Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
PUTRAJAYA, 17 Jun (IKIM) – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M yang berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya di sini hari ini.
Majlis yang berlangsung bersempena 1 Muharam 1448 Hijrah itu turut dihadiri anggota Jemaah Menteri, orang tempatan dan antarabangsa.
Sebelum acara utama berlangsung, para hadirin dilengkapi dengan Program Khas Hijrah yang mengetengahkan penghayatan nilai-nilai hijrah sebagai panduan dalam membina masyarakat yang berilmu, berakhlak dan progresif.

Tumpuan turut terarah kepada titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M yang antara lain menekankan kepentingan perpaduan ummah, kesanggupan melakukan pengorbanan serta perpaduan dan kerjasama membina kekuatan.
Sambutan tersebut turut menyaksikan pengumuman Tokoh Maal Hijrah 1448H/2026M sebagai pengiktirafan kepada individu yang telah memberikan sumbangan besar dalam pembangunan ummah, dakwah, pendidikan serta kemajuan negara.
Upacara pengurniaan Tokoh Maal Hijrah oleh Sultan Nazrin Shah menjadi kemuncak sambutan apabila penerima menerima penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka dalam memartabatkan syiar Islam.

Majlis ini mengangkat tema “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” sebagai tema sambutan Ma’al Hijrah 1448 bertepatan dengan semangat hijrah Rasulullah SAW yang bukan sekadar peristiwa perpindahan, malah menjadi titik permulaan kepada pembinaan sebuah tamadun Islam yang unggul melalui penubuhan Negara Madinah.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) keistimewaan penganjuran tahun ini ialah pengenalan program Tausiyyah @ Maal Hijrah sebagai pengisian khas yang mengajak umat Islam menghayati erti hijrah sebagai pemangkin perubahan diri.
“Pengisian Tausiyyah @ Ma’al Hijrah memberi fokus kepada tadabbur ayat-ayat al-Quran yang dibacakan sepanjang majlis. Melalui pendekatan ini, para peserta bukan sahaja mendengar bacaan al-Quran oleh qari – qari terbaik, malah dibimbing untuk memahami mesej, hikmah dan panduan yang terkandung dalam ayat-ayat tersebut serta mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.”

Sambutan Maal Hijrah yang diraikan pada setiap awal tahun Islam bukan sahaja memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, malah menjadi medan muhasabah buat umat Islam untuk memperbaharui azam dan mempertingkatkan amal soleh.
Dalam pada itu, dianggarkan seramai 5,000 tetamu akan hadir memeriahkan Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun ini. Turut dihadiri pelbagai agensi di bawah kerajaan.




