HIJRAH TUNTUT UMAT ISLAM BERANI BERUBAH DEMI MASA DEPAN LEBIH GEMILANG – SULTAN NAZRIN

PUTRAJAYA, 17 Jun (IKIM) – Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bukan sekadar perpindahan fizikal, sebaliknya menjadi lambang keberanian melakukan perubahan, pengorbanan dan pembinaan tamadun berasaskan iman, ilmu serta akhlak.

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, peristiwa Hijrah membuktikan bahawa masa depan yang gemilang hanya dapat dicapai melalui kesediaan untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Menurut baginda, umat Islam perlu memahami bahawa kejayaan tidak akan dicapai tanpa keberanian meninggalkan kelemahan dan melakukan transformasi diri sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.

“Hijrah ialah lambang keberanian untuk berubah. Hijrah mengajar bahawa tiada kemajuan akan tercapai tanpa keberanian untuk berubah,” titah baginda ketika merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, terdapat empat pengajaran utama daripada peristiwa Hijrah yang wajar dijadikan panduan oleh umat Islam iaitu kesanggupan berkorban, perancangan strategik dan kepimpinan berwawasan, perpaduan serta kerjasama, dan tawakal kepada Allah SWT.

Baginda menjelaskan, semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh golongan Muhajirin dan Ansar perlu terus disemai dalam masyarakat kerana pengorbanan merupakan asas kepada setiap kejayaan besar dalam sejarah manusia.

Dalam titahnya, baginda turut menekankan pentingnya kepimpinan yang berasaskan perancangan teliti, kebijaksanaan serta kemampuan membuat keputusan berlandaskan maklumat yang tepat dan mencukupi. Baginda mengingatkan bahawa tindakan terburu-buru dan dipengaruhi emosi boleh membawa kesan buruk kepada rakyat dan negara.

Menyentuh soal perpaduan, Sultan Nazrin bertitah bahawa kejayaan Rasulullah SAW menyatukan masyarakat Madinah yang berbilang kaum dan agama membuktikan bahawa keharmonian dapat dicapai melalui sikap saling menghormati, toleransi dan kerjasama demi kepentingan bersama.

Baginda berkata, perpaduan, kerjasama dan kepimpinan yang adil serta berhikmah merupakan faktor utama yang membolehkan sesebuah negara mencapai kemajuan dan kestabilan.

Selain itu, baginda menegaskan bahawa tawakal bukanlah menyerah tanpa usaha, sebaliknya menggabungkan ikhtiar yang bersungguh-sungguh dengan keyakinan bahawa segala ketentuan berada dalam kekuasaan Allah SWT.

Sultan Nazrin turut menyeru umat Islam menjadikan sambutan Maal Hijrah sebagai medan muhasabah diri dan menilai semula perjalanan hidup agar kelemahan dapat diperbaiki serta persiapan terbaik dapat dilakukan untuk menghadapi masa depan.

Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Kebangsaan berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya dan disempurnakan perasmiannya oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut hadir majlis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli; Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj. Othman; Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Jurugambar: Fatkhulmungin Mohd Yusof

WhatsApp
Scroll to Top