IKIM TEGAS TOLAK SEBARANG USAHA NORMALISASI GAYA HIDUP SONGSANG

KUALA LUMPUR, 10 Jan (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berpandangan isu berkaitan program “Glamping With Pride” perlu ditangani secara berasaskan ilmu, kefahaman dan hikmah selaras dengan prinsip Islam yang menekankan kasih sayang, bimbingan serta pemulihan, khususnya dalam menangani cabaran sosial semasa.

Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, pihaknya mengambil maklum penganjuran program tersebut oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan komuniti lelaki gay, biseksual dan lelaki yang melakukan hubungan sejenis di Malaysia, yang dilaporkan memberi tumpuan kepada aspek kesihatan dan sokongan komuniti berkaitan isu HIV.

Menurut beliau, Islam secara jelas menolak sebarang bentuk perlakuan yang bercanggah dengan fitrah manusia dan hukum syarak, namun dalam masa yang sama menggariskan pendekatan dakwah yang berhikmah serta pendidikan yang membina kesedaran moral dan akhlak.

“IKIM menegaskan bahawa sebarang usaha yang menormalisasikan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam tidak wajar disokong. Walau bagaimanapun, setiap isu sosial perlu ditangani dengan kebijaksanaan dan empati, dengan mengambil kira dimensi kesihatan awam, kesejahteraan mental serta tanggungjawab sosial yang berpaksikan nilai-nilai Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, IKIM menghormati hak asasi individu seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, namun menegaskan bahawa setiap hak perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab moral serta nilai-nilai Islam yang menjadi tunjang kepada keharmonian masyarakat dan pembentukan akhlak bangsa.

Dalam pada itu, Mohamed Azam menekankan bahawa penyelesaian jangka panjang terhadap isu berkenaan perlu berasaskan pendidikan nilai, pengukuhan institusi keluarga serta kerjasama erat antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak media dan masyarakat secara menyeluruh.

“Sehubungan itu, IKIM bersedia untuk menjadi rakan strategik dalam pelaksanaan program pendidikan, wacana dan penyelidikan yang memperkukuh kefahaman Islam dalam konteks kemanusiaan, kesihatan dan kesejahteraan sosial, selaras dengan prinsip rahmah, hikmah dan maqasid syariah,” kata beliau.

WhatsApp
Scroll to Top