Oleh Siti Nur Madinah binti Muhammad Noor, Unit Berita Radio IKIM
BUKIT TUNKU, 30 Mac 2023 (IKIM) – Menjelang bulan Ramadan, bubur lambuk atau kanji sudah pasti menjadi kebiasaan juadah berbuka yang disukai ramai. Sebanyak 200 bekas bubur lambuk telah diedarkan kepada semua kakitangan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 30 Mac 2023 dibawah program “Memasak dan Pengagihan Bubur Lambuk” anjuran Kelab IKIM dengan kerjasama Surau IKIM.
Aktiviti memasak bubur lambuk yang bermula seawal jam 8.30 pagi dikendalikan oleh Encik Azlee bin Abdul Aziz yang merupakan tukang masak yang ditugaskan pada setiap tahun bagi program ini. Turut dibantu urusetia program yang lain dan dimeriahkan oleh penglibatan kakitangan IKIM yang berkelapangan untuk turun bersama menyediakan bubur lambuk. Kemeriahan bergotong-royong dalam program ini merupakan satu inisiatif untuk merapatkan hubungan silaturahim antara komuniti dan juga kakitangan IKIM.
Bubur lambuk yang siap dimasak dan mula diagihkan sekitar jam 12 tengahari. Ketua pengarah IKIM, YBhg. Prof. Madya Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil turut bersama-sama mengagihkan bubur lambuk kepada kakitangan IKIM untuk dijadikan juadah berbuka puasa.