JAKIM PERKEMAS GARIS PANDUAN PENGURUSAN JENAZAH – ZULKIFLI

Oleh: Haziq Izzuddin Abdullah

BUKIT MERTAJAM, 5 Julai (IKIM) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang memperkemas garis panduan pengurusan jenazah susulan isu jenazah lambat dikebumikan yang tular baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, usaha itu mengambil kira keperluan semasa serta enakmen dan undang-undang yang berkuat kuasa pada setiap negeri.

“Beberapa negeri telah mempunyai garis panduan masing-masing, namun JAKIM melihat terdapat keperluan untuk menambah baik dan memperkemas agar boleh dijadikan rujukan lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Multaqa MADANI Ulama dan Umara (MMUU) Peringkat Zon Utara di Masjid Timah, Permatang Pauh, di sini hari ini.

Menyentuh mengenai tempoh penyediaan garis panduan itu, Zulkifli berkata JAKIM akan melaksanakannya secepat mungkin tanpa menjejaskan keperluan untuk meneliti aspek perundangan dan enakmen negeri.

Mengenai isu berkait pengurusan jenazah yang tular di Selangor baru-baru ini, beliau berkata perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa agama negeri, iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk ditangani dengan sewajarnya.

Beliau turut mengajak semua pihak supaya berlapang dada dan bekerjasama dalam menangani isu berkenaan tanpa menimbulkan perpecahan.

Media baru-baru ini melaporkan JAIS menafikan dakwaan kelewatan pengurusan satu jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang yang berpunca dari kekeliruan pihak waris dan Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) yang tidak mempunyai hubungan dengan pihak masjid.

Sempena majlis (MMUU) Peringkat Zon Utara, turut diadakan sesi penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau sebagai usaha memperkasa institusi masjid, di samping penyampaian sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf bagi meringankan beban mereka serta memperkukuh agenda kebajikan masyarakat.

Turut hadir pada majlis ini Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hj. Abd Aziz Tajuddin; Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman; Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.

WhatsApp
Scroll to Top