PAHANG MUNCUL NEGERI PERTAMA MILIKI UNIVERSITI AL-QURAN DI MALAYSIA

Oleh: Haziq Izzuddin Abdullah

KUANTAN, 30 Julai (IKIM) – Detik sejarah baharu dicipta bagi landskap pengajian tinggi di Malaysia apabila Negeri Pahang memiliki sebuah universiti al-Quran pertama di Malaysia iaitu Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (UNIQSAAS).

Institusi pengajian tinggi Islam itu yang sebelum ini dikenali sebagai Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) secara rasminya dimasyhurkan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Sultan Iskandar Al-Haj bersama Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Sri Nazri Abu Bakar dalam ucapannya berkata, pemasyhuran UNIQSAAS merupakan detik bersejarah yang mencerminkan komitmen berterusan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dalam memperkukuh pembangunan modal insan berteraskan al-Quran, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing.

“Selaras dengan aspirasi tersebut, Kerajaan Negeri Pahang terus komited memperkukuh pendidikan Islam melalui pembangunan prasarana, pemantapan akademik serta penerapan teknologi,

Sebagai bukti komitmen itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM20 juta bagi menyokong pembangunan UNIQSAAS agar terus berkembang,” katanya ketika berucap di Majlis Pemasyhuran UNIQSAAS di sini, hari ini.

Menurut beliau, selain menyalurkan RM150,000 sebagai peruntukan awal bagi melaksanakan gerak kerja penubuhan universiti berkenaan, transformasi ini turut diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam membentuk hala tuju pembangunan universiti.

Turut mengiringi Paduka Baginda Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

Pada majlis sama, Paduka Baginda turut berkenan melancarkan Al-Quran Kerajaan Negeri Pahang serta mengisytiharkan pelantikan Canselor UNIQSAAS.

Baginda turut melantik YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pro-Canselor UNIQSAAS bagi memperkukuh tadbir urus universiti berkenaan.

WhatsApp
Scroll to Top