IKIM TERIMA ANUGERAH BUKU NEGARA 2023

Tanjung Malim, 21 Dis (IKIM) — Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merupakan antara penerima anugerah utama pada majlis Anugerah Buku Negara 2023 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim hari ini.

IKIM antara 11 penerima anugerah utama yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis tersebut.

Pada majlis hari ini juga, Anwar melancarkan Ensiklopedia: Menyingkap Rahsia Sains & Teknologi dalam Al-Quran.

IKIM menerima Anugerah Penerbit Prolifik (Syarikat Di Bawah Agensi Kerajaan) di samping Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali bagi Anugerah Perdana: Tokoh Kepimpinan Prolifik Dalam Memartabatkan Buku Negara dengan penerbitan buku yang berjudul G.R.E.A.T. dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerima Anugerah Perdana: Tokoh Kepimpinan Muda Cemerlang Dalam Memartabatkan Pembangunan Negara.

Anugerah Buku Negara merupakan majlis berprestij yang dianjurkan untuk mengiktiraf dan menghargai warga kerja buku di sebalik tabir industri penerbitan Malaysia, selain sebagai usaha meningkatkan mutu penerbitan judul dan karya baharu serta menyemai budaya menulis dan membaca masyarakat.

Tahun ini majlis anugerah itu menerima penyertaan sebanyak 500 naskhah buku daripada lebih 50 penerbit membabitkan 43 pemenang.

Scroll to Top