Hikmah Dibalik Kefardhuan Puasa

“Ya Allah berkati hidup kami di bulan Rajab ini, dan juga di bulan Syaaban, serta panjangkan umur kami hingga bulan Ramadan”. Tiada sesuatu yang lebih diinginkan dalam kehidupan selain kebarkatan terutama saat bulan Ramadan yang di rindui mula menggamit.

Memasuki bulan Syaaban, pastinya debarannya kian terasa. Jika di semak di dalam kamus kehidupan bangsa Arab dahulu,  ketika tibanya Bulan Syaaban maka akan berpecah-pecah bertebaran bangsa arab ini dengan membawa timba dan bekas-bekas untuk mencari sumber air. Sinario ini berulang saban tahun tika hadirnya bulan Syaaban ini. Situasi tersebut berlaku atas kesedaran bahawa selepas daripada bulan ini akan dating satu keadaan yang sangat panas. Justeru, bersama kehadiran suhu yang panas terlampau itu akan mengakibatkan mata-mata air mengering dan anak-anak sungai akan kontang yang akan mematikan sumber air mereka. Oleh itu, walau apa juga keadaan diri saat itu, mereka akan sehabis usaha mendapatkan bekalan air yang cukup bagi menampung keperluan merekan kala tibanya saat kering kontang itu. Lantas, mereka menamakan bulan itu sebagai Syaaban yang bermaksud berpecah-pecah atau berserakkan mencari dan menggumul sumber air sebagai persediaan menempuh satu bulan yang bersangatan panasnya.

Dengan semangat itu, Usrah Nurani Jumaat lalu mengetengahan kisah dan di kaitkan isu persediaan tersebut dengan keadaan hidup manusia masakini. Naqib; Ustaz Zul Ramli M. Razali telah mengajak seluruh rakan usra termasuk yang berada di konti IKIMfm iaitu Saudara Nasri Nasir dan artis Farrah Asikin untuk menyemak bersama kebersediaan diri mental dan fizikal dalam usaha menempuh bulan yang panas bukan sekadar yang terasa pada zahir namun penyumbang bahang panas buat nafsu masing-masing. Oleh itu, ia mengundang persediaan rapi dari sudut fizikal , mental dan spiritual untuk memastikan matlamat mengecap redha dan pengampunan Allah SWT di raih selepas Ramadhan di tinggalkan nanti. Maka, amalan persediaan bangsa Arab yang dahulu itu boleh di adaptasi dalam situasi hari ini dengan mencari dan menggumpul sebanyak mungkin sumber keberkatan itu sepanjang syaaban ini sebagai langkah persediaan menyambut Ramadan nanti bagi memastikan matlamat yang di letak tercapai.

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW : “Dinamakan Syaaban (berserak-serak) kerana padanya terdapat amat banyak kebajikan yang berserak-serak dan puasa yang lebih afdal sesudah Ramadan ialah puasa  bulan Syaaban.”

Sebagaimana resam keterujaan orang-orang soleh, mereka sudah mula mempersiap diri sedari masuknya Rabiulawal iaitu 6 bulan sebelum tibanya Ramadan. Persiapan dan persediaan tersebut pastinya membawa kepada menghayatan yang benar-benar khusyuk saat berada di dalam Ramadan nantinya. Sehinggakan, ketika Syawal bertandang mereka masih mengenang-genang Ramadan dengan penuh rasa nostalgik sehingga terus terbawa-bawa doa memburu lailatulqadar walau ia telah berlalu pergi. Ia berlanjutan selama 6 bulan berikutnya. Begitu besar Ramadan bagi mereka yang memahaminya.

Ramadan tidak hanya hadir dalam bentuk teknikal berpuasa semata. Ramadan hadir penuh dengan hikmah bagi manusia yang benar-benar faham tetak duduk tuhan dalam hidup mereka. Sesungguhnya erti pada sesuatu terletak pada pemahaman yang jitu tentang sesuatu itu. Apakah puasa dan apakah hikmah di balik hukum wajib berpuasa?

Allah Taala berfirman mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan kepada kalian puasa sebagaimana telah diwajibkan kepada orang-orang sebelum kalian, mudah-mudahan kalian bertakwa” (Surah Al-Baqarah, ayat 183). Hukum berpuasa telah ditetapkan oleh Allah SWT. Justeru, walau puasa itu wajib namun ia bukanlah ibadah yang sewajarnya di laksanakan dengan penuh keterpaksaan. Perlu kepada penghayatan kerana di balik setiap perintah pasti ada sumber kekuatan yang Allah ingin berikan kepada diri individu yang melaksanakannya. Sumber kekuatan ini bukan dari sudut fizikal malah meliputi spiritual, emosi dan rohani.

Dengan berpuasa bukan sekadar menyalur sumber kesihatan tubuh atas kerehatan dan penambahbaikan system tubuh malah jauh daripada itu ia memberikan rasa lazat pada iman dan ketenangan diri. Justeru, selagi masih di dalam bulan Syaaban ini maka carilah ilmu sebanyak mungkin untuk mengenal Ramadan agar tibanya bersambut dengan syukur dan pengakhirannya menatijahkan diri yang lebih akur.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 27 Mei 2016
WhatsApp
Scroll to Top