Hisab & Perhitungan Serta Mizan

SATU hari nanti seluruh umat manusia akan dihisab oleh Allah untuk dihitung kembali setiap amalan yang dilakukan sebelum dimizankan atau ditimbangkan amalan sama ada layak atau tidak untuk memasuki syurga Allah. Apabila tiba waktu dihisab, ia merupakan waktu yang paling menggerunkan ketika berada di Padang Mahsyar sebagaimana peringatan Rasulullah SAW, tidak akan berganjak telapak kaki anak Adam sehingga disoal ke atasnya empat perkara iaitu tentang umurnya, kemanakah dihabiskan masa ketika hidup di dunia dahulu, di manakah dihabiskan usia muda? Dari manakah datangnya harta benda dan kemanakah ia dibelanjakan?

Golongan pertama yang akan dihitung amalannya di Padang Mahsyar nanti ialah para nabi dan rasul. Firman Allah di dalam Surah al-A’raf, ayat 6: “Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-rasul itu.” Menerusi slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm setiap Khamis jam 5.15 petang, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani berkongsi tentang hadis yang diriwayatkan Abu Hamid, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap nabi datang pada Hari Kiamat di hadapan Allah bersama satu orang, ada seorang nabi yang datang bersama dua orang, ada seorang nabi yang datang bersama-sama tiga orang dan ada seorang nabi yang tiada seorang pun yang mengikutinya. Kemudian dikatakan kepada mereka, adakah kamu telah sampaikan risalah kami kepada umat kamu? Para nabi menjawab, “Sudah, wahai tuhan kami.” Lalu ditanya kepada umatnya, “Adakah mereka telah menyampaikan kepada kamu semua wahai umat manusia?” Umat manusia yang degil akan menjawab, “Belum, ya Allah,yang diseru hanyalah mereka yang berada dikalangannya”. Ditanya kepada para nabi tersebut, siapakah yang akan menjadi saksi terhadap ajaran yang kamu bawa. Lalu mereka menjawab, “Nabi Muhammad SAW dan umatnya”.

Kemudian dipanggil Nabi Muhammad beserta umatnya dan ditanya adakah orang ini  telah menyampaikan seruan kepada kaumnya. Seterusnya umat Nabi Muhammad menjawab, “Sudah, ya Allah.” Ditanya bagaimana mereka mengetahui bahawa para nabi itu telah menyampaikan risalah mereka. Dijawab oleh umat Muhammad bahawa nabi mereka telah menyatakan perkara demikian dan menyakini apa yang dibawa oleh Baginda. Firman Allah menerusi Surah al-Baqarah, ayat 143: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadi kiblat yang engkau menghadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali  kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang-orang (yang beriman).”

Golongan kedua yang akan dihisab oleh Allah SWT di Padang Mahsyar kelak ialah para syuhada. Semoga kita tergolong di kalangan orang mukmin yang mati syahid di jalan Allah walaupun dengan hanya sentiasa berdoa agar berada di dalam golongan ini sama ada syahid dunia atau akhirat. Istimewanya golongan ini, tidak akan dihisab dan tidak disoal Allah SWT pada hari akhirat kelak.   Firman Allah di dalam surah al-Zumar, ayat 69; “Dan akan bersinar terang-benderanglah bumi (hari akhirat) dengan cahaya Tuhannya; dan akan diberikan Kitab suratan amal (untuk dibicarakan); dan akan dibawa Nabi-nabi serta saksi-saksi; dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.”

Setelah itu tiba giliran golongan umat manusia dipanggil seorang demi seorang untuk dihisab amalan baik atau buruk. Pada masa itu seluruh anggota badan menjadi saksi terhadap apa yang telah dilakukan dahulu. Di dalam firman Allah, surah Yasin, ayat 65: “Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” Apabila dihumban ke dalam neraka di atas balasan amalan buruk yang dilakukannya, mulut bertanya kepada seluruh anggota badan lain yang bercakap dan menjadi saksi di atas perbuatan yang dilakukan. Dijawab oleh anggota badan lain bahawa ini bukan kehendak mereka tetapi Allah menjadikan mereka dapat berkata-kata.

Rasulullah SAW mengingatkan kepada mereka yang tidak mengeluarkan zakat ketika hidup di dunia dahulu, pada hari Kiamat nanti mereka yang memiliki emas dan perak tetapi tidak berzakat ini akan diseterika tubuh badan mereka, diatas kening dan dilambung belakangnya  dengan jongkong besi yang dibakar dengan api neraka jahanam. Setelah sejuk jongkong itu, dibakar semula selama satu hari dengan api neraka yang tempohnya di dunia bersamaan 50,000 tahun sehingga tiba hari pengadilan semua umat manusia sehingga mereka melihat jalan mereka menuju ke syurga atau neraka.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 27 Oktober 2016
WhatsApp
Scroll to Top