIMfm, setiap cabaran yang ditempuhi sejak peringkat awal penubuhan menjadi batu loncatan kepada kejayaan stesen itu hari ini.

Sempena ulang tahun ke-25, IKIMfm diharapkan terus berkembang sebagai medium dakwah yang mampu mendidik, menyatukan serta memberi inspirasi kepada masyarakat dalam menghadapi perubahan landskap penyiaran masa kini.

WhatsApp
Scroll to Top