Identiti Perundangan Negara

UNDANG-UNDANG negara kita perlu dilihat dalam konteks negara kita sendiri. Ia tidak boleh diasingkan daripada sejarah dan keadaan serta perkembangan setempat. Ini kerana undang-undang itu bercambah dari bumi, bukan jatuh dari langit. Undang-undang itu hendaklah berasas dan bertunjangkan identiti negara.

Sehubungan dengan itu pertalian antara antara sosiologi, termasuk sejarah serta budaya, dan undang-undang adalah aspek penting dalam menentukan sifat sistem perundangan sesebuah negara.

Dalam konteks hak asasi sebagai contoh, sekiranya diperhatikan pendekatan yang diambil oleh ramai pembela hak asasi, mereka tidak menolak kepentingan keadaan setempat dalam menentukan sifat perundangan sesebuah negara.

Dalam soal hak asasi ini, menarik untuk disebut bahawa, walaupun negara kita belum lagi  menandatangani dua perjanjian penting di peringkat antarabangsa, iaitu Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik dan Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak-Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan, kita bukanlah negara yang tidak menghormati hak-hak kemanusiaan. Malah negara kita adalah lebih baik berbanding dengan beberapa negara yang telah menandatangani perjanjian-perjanjian tersebut. Sebagai contoh, di negara kita tidak berlaku kezaliman seperti di Guantanamo Bay, walaupun Amerika Syarikat telah menandatangani perjanjian-perjanjian tersebut.

Oleh yang demikian adalah tidak adil untuk dicadangkan supaya semua perundangan, termasuk Perlembagaan Persekutuan, dipaksa menerima bulat-bulat semua peruntukan dokumen antarabangsa  semata-mata demi menghormati dokumen antarabangsa. Sebenarnya, asalkan kita dapat memberikan justifikasi berkesan terhadap perundangan negara, ia akan menjadi alasan kukuh bagi negara untuk mengekalkan identiti perundangannya. Undang-undang antarabangsa masih lagi mengekalkan polisi mengiktiraf perundangan tempatan.

Saya tidak menafikan desakan antarabangsa ke atas negara-negara untuk menandatangani perjanjian antarabangsa, tetapi, desakan tersebut tidaklah memaksa kita meminda, dengan serta merta, kesemua undang-undang negara. Kita perlu membuat penelitian yang berasas sebelum pindaan atau perubahan kepada sebarang undang-undang negara, lebih-lebih lagi perubahan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan atau apa juga perubahan kepada undang-undang negara hendaklah dikaji dengan menyeluruh dan memberikan perhatian khusus kepada undang-undang yang menjadi simbol atau identiti bangsa dan negara. Di sinilah kerajaan memerlukan kekuatan hujah dan pendirian tentang perundangan negara.

Mereka dalam bidang perundangan juga perlu membantu kerajaan dalam mengenalpasti identiti perundangan yang perlu bebas daripada pindaan atau perubahan. Agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam perkara tersebut pula perlulah membuka ruang untuk perbahasan awam tentangnya.  

Berkaitan, dalam menentukan jatidiri dan prinsip perundangan negara, adalah tidak adil untuk kita memulakan sejarah undang-undang kita hanya daripada titik hari kemerdekaan dan adalah tidak adil untuk melihat undang-undang kita dari aspek perundangan antarabangsa semata-mata. Ini kerana apa juga yang menjelma pada tarikh 31 Ogos 1957 itu sebenarnya merupakan evolusi yang berasal daripada rentetan sejarah yang panjang. Perjanjian dan Perlembagaan tahun 1957 itu terhasil daripada kerangka asal perundangan negara, termasuklah perjanjian, rundingan dan persefahaman yang dicapai puluhan tahun sebelum titik 1957 itu.

Mengenai perundangan antarabangsa, kita tidak menolak perkembangan terkini tentang kepentingan keseragaman undang-undang antarabangsa. Kita tidak lagi boleh diam di bawah tempurung dan memisahkan diri daripada dunia luar. Dunia kini menjurus untuk menjadi sebuah kampung yang mudah diteroka melalui teknologi semasa, sebagaimana debat dunia ini akan ditadbir oleh satu kuasa sahaja dan memansuhkan sistem negara bangsa. Oleh itu, kita hendaklah maju ke hadapan dengan prinsip yang jelas.  

Kelangsungan identiti perundangan kita, adalah tanggungjawab kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mempertahankan keaslian identiti tersebut. Kekuatan inilah yang menjadi modal untuk kita mendepani cabaran globalisasi di masa kini dan masa depan. Bukan tidak ada cendikiawan dari tempat lain yang menceritakan tentang kita, tetapi, kefahaman mereka tentng kita amat jauh bezanya daripada kefahaman kita tentang kita. Walaupun kita dan cendikiawan lain itu melihat kepada fakta yang sama, tetapi perbezaannya ialah, kita melihat dan memahami fakta tersebut menerusi kaca mata kita dan mereka melihatnya daripada kacamata mereka. Ini tentunya membuahkan hasil yang amat berbeza. Kita perlu ingat bahawa pembacaan kita tentang sejarah hendaklah berteraskan kepada bacaan pusaka nenek moyang kita.

Rencana yang disiarkan ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri
Scroll to Top