Hijrah Ilmu

HARI JUMAAT adalah hari ilmu, di mana kita terutamanya kaum Adam akan behimpun untuk mendengarkan ilmu daripada khatib ketika solat Jumaat. Maka ketika Jumaat apabila adanya khutbah Jumaat dapat kita lihat agama Islam menekankan kepentingan ilmu. Jadikan hari Jumaat sebagai hari muhasabah kita untuk menilai hijrah ilmu kita adakah di tahap lama atau ada ilmu-ilmu baharu yang kita pelajari.

Melalui perkongsian dalam segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm saban minggu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi ibrah dan pengajaran melalui surah al-Jumu’ah. Surah yang mempunyai 11 ayat ini bukan sahaja menceritakan mengenai perintah solat Jumaat, tetapi surah ini turut menceritakan dan menitik beratkan soal ilmu dan pendidikan. Maka di hujung surah ini barulah Allah SWT datangkan cara untuk mendapatkan ilmu dengan mendatangi khutbah Jumaat.

Ustaz memulakan pertemuan dengan membawakan maksud ayat ke-2 surah al-Jumu’ah. Allah SWT berfirman yang bermaksud : Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Sekiranya kita menghayati ayat kedua ini, kita dapat melihat Rasulullah SAW mempunyai empat tugas. Pertamanya membacakan ayat-ayat Allah SWT kepada kaumnya berkali-kali. Kedua menyucikan merek berkali-kali. Kemudian, mengajar mereka berkali-kali Al-Kitab dan terakhir mengajar mereka berkali-kali Al-Hikmah. Ayat ini mengajar kita tentang proses pendidikan yang sepatutnya dilalui oleh kita umat ini. Apa yang disebutkan oleh Allah SWT menerusi ayat ini adalah sesuatu yang sangat besar kerana apa yang akan terjadi kepada kita sekiranya kita melalui empat proses pendidikan ini. Kita akan menjadi umat yang paling digeruni diseluruh dunia.

Allah SWT sendiri yang menyebut bagaimana kaum yang tidak boleh menulis dan membaca kemudian diutuskan seorang rasul yang dahulunya buta huruf, tidak dipandang oleh masyarakat dan akhirnya apabila melalui proses pembelajaran dan pendidikan, terus dapat menguasai dunia.

Maka dengan ini mari kita memahami sesuatu tentang ilmu yang dibawakan dalam surah Al-Jumu’ah. Rasulullah SAW membacakan kepada kaumnya tentang ayat-ayat Allah SWT seperti yang disebutkan di dalam surah Al-Jumu’ah. Ertinya Rasulullah SAW menerangkan kepada kaumnya cara memandang makhluk-makhluk yang ada di dalam alam ini sehingga datang kepada jiwa sanubari mereka bahawa perjalanan alam ini rapi diatur oleh yang Maha berkuasa. Proses membacakan ini apabila mendengarkan sahaja ayat-ayat al-Quran ini daripada Rasulullah SAW, mereka akan mengakui bahawa alam ini tunduk kepada seorang raja, Allah SWT.

Manakala proses yang kedua Rasulullah SAW menyucikan mereka. Proses menyucikan ini Rasulullah SAW mendekati mereka selepas membacakan ayat-ayat Allah SWT kepada mereka. Maka Rasulullah SAW membersihkan jiwa mereka daripada perangai-perangai Jahiliyyah. Rasulullah SAW membersihkan hati-hati mereka kerana hati merupakan raja kepada tubuh manusia.

Proses ketiga Nabi SAW mengajar dan berinteraksi dengan mereka. Apabila hati sudah mula jinak, inilah proses terbaik Rasulullah SAW untuk mengisi hati mereka dengan isi kandungan al-Quran. Lalu Rasulullah SAW mengajarkan mereka ayat-ayat al-Quran bukan dengan sekadar membaca bahkan memahami dengan jelas setiap ayat di dalam Al-Quran. Kemudian Rasulullah SAW mentafsir dan menterjemahkan ayat itu kepada mereka. Menurut ulama, tafsiran itulah yang disebut sebagai al-Hikmah. Antara maksud al-Hikmah di dalam ayat ini juga adalah Sunnah dan Sirah.

Maka, dapatlah kita simpulkan setiap proses yang Rasulullah SAW lakukan kepada kaumnya dengan membaca, mengajar dan menghuraikan ayat-ayat Allah SWT ini sebagai hadith Rasulullah SAW dan inilah dikatakan Hikmah di dalam konteks surah al-Jumu’ah. Maka, setiap daripada kita perlu jadikan hari Jumaat khususnya para pendakwah peluang untuk berdakwah melalui khutbah yang disampaikan kerana proses yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang diceritakan di dalam surah al-Jumu’ah ini mampu mengubah dunia.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 Oktober 2016
\"IMG-20161005-WA0047\"
WhatsApp
Scroll to Top