Hikmah Bersangka Baik

HIKMAH adalah kebijaksanaan yang tertinggi merujuk kepada kejernihan akal  dan kebersihan hati seseorang mukmin yang selalu meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dalam hidup. Bahkan hikmah itu sendiri akan diperolehi bukan hanya sekadar melalui ilmu yang dituntut atau pembacaan buku tetapi melalui pengalaman dan pengajaran ilmu kehidupan.

Melalui rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap Rabu, jam 10.30 pagi di radio IKIMfm, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menjelaskan seseorang mukmin yang mempunyai hikmah yang tinggi dalam diri akan menggunakan kecerdikan akal untuk menyusun atur kehidupan sehingga jika melalui kegagalan dalam sesuatu usaha yang dilakukan, ianya diterima sebagai pengajaran untuk mencari pengajaran tersembunyi disebalik kegagalan yang berlaku.

Sesungguhnya nilai hikmah bagi seseorang mukmin akan dimatangkan oleh pengalaman hidup. Sebab itu orang yang lebih berusia atau lebih dahulu ‘makan garam’ dalam hidup akan lebih jelas hikmah pertimbangan sesuatu keadaan dalam hidup mereka. Berbanding orang muda yang kurang kematangan atau pengalaman lebih kurang berhikmah dalam berdepan dengan pelbagai situasi kehidupan.

Justeru, dalam perjalanan hidup menuju kepada sebuah kehidupan yang lebih bermakna, seseorang mukmin hendaklah mengisi dirinya dengan kematangan akal fikiran yang berhikmah, keluasan hati serta kekuatan jiwa yang kental agar suka duka dan pahit manis yang menyulam kehidupan ini sentiasa terpandu oleh perbuatan yang membawa kepada kebaikan.

Manusia yang melihat kesulitan atau kekurangan dalam kehidupan dari sudut pandang yang penuh hikmah, akan selalu terdidik hatinya dengan rasa ikhlas dan sabar. Begitu juga seseorang mukmin yang sabar dan redha menempuh ujian serta takdir yang menyakitkan, akan dapat melihat betapa hebatnya perancangan Allah terhadap setiap hambaNya, lalu setiap perkara yang menyakitkan itu akan tersulam manis dihujungnya.

Seseorang yang berhikmah mempunyai kejernihan hati yang suci murni. Bagaimana untuk mendapat hati yang bersih? Jawapannya melalui hubungan pertalian dengan pemilik alam ini iaitu Allah SWT. Manusia yang hati dan bibirnya sentiasa dibasahi ungkapan zikrullah kepada Allah SWT mempunyai ketenangan hati luar biasa, bahkan mempunyai jiwa yang besar dan selalu melihat seluruh kehidupan ini dengan sudut pandangan yang baik.

Kejernihan hati pastinya tidak akan diperolehi tanpa latihan yang berterusan iaitu membina pertalian hubungan dengan Allah melalui amal ibadat kepadaNya. Begitu juga hati yang jernih dan bersih akan akan diperolehi melalui solat taubat nasuha kepadanya serta tidak sekali-kali mendekati perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Nabi Muhamad SAW sendiri setiap hari sekurang-kurangnya beristighfar kepada Allah SWT sebanyak 70 kali sehari kerana takut akan azab Allah SWT dan mahu meletakkan diri baginda dalam keadaan sentiasa mengingati Allah.

Sebagai seorang mukmin yang tidak lari dari melakukan kesilapan, mengingati Allah SWT dengan zikrullah dan selawat kepada baginda Rasulullah SAW sekurang-kurangnya akan membersihkan hati dari terleka dengan mengingati perkara yang dilarang atau setidak-tidaknya tidak terpedaya dengan bisikan syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia.

Hikmah juga terdapat pada akal fikiran yang sihat dan cerdas. Seseorang yang akalnya bijaksana, waras dan matang akan menjernihkan buah fikiran yang akan membuah pandangan yang memberi manfaat kepada orang sekeliling.

Akal yang tidak cerdik atau tidak matang pastinya tidak akan mendorong seseorang untuk bertindak secara hikmah dan bijaksana. Melalui akal yang tidak pintar ini juga akan menyumbang kepada tindakan yang menjurus kepada perbuatan yang merosakkan diri. Sebagai contohnya seseorang yang tidak matang dan tidak dimatangkan oleh pengalaman atau ilmu tidak akan membuat keputusan yang bijaksana. Justeru tindakan demi tindakan yang diambil itu akan merosakkan diri sendiri malah orang lain juga.

Selain itu seseorang mukmin juga disarankan untuk mempertingkatkan kualiti diri melalui sudut pandangan yang positif. Kekuatan dalaman akan diterjemahkan melalui perbuatan dan kata-kata yang baik. Bersangka baik dengan Allah dan sesama manusia akan membina kekuatan diri yang utuh bukan hanya dari luar tetapi dari sudut dalaman.

Sebagaimana pesanan Saidina Umar al-Khattab RA, katanya “Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimat yang keluar daripada seorang saudara mukminmu (sangkaan)  keburukan, selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik.”

Bahkan Allah SWT mengingatkan kepada manusia agar tidak berperangsaka buruk  kerana perbuatan tersebut tidak memberi kebaikan kepada manusia. Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran melalui surah al- Hujurat ayat 12 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah dari banyak berprasangka buruk; Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Sesungguhnya Allah SWT Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-hamba yang melakukan kesilapan dan kesalahan. Berdoalah kepada Allah tanpa rasa putus asa kerana Allah sentiasa membuka pintu rahmat untuk setiap hambaNya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 Mac 2016
Scroll to Top