IKIMfm : 24 JAM SELAMA 24 TAHUN, TANPA JEMU MENYEBAR KEFAHAMAN ISLAM. 

6 Julai setiap tahun, Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) meraikan ulangtahun penubuhannya. Menjangkau usia 24 tahun ini, pelbagai kejayaan  dalam dan luar negara telah berjaya diraih IKIMfm. Ini membuktikan IKIMfm kekal relevan menyediakan kandungan yang mendidik pendengar dengan pengisian yang memberi kefahaman Islam sebenar tanpa ketepikan aspek hiburan santai yang tidak menyesakkan. 

Sempena ulangtahun ke-24 ini, kami bawakan wawancara bersama Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. 

S: Bagaimana Dato’ melihat peranan yang dimainkan oleh IKIMfm dalam membawa misi IKIM menyebarkan kefahaman Islam?

J: Kita lihat peranan yang dimainkan oleh IKIMfm sangat penting dan sangat relevan. Relevan sampai bila-bila. Cumanya perlu dilihat semula agar kita tidak ketinggalan dalam aspek teknologi sedia ada. Sebab itu apabila kita membincangkan tentang IKIMfm, ia merupakan satu platform dan medium penting dan masih menjadi radio Islami nombor satu di Malaysia. IKIMfm bukan hanya didengari di Malaysia, bahkan di seluruh dunia menerusi aplikasi dalam talian. Perkembangan teknologi ini menjadikan IKIMfm dapat disebarluaskan kandungannya. Dalam hal ini, apa yang penting misi dan objektif IKIM dapat disampaikan oleh IKIMfm – memberi kefahaman Islam yang sebenar, sederhana dan memberi kefahaman Islam dengan realiti semasa masyarakat di Malaysia. Kerana itu, IKIM punyai peranan yang sangat penting untuk kita melaksanakan tanggungjawab dalam memberi kefahaman dan kita berjaya realisasikannya dengan adanya IKIMfm. Alhamdulillah, dengan ulangtahun ke-24 IKIMfm, ramai pendengar menyatakan “IKIMfm the best”. 

S: Apakah cabaran sebagai satu-satunya radio Islam yang membawa mesej dakwah kepada masyarakat?

J: Cabarannya ialah kerana adanya teknologi yang berkembang dengan pesat. Oleh itu, kita banyak berbincang bagaimana kita dapat meningkatkan media baharu kerana platform media baharu sangat penting agar IKIMfm kekal relevan selamanya. Selain pendengar boleh mengikuti IKIMfm menerusi 15 pemancar di seluruh negara, pendengar juga boleh mengikuti IKIMfm melalui aplikasi dalam talian seperti Audio+, Spotify dan MyTV Mana-mana. Ini adalah bukti bagaimana IKIMfm mengikuti peredaran zaman. Dalam hal ini saya menekankan pentingnya Bahagian Media Baharu agar dapat lebih merancang untuk masa depan. Peredaran teknologi itu cepat dan kerana itu kita tidak boleh leka. 

Cabaran seterusnya adalah bagaimana kita hendak berkongsi rancangan-rancangan IKIMfm untuk semua lapisan masyarakat. Pendengar tegar IKIMfm dalam lingkungan usia 40 tahun ke atas. Sekalipun mereka punyai keupayaan kewangan yang tinggi dan dapat menyumbang menerusi program Wakaf IKIM dalam kategori wakaf media, isunya kini bagaimana kita ingin sampaikan mesej Islam itu kepada pelbagai peringkat masyarakat serta kepada masyarakat berbilang agama. Alhamdulillah, IKIMfm turut mempelbagaikan kandungan bagi masyarakat bukan Islam memahami Islam yang sebenar dengan penerbitan rancangan berbahasa Inggeris pada setiap hujung minggu, jam 5 hingga 7 petang.

Selain itu, cabaran juga dalam aspek pulangan daripada apa yang telah dilaksanakan. Diharap rancangan yang bersiaran di IKIMfm itu telah mengubah perspektif pemikiran masyarakat yang mendengar dan dengan peningkatan jumlah pendengar IKIMfm yang kini mencecah lebih 1.3 juta itu turut meningkatkan pendapatan daripada sumber pengiklanan. 

Apa yang boleh dizahirkan di sini, IKIMfm mencakupi segenap lapisan masyarakat dari yang muda hingga ke golongan dewasa. Cuma, majoritinya adalah kalangan kelompok 40 tahun ke atas. IKIMfm satu-satunya radio Islam yang menyantuni kesemua lapisan usia. IKIMfm menyediakan banyak rancangan berbentuk ilmiah dan keagamaan sesuai dengan umur majoriti pendengar, di samping rancangan santai seperti memasak dan penjagaan kesihatan. Namun tidak ketinggalan menyantuni pendengar cilik dengan rancangan kanak-kanak, Alam Ria Si Kecil, kerana itulah saya katakan IKIMfm adalah sesuai untuk semua lapisan umur.

S: Apakah perkembangan IKIMfm sepanjang Dato’ bersama IKIM dan pencapaian IKIMfm yang diiktiraf dalam dan juga luar negara? 

J: Satu penambahbaikan IKIMfm, dengan kehadiran Pengarah Pusat Media, Hj. Ahmad Fuad Mat Ali – beliau telah membawa pasukan Pusat Media terutama sekali IKIMfm, dengan satu pembaharuan, I.S.L.A.H. Dalam hal ini, tahun lalu, IKIMfm telah melancarkan logo baharu yang lebih segar, satu penjenamaan yang seiring dengan kehadiran tagline baharu “Inspirasi Utama Anda”. Semua segmen dijenamakan dengan nama inspirasi – Inspirasi Pagi (6 – 10 pagi), Inspirasi Ilmu (10 pagi – 1 tengah hari), Inspirasi Jiwa (1 tengah hari – 4 petang), Kembara Inspirasi (4 petang – 7 malam) dan Suara Inspirasi (8 malam – 12 tengah malam) – diharap dapat memberi inspirasi kepada semua pendengar. 

Tahniah juga diucapkan kepada IKIMfm dalam usia 24 tahun telah berjaya merangkul pelbagai anugerah dalam dan luar negara. Terkini, pada Mei lalu, IKIMfm telah memenangi Anugerah Asia Pacific Broadcasting+ Awards 2025 yang berlangsung di Crowne Plaza, Changi Airport, Singapura menerusi kategori Radio Podcast Malaysia dengan penerbitan “Podcast Sit&Seek”. Selain itu, IKIMfm juga berjaya meraih tempat pertama Anugerah Media Radio pada Majlis Anugerah Media Agrobank 2024/2025 anjuran Agrobank dan Malaysia Press Institute (MPI) juga pada Mei lalu. Maknanya, dengan lain perkataan, IKIMfm bukanlah jaguh kampung! 

Kepelbagaian rancangan di IKIMfm yang menawarkan 60 peratus siaran berbahasa melayu dan 40 peratus dalam lain-lain bahasa dapat menarik pendengar dari dalam dan luar negara terutama sekali dengan rancangan belajar bahasa arab ‘Hayya Bil Arabiah’ yang mendapat sambutan hebat daripada pendengar. Inilah kelainan yang ada di IKIMfm yang tidak ada pada stesen-stesen radio lain. IKIMfm adalah stesen radio yang bersifat mendidik, bukan sekadar hiburan semata-mata. Keistimewaan inilah menjadi penarik dalam memberi kesegaran minda dan ketenangan jiwa dengan lagu-lagu yang tidak melemaskan. Apabila mendengar IKIMfm, kita juga menyediakan sajian rohani dengan bacaan al-Quran, hadith serta doa. 

Saya juga ingin berkongsi, pendengar IKIMfm juga fanatik dengan jadual siaran di IKIMfm. Sekiranya berlaku satu-satu perubahan yang mengubah kebiasaan siaran, ianya akan mendapat komen dan respon pantas daripada kalangan pendengar terutamanya melibatkan siaran doa. Inilah kelebihan yang dibawakan IKIMfm dengan adanya sajian doa yang memulakan awal pagi buat rakan pendengar. Di samping itu, ayat-ayat al-Quran juga disiarkan pada waktu-waktu solat setiap hari. 

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana pendengar IKIMfm telah banyak memberi saranan dan komen yang membina untuk IKIMfm terus bersiaran selama usia 24 tahun ini tanpa jemu, dengan siaran 24 jam sehari. 

S: Adakah Dato’ melihat IKIMfm ini masih relevan dalam membentuk masyarakat disamping perkembangan teknologi?

J: Sejujurnya, IKIMfm is a brand. Apabila menyebut IKIM, pastinya masyarakat akan mengingati IKIMfm. Itulah jenamanya dan itu adalah kekuatan. Apabila ditanya kepada anak muda, mereka pasti pernah mendengar IKIMfm sekalipun mendengar kerana ibu bapa atau keluarga. IKIMfm berjaya menarik ramai pengikut baharu terutama golongan muda dengan adanya media baharu, platform digital IKIMfm. Mereka melihat apa kandungan yang disajikan dan siapakah tetamu yang diundang menerusi kandungan reels dan juga kemaskini di media sosial. 

Pernah satu ketika IKIMfm mengundang tetamu warganegara berbangsa Melayu, wanita Islam  yang fasih berbahasa Korea dan siaran tersebut juga diterbitkan di platform digital yang akhirnya berjaya menarik pendengar muda yang gemar dengan budaya Korea. Bagi saya, kita perlu membawa mesej-mesej Islam yang sederhana dan tidak melampau yang memberi kefahaman mengikut realiti masyarakat di Malaysia kepada semua lapisan masyarakat dalam pelbagai bahasa. 

S: Harapan buat warga IKIMfm agar dapat bekerja dengan penuh semangat. 

J: Saya ingin ucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga IKIMfm yang telah bekerja dengan keras, tanpa jemu dan tanpa mengira penat lelah. Selain bertugas di konti radio, warga IKIMfm juga keluar menyantuni segenap lapisan pendengar di seluruh negara dan sehingga menjelajah ke negara jiran, Indonesia menerusi siri Jelajah Mahabbah IKIMfm Madani. Pendengar IKIMfm bukan sekadar dalam negara, bahkan turut didengari oleh negara jiran. Ini membuktikan warga IKIMfm telah menyumbang dan komited dalam tugasan mereka.

Semoga Allah SWT berikan kesihatan buat warga kerja IKIMfm dan akhirnya dapat meneruskan misi agar IKIMfm ini didengari dan ditontoni melalui kepelbagaian platform, samada melalui pemancar atau menerusi aplikasi. Semoga rakan pendengar beroleh manfaat daripada siaran IKIMfm.

Wartawan : Maslina Alias & Faiz Hj. Othman

Foto : Fathulmungin Mohd Yusof

WhatsApp
Scroll to Top