KUALA LUMPUR, 30 Julai (IKIM) – IKIMfm dipilih sebagai rakan strategik media bagi penganjuran Cultural Night Run 2026 (CNR 2026) anjuran Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang bakal berlangsung di Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Pengiktirafan itu diumumkan pada Majlis Penyerahan Tajaan Cultural Night Run 2026 yang diadakan di Auditorium Ibu Pejabat LLM di sini, hari ini.
Mewakili IKIMfm, Hajah Norhayati Paradi menerima plak penghargaan sebagai rakan strategik media daripada pihak penganjur, sekali gus menzahirkan pengiktirafan terhadap komitmen stesen radio itu dalam menyokong penganjuran program berteraskan gaya hidup sihat, perpaduan masyarakat serta penglibatan komuniti.

Majlis penyerahan tajaan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad dan turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi LLM, wakil-wakil penaja serta rakan strategik yang terlibat.
Selain IKIMfm, beberapa syarikat korporat dan organisasi lain turut menyerahkan sumbangan dalam bentuk wang tunai, barangan dan perkhidmatan sebagai sokongan bagi memastikan kelancaran penganjuran Cultural Night Run 2026.

Cultural Night Run 2026 dijangka menghimpunkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai lapisan dalam satu acara yang menggabungkan elemen gaya hidup sihat, rekreasi dan kebudayaan di lokasi ikonik, Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Penyertaan IKIMfm sebagai rakan strategik media diharap dapat membantu memperluaskan hebahan program kepada masyarakat sekali gus menyokong usaha mempromosikan amalan hidup sihat dan mengeratkan hubungan komuniti menerusi penganjuran acara berimpak tinggi.




