Doa Ahli Syurga Buat Keluarga di Dalam Neraka

SYURGA dan neraka adalah janji Allah SWT yang pasti buat hamba-hambanya. Amalan kita di dunia bakal menentukan destinasi terakhir kita di akhirat kelak. Bukan urusan kita untuk menentukan siapa yang bakal ke syurga dan neraka kerana urusan syurga dan neraka adalah milik Allah SWT.

Menerusi segmen Ibrah minggu lalu yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, 5.15 petang, Ustaz Muhammaad Syaari Ab Rahman berkongsi menjawab persoalan yang timbul “Adakah ahli syurga boleh mendoakan keluarga mereka yang berada di nereka?”. Sekiranya kita sayangkan seseorang di dunia dan inginkan dia berada di syurga kelak, maka didiklah dia ketika di dunia agar mendapat pengakhiran yang baik. Bersangka baik dengan Allah SWT dan hamba-hambaNya kerana rahmat Allah SWT mengatasi kemurkaanNya.

Bahkan keberadaan kita kelak ketika di syurga adalah dengan rahmat Allah SWT. Bukan amalan kita yang menjadikan syurga milik kita, bahkan amalan kita adalah asbab untuk mendapatkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Maka, hanya dengan kasih sayang Allah SWT yang akan membuatkan kita masuk ke syurga. Urusan syurga dan neraka adalah perkara yang menjadi misteri dan kita tidak mengetahui ketentuannya. Jangan mudah bersangka seseorang itu akan mudah masuk ke neraka. Perlu ada sangka baik kepada Allah SWT.

Apabila kita membaca ayat-ayat Allah SWT di dalam Al-Quran, kita akan sentiasa mendapati Allah SWT sedaya upaya mahukan hambaNya yang beriman masuk ke dalam syurga. Kita perlu sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT. Sekiranya seseorang itu, pengakhirannya tidak sebaik yang kita lihat, tetapi kita tidak akan mengetahui hakikatnya dan rahmat Allah SWT kepadanya.

Ustaz turut berkongsi sifat ahli syurga adalah taat keapada Allah SWT dan mereka redha dengan ketentuan Allah SWT. Ketika mereka di dunia, mereka telah susah dengan pelbagai amalan soleh dan amalan kebaikan. Ketika di syurga mereka akan berseronok namun tidak sekali-kali lupa untuk taat akan perintah Allah SWT. Kata-kata mereka penuh dengan kebaikan. Mereka tidak mengejek, mengata bahkan mengumpat ketika mereka di syurga. Ahli syurga sangat memahami Allah SWT maha adil. Allah SWT telah memberi pilihan kepada manusia ketika di dunia untuk memilih antara iman atau kekufuran. Allah SWT telah memberikan masa yang secukupnya kepada manusia untuk memilih jalan taqwa atau sebaliknya.

Sekiranya seseorang hamba memilih jalan kekufuran, maka di akhirat kelak, Allah SWT menjalankan tugasNya dengan maha adil untuk memberi balasan yang setimpal dengan amalan mereka ketika di dunia. Ahli syurga sangat memahami hakikat ini dan tidak mengatakan Allah SWT sebagai tidak adil sekalipun yang dihukum itu adalah dalam kalangan ahli keluarga mereka. Pembalasan di akhirat adalah setimpal dengan amalan kita ketika di dunia.

Ahli syurga sibuk menikmati dan merasai segala nikmat yang ada di syurga. Mereka sibuk dan tiada masa untuk mengenang dengan apa yang mereka pernah ada di dunia. Mereka tidak akan terkenang-kenang dengan ahli keluarga mereka ketika di syurga. Allah SWT juga telah menghapuskan rasa gelisah dan penyesalan terhadap ahli syurga.

Mereka tidak akan bimbang walaupun sedikit terhadap ketentuan Allah SWT. Ketika di syurga, para ahli syurga memahami akan hakikat bahawa Allah SWT telah menentukan segala ketentuan buat hambaNya samada menikmati syurga Allah SWT atau diazab di dalam neraka Allah SWT.

Allah SWT mencampakkan kasih sayang ke atas kita ketika di dunia. Apabila wujud rasa kasih sayang itu di dunia, maka kita akan bersungguh-sungguh mempertahankan insan yang kita sayang daripada ancaman dan sebarang malapetaka. Bagaimanapun, ketika di akhirat kelak, peraturan dan fitrah kasih sayang ini akan berubah. Allah SWT mencampakkan rasa kasih dan sayang bukan lagi atas dasar keluarga bahkan atas dasar keimanan dan ketaqwaan.

Definisi kelurga akan berubah ketika di syurga nanti. Setiap ahli syurga bagaikan sebuah kelurga dan wujud kasih sayang antara mereka semua. Sekiranya ada di antara ahli keluarga kita dan orang yang kita sayang itu beriman, maka Allah SWT akan mengekalkan rasa kasih dan sayang itu sesama kita ketika di syurga. Manakala Allah SWT mencabut perasaan kasih sayang kita ketika di syurga kepada orang yang tidak beriman meskipun kepada ahli keluarga sendiri. Allah SWT telah mencabut setiap perasaan yang tidak baik dalam kalangan ahli syurga.

Tidak akan wujud rasa simpati dalam kalangan ahli syurga terhadap ahli keluarga mereka yang  telah melakukan maksiat kepada Allah SWT ketika di dunia dan mereka telah menerima balasan atas setiap perbuatan mereka.

Ketika Peperangan Badar kita dapat melihat fenomena ahli syurga. Ketika perang ini, Abu Ubaidah bin Jarrah RA telah membunuh ayahnya sendiri ketika ayahnya dengan bersungguh-sungguh hendak menentangnya. Inilah satu peperangan yang membabitkan ahli syurga yang mana jelas kita lihat ikatan kekeluargaan tidak lagi bermakna sekiranya tiada iman. Tiada lagi rasa simpati ahli syurga terhadap ahli neraka.

Ustaz Syaari berkongsi kisah ini merujuk kepada ayat Al-Quran Surah As-Saaffaat ayat 50 -61 yang bermaksud :

(Tinggalah penduduk Syurga itu menikmati kesenangan), lalu setengahnya mengadap yang lain, sambil berbincang dan bertanya-tanyaan. Seorang di antaranya berkata: \” Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku). \”katanya: Adakah engkau juga salah seorang dari golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati pada hari akhirat)? \”Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang telah kita lakukan? \” \’ (Setelah menceritakan perihal rakannya itu) ia berkata lagi: \” Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)?\” Maka ia pun memandang (ke arah neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah neraka yang menjulang-julang. Ia pun (menempelaknya dengan) berkata:\” Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan. \”Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayah petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab) \”. (Kemudian ia berkata kepada rakan-rakanya yang sedang menikmati kesenangan di Syurga bersama): \” Bukankah kita (setelah mendapat nikmat-nikmat ini) tidak akan mati lagi, – \”Selain dari kematian kita yang dahulu, dan kita juga tidak akan terkena seksa?\” Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan Syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar. Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 Mac 2016
Scroll to Top