Tiga Bentuk Amalan Ibadah

USTAZ Muhamad Abdullah al-Amin berkongsi beberapa kelebihan amalan dalam rancangan Pesona D\’ Zahra yang bersiaran di radio IKIMfm pada hari Isnin jam 10.15 pagi. Namun, ia akhirnya terletak kepada keikhlasan hati manusia itu sendiri ketika beramal. Hati adalah juzuk terpenting dalam diri manusia. Hatilah yang menentukan arah tuju hidup, adapun anggota-anggota yang lain hanya mengikut sahaja. Hakikat ini telah diperingatkan oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya mafhumnya, “Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik segumpal daging itu, akan baiklah jasad keseluruhannya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati” (HR Bukhari).

Menurut  Ustaz Muhammad terdapat tiga amalan yang perlu diterapkan. Pertama ibadah  yang bersifat umum yang merujuk kepada semua amalan yang dilakukan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT.  Amalan umum adalah segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan ibadah khusus di mana ia dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya yang bertujuan baik dan dilakukan mengikut anjuran syariat.  Misalnya,  terlibat dalam aktiviti-aktiviti berbentuk kebajikan, membantu mangsa-mangsa  bencana alam, memberi sumbangan kepada pesakit di hospital hatta membuang duri di jalanan yang boleh menganggu orang lain juga termasuk dalam ibadat. Membantu tugasan rakan sekerja yang kesempitan juga merupakan antara ibadah umum yang baik. Kepentingan dalam melaksanakan ibadah umum  amat  jelas  dihuraikan  oleh  Allah SWT: Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu (Surah Muhammad, ayat 7)

Amalan seterusnya  yang amat dituntut ialah  amalan khusus yang disebut di dalam kitab Al-Qur’an atau hadith. Ia juga  meliputi  perkara yang wajib dilakukan oleh umat Islam sebagai satu cara mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ia merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung dalam Rukun Islam  seperti solat, puasa, zakat dan  haji. Ianya bersifat taufiqiyyah, iaitu dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan oleh syara\’ dan sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah SAW tanpa boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan terhadapnya.

Akhir  sekali,  Ustaz Muhamad turut menekankan tentang kepentingan dalam  mempratikkan amalan istemewa yang mempunyai beberapa kelebihannya tersendiri. Antaranya mengamalkan  Ayat Kursi. Difahamkan, sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan istiqamah setiap kali menunaikan  selesai solat  fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali masuk ke rumah atau ke pasar, setiap kali masuk ke tempat tidur dan musafir, insyaAllah akan diamankan dari godaan syaitan dan kejahatan raja-raja (pemerintah) yang kejam, diselamatkan dari kejahatan manusia dan kejahatan binatang yang memudaratkan. Terpelihara dirinya dan keluarganya, anak-anaknya, hartanya, rumahnya dari kecurian, kebakaran dan kekaraman. Di samping itu, bagi mendapat perlidungan dan syafaat dari Allah SWT, turut dianjurkan untuk mengamalkan Surah Al- Hasyr ayat  21 hingga 24. Tiga ayat akhir surah tersebut  mengandungi fadhilat dan khasiatnya yang tersendiri. Ianya mempunyai ‘Asma ul Husna’ yang paling agung pada enam ayat terkhir dari surah Al-Hasyr. Penyebutan nama-nama Allah yang paling indah yang mengkisahkan sifat-sifat-Nya yang menjadikan-Nya Tuhan. Dia Maha Pencipta dan yang selayaknya disembah. Hanya dengan mengingati Allah maka hati kita dilatih menjadi sedar dan insaf kerana kita ini hamba-Nya.

Kesimpulannya, dengan melatih diri kita untuk terus konsisten dalam meningkatkan amalan umum, khusus dan istimewa insyaAllah pasti akan mendekatkan diri kita kepada Maha Pencipta  serta memperolehi ganjaran di dunia mahupun di akhirat kelak serta dijauhkan daripada gangguan jin, iblis dan perbuatan sihir oleh manusia yang berhasad.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 30 Mei 2016
\"2016-05-30\"
Scroll to Top