KUALA LUMPUR, 11 Sept (IKIM) – Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel pada 9 September lalu yang menyasarkan zon awam dan diplomatik di ibu kota Doha, Qatar.
HIKAM dalam satu kenyataan semalam berkata serangan itu bukan sahaja mencabuli kedaulatan Qatar, malah melanggar undang-undang antarabangsa serta mengancam kestabilan serantau dan global.
Serangan yang dilaporkan menyasarkan anggota biro politik Hamas yang terlibat dalam rundingan gencatan senjata itu turut berlaku berhampiran kawasan berpenduduk padat, sekali gus membahayakan nyawa orang awam dan menjejaskan proses diplomatik.
“Pencerobohan ini bukan sekadar serangan ke atas integriti wilayah Qatar, tetapi percubaan untuk mensabotaj inisiatif perdamaian yang sedang berjalan,” kata HIKAM dalam kenyataan bersama yang dianggotai Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan HALUAN.
HIKAM turut mengecam serangan Israel di perairan Tunisia terhadap sebuah kapal awam dikenali sebagai Family Boat, sebahagian daripada misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang berlayar di bawah bendera Portugis membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Kapal itu dilaporkan turut membawa aktivis terkenal antarabangsa termasuk Greta Thunberg.
“Tindakan Israel ini menunjukkan ia beroperasi seperti sebuah Outlaw State yang bebas melanggar undang-undang tanpa rasa takut terhadap kebertanggungjawaban,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, HIKAM menyeru tindakan segera melalui saluran antarabangsa, termasuk; Mendesak Majlis Keselamatan PBB mengadakan sesi tergempar bagi membincangkan pencabulan terhadap kedaulatan Qatar dan Tunisia; dan Menggesa Qatar dan Tunisia, dengan kerjasama Liga Arab, OIC dan NAM, memperkenalkan resolusi di Perhimpunan Agung PBB untuk mengutuk serangan tersebut.
Selain itu, HIKAM turut menggesa agar memulakan prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi mendapatkan pendapat nasihat tentang kesahihan serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah berdaulat serta membawa isu ini ke Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) untuk disiasat sebagai kemungkinan jenayah terhadap kemanusiaan.
HIKAM turut mengulangi gesaannya agar tindakan boikot, sekatan dan penjualan global terhadap Israel diperkasakan sehingga rejim itu mematuhi undang-undang antarabangsa dan menamatkan dasar aparteid serta penjajahan.
“Rakyat Palestin mesti diberi hak untuk menentukan masa depan mereka sendiri dengan memiliki sebuah negara berdaulat, bebas daripada hegemoni Zionis. Dari Sungai ke Segara, Palestin pasti merdeka!” tegas kenyataan itu.