Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 6 Julai (IKIM) – Sambutan ulang tahun ke-25 IKIMfm hari ini dimeriahkan dengan kehadiran bekas Ketua Pengarah pertama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Datuk Wira Dr. Ismail Ibrahim yang berkongsi sejarah penubuhan institut itu serta aspirasi penubuhan stesen radio berkenaan semasa menjadi tetamu slot Bicara Ilmu di studio IKIMfm.
Ismail berkata penubuhan IKIM sejak awal bukan hanya menumpukan kepada bidang agama semata-mata, sebaliknya menghimpunkan pakar daripada pelbagai disiplin termasuk ekonomi, undang-undang, perubatan, sains, teknologi dan media bagi membentuk kefahaman Islam yang lebih menyeluruh berteraskan Islamic worldview.
“IKIM tujuannya ialah untuk memberi kefahaman kepada Muslim dan bukan Muslim tentang apakah Islam. Islam bukan sembahyang dan puasa sahaja. Itu adalah asas, tetapi Islam merangkumi pengurusan, ekonomi, undang-undang, moral dan penyatuan umat,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu kemudiannya diterjemahkan menerusi penubuhan IKIMfm pada 2001 dengan menjadikan radio sebagai medium menyampaikan ilmu secara bersepadu melalui penglibatan pakar daripada pelbagai bidang agar masyarakat dapat memahami Islam daripada pelbagai perspektif.
“Kalau radio buat program, panggillah pakar daripada pelbagai bidang. Mereka akan cerita tentang teknologi, ekonomi, undang-undang dan sebagainya supaya masyarakat memahami Islam secara lebih menyeluruh,”katanya.
Menurut beliau, pendekatan yang menggabungkan ilmu wahyu dengan ilmu kontemporari itu menjadi identiti IKIM sejak penubuhannya dan wajar diteruskan supaya kandungan penyiaran kekal relevan serta mampu mendidik masyarakat mengikut keperluan semasa.
Dalam pada itu beliau berharap IKIMfm terus memainkan peranannya sebagai medium penyebaran ilmu yang mengangkat isu-isu utama masyarakat serta menjadi platform yang menyatukan umat melalui penyampaian ilmu yang sederhana, berfakta dan membina.
Sambutan ulang tahun ke-25 IKIMfm hari ini bukan sahaja mengimbau sejarah penubuhan stesen radio berkenaan, malah menjadi medan menghargai sumbangan tokoh-tokoh terdahulu yang meletakkan asas kepada penyiaran Islam berteraskan ilmu, kesederhanaan dan perpaduan.




