IKIM MENYOKONG PENUH PEMULIHAN GAZA OLEH KERAJAAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 30 Januari (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyatakan sokongan penuh terhadap komitmen Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam usaha membangunkan semula Gaza menerusi pembinaan sekolah, hospital, dan masjid. 

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dalam satu kenyataan hari ini berkata inisiatif yang diumumkan pada 29 Januari itu dianggap sebagai bukti keprihatinan Malaysia terhadap kesejahteraan rakyat Palestin serta peranan negara dalam memperkukuh solidariti kemanusiaan antarabangsa.  

“Mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam progresif dan Pengerusi ASEAN menjadikan Malaysia strategik dalam menggerakkan sokongan antarabangsa bagi pemulihan Gaza,” ujar beliau. 

IKIM dalam kenyataan tersebut turut mengalu-alukan penubuhan dan pemerkasaan Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi, yang dipengerusikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia. 

“IKIM komited untuk memberi kerjasama penuh bagi menjayakan jawatankuasa dan matlamat yang bertujuan memastikan usaha pembangunan semula Gaza dilaksanakan dengan lebih berkesan, tersusun, dan berterusan melalui penyelarasan pelbagai agensi dan organisasi kemanusiaan,” tambah beliau. 

Menurut IKIM, kerjasama dengan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seperti Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi dapat memperkukuh usaha pembangunan semula yang lebih mampan. Selain itu, Malaysia juga boleh memainkan peranan dalam menggerakkan inisiatif serantau di peringkat ASEAN bagi menyokong kestabilan dan pembangunan Palestin.  

IKIM turut menyeru kerjasama dan penyertaan pelbagai pihak di peringkat domestik termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang amat penting dalam menyumbang kepakaran teknikal, sumber kewangan, serta jaringan strategik bagi memastikan kejayaan inisiatif ini. 

“Peranan NGO juga perlu diperkasakan bagi menyediakan sokongan logistik serta menggerakkan sukarelawan dalam mempercepatkan penyampaian bantuan,” tambah beliau.   

IKIM menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha pembangunan semula Gaza, selaras dengan prinsip keadilan sosial dan kemanusiaan sejagat.  

“IKIM kekal komited dalam mengukuhkan usaha yang menyumbang kepada pembangunan semula Gaza, sejajar dengan tanggungjawab kolektif dalam membina masyarakat global yang lebih aman dan sejahtera,” ujar beliau. 

WhatsApp
Scroll to Top