BESTARI JAYA, 30 Julai (IKIM) – Selangor mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai hab inovasi aeroangkasa dan mobiliti masa hadapan menerusi majlis pra-pelancaran DronePort-1000 di Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya, hari ini.
Inisiatif hasil kerjasama strategik antara Selangor Aviation & Technology Innovation Sdn. Bhd. (SELATI) dan UNISEL itu dibangunkan sebagai pusat ujian dan penilaian teknologi dron serta Ekonomi Ruang Udara Rendah (Low Altitude Economy, LAE) bagi ruang udara di bawah ketinggian 1,000 meter.
Exco Agama Islam, Industri Halal, Infrastruktur Digital dan Sains, Teknologi serta Inovasi (STI) Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, DronePort-1000 dijangka menjadi pusat pengujian dron terbesar di negara ini apabila beroperasi sepenuhnya.
Beliau berkata, kemudahan itu akan melengkapkan ekosistem pembangunan industri dron di Selangor dengan menyediakan ruang udara berkeluasan 24 kilometer persegi pada ketinggian sehingga 1,000 meter yang sedang melalui proses pentauliahan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“DronePort-1000 ini akan melengkapkan kelompangan dalam pembangunan ekosistem dron di Negeri Selangor. Kita mempunyai ruang udara yang telah diuji dan bakal menerima pentauliahan khas daripada CAAM,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM500,000 bagi tahun hadapan untuk menaik taraf kemudahan sedia ada serta menyediakan geran padanan bagi menggalakkan penyertaan syarikat tempatan dan antarabangsa dalam pembangunan teknologi dron.
Tambahnya, penggunaan dron industri bersama teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu meningkatkan kecekapan pemantauan pelbagai isu di Selangor termasuk pencerobohan hutan simpan, hakisan pantai, kebocoran ban dan pencemaran sungai.
“Selangor mempunyai keluasan hampir 10 kali ganda berbanding Singapura. Justeru, pemantauan secara manual amat mencabar, manakala penggunaan dron dan AI membolehkan pengawasan dilakukan dengan lebih pantas dan menyeluruh,” katanya.
DronePort-1000 dibangunkan berasaskan tiga teras utama iaitu penyediaan tapak ujian dan penilaian kebangsaan, penggunaan rangkaian persendirian 5G berprestasi tinggi bagi menyokong operasi masa nyata dan penerbangan autonomi, serta pelaksanaan Regulatory Sandbox bersama CAAM bagi membangunkan kerangka kawal selia dan keselamatan ruang udara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SELATI, Puan Zannifa Azura berkata, pembangunan DronePort-1000 bertujuan mewujudkan ekosistem lengkap yang mampu memperkasakan vendor serta pemain industri dron tempatan.

Beliau berkata, pembangunan industri dron memerlukan sokongan infrastruktur yang komprehensif, selain kerjasama erat antara kerajaan, institusi akademik dan sektor industri bagi memastikan teknologi dapat dibangunkan serta dikomersialkan secara mampan.
Menurutnya lagi, kerjasama strategik bersama pakar antarabangsa akan membuka peluang pemindahan teknologi kepada vendor tempatan sekali gus meningkatkan daya saing mereka di peringkat global.
Pelaksanaan projek itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan kerjasama rapat CAAM bagi memastikan setiap operasi mematuhi Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016. Fasa awal akan memberi tumpuan kepada aktiviti penyelidikan, ujian di darat serta latihan bakat di UNISEL sebelum penerbangan ujian berskala penuh dilaksanakan.
Pembukaan DronePort-1000 dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan Ekonomi Ruang Udara Rendah di Selangor, di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi dan aeroangkasa untuk generasi muda negara.




