KUALA LUMPUR, 11 Julai (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyuarakan kebimbangan serius terhadap penganjuran program motivasi dan pembangunan diri yang didakwa mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam isu kekeluargaan dan kesejahteraan individu.
Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil menegaskan bahawa setiap bentuk motivasi dan usaha pembinaan diri mestilah berpaksikan ajaran Islam yang sahih, serta memperkukuh nilai akhlak dan moral umat Islam.
“Islam adalah agama yang syumul, meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk urusan peribadi, keluarga, masyarakat dan hubungan dengan Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata sebarang pendekatan yang menggunakan istilah seperti kasih sayang, penerimaan diri atau kebahagiaan tanpa berpaksikan syariat, malah diselitkan dengan unsur falsafah sesat serta budaya yang bercanggah dengan akidah dan akhlak Islam adalah tidak wajar dan berbahaya.
IKIM turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemunculan program yang didakwa menyelitkan unsur falsafah songsang dan budaya bercanggah dengan akidah Islam, termasuk mempromosikan kebebasan syahwat dan normalisasi maksiat yang boleh menggugat institusi perkahwinan serta peranan fitrah lelaki dan wanita dalam keluarga.
“Tindakan sedemikian adalah penyelewengan yang boleh membawa kerosakan moral dan sosial, serta mengancam masa depan generasi akan datang. Ia perlu ditolak dan ditangani secara tegas oleh pihak berkuasa agama,” tegas beliau.
IKIM turut menyeru umat Islam di Malaysia agar sentiasa berwaspada dan meneliti kandungan program motivasi yang diikuti agar tidak terpengaruh dengan fahaman yang menyimpang.
“Marilah kita memperkukuh akidah, memelihara akhlak dan membina keluarga yang harmoni, penuh kasih sayang dan rahmat demi melahirkan generasi beriman serta bertamadun,” tambah beliau.
Sebelum ini, tular di media sosial pasangan suami isteri menganjurkan satu program motivasi yang bercanggah dengan akidah Islam dan dikaitkan dengan ajaran songsang.