”Berlalulah sudah Ramadan, sebulan berpuasa. Tiba Syawal kita rayakan, dengan rasa gembira.” Bait lirik lagu Suasana Hari Raya dendangan Anuar Zain dan Ellina menggambarkan kemenangan umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan menjalani ibadah puasa. Aidilfitri merupakan sebuah perayaan yang besar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Aidilfitri juga bermaksud kita kembali semula kepada fitrah, dalam keadaan bersih daripada segala dosa dan noda. Sekiranya segala ibrah Madrasah Ramadan yang dihuni selama sebulan itu didiami dan dihayati dengan sebaiknya, seseorang pelajar itu akan bergraduan dengan jayanya dan membawa bersama nilai-nilai pengajaran yang dipelajari ketika berada di madrasah tersebut, berterusan dan istiqamah sepanjang hidupnya. Nilai-nilai murni seperti sifat berjimat-cermat adalah sangat dituntut dalam Islam. Saban tahun, kita pasti mendengar atau membaca berita tentang isu pembaziran makanan di bazar Ramadan. Ia berlaku apabila para peniaga menyediakan makanan berlebihan untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda. Hakikatnya, tidak ramai pengunjung yang membeli, maka makanan yang dijual pun terpaksa dibuang. Satu laporan yang dikeluarkan akhbar Berita Harian pada 10 April menerusi kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyatakan bahawa jumlah kutipan sisa pepejal ketika Ramadan tahun 2022 mencatatkan sebanyak 252,521 tan berbanding 208,143 tan pada 2019 sekali gus menyaksikan peningkatan berlaku setiap tahun dan meningkat sebanyak 21 peratus dalam tempoh lima tahun ini. Trend ini jika tidak dibendung bukan sahaja mengakibatkan isu pembaziran, malah isu kos pengurusan mengurus pembuangan sisa makanan juga akan meningkat. Sepatutnya, bulan Ramadan lebih mengajar kita untuk bersederhana dan tidak berlebih-lebihan dalam segala segi; makanan, persiapan menjelang raya dan hawa nafsu. Yang patut diperbanyakkan oleh pelajar Madrasah Ramadan ialah amalan-amalan sunat seperti solat, sedekah dan membaca al-Quran.
Apabila graduan Madrasah Ramadan keluar daripada ‘institusi’ tersebut juga, antara amalan yang lazim dilakukan ialah saling menziarahi ibu bapa, kaum keluarga, sanak saudara, sahabat handai, para kenalan dan mereka yang telah tiada di alam nyata. Pada hari raya, umat Islam digalakkan untuk menyambung silaturahim dengan amalan ziarah. Difahamkan, ziarah-menziarahi ini merupakan amalan yang dilakukan oleh Abu Bakar RA ke rumah Nabi Muhammad SAW. Adat atau amalan yang baik ini perlu diteruskan pada bulan-bulan lain juga kerana Islam amat menganjurkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim sepertimana hadis Riwayat al-Bukhari berbunyi: “Siapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturahim.” Ketika negara menjalani beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 dan 2021 akibat wabak COVID-19, kita tidak dapat pulang ke kampung halaman bukan sahaja pada hari raya malah pada hari-hari biasa dan hujung minggu juga. Kerinduan terhadap insan tersayang terpaksa dipendam dan ditahan selama yang boleh sehingga situasi betul-betul terkawal untuk mengelakkan penularan jangkitan yang lebih buruk berlaku. Usai PKP, kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan untuk bertemu semula secara fizikal digunakan sepenuhnya bagi melepaskan rindu. Bukan saja pada hari raya, tetapi hari-hari bukan perayaan juga dimanfaatkan sebaiknya untuk bertemu insan tersayang. Ada yang berpeluang untuk bertemu semula, namun ada yang tidak berkesempatan untuk bertaut semula kerana kehilangan insan tersayang dek penularan wabak global yang meragut jutaan nyawa. Barulah kita terasa bahawa berjumpa dengan manusia secara berdepan itu merupakan satu nikmat yang dipandang enteng pada zaman media sosial hari ini.
Amalan lain yang menjadi kelaziman juga ialah bermaaf-maafan di pagi raya. Bagi masyarakat Jawa, mereka mempunyai satu tradisi bermaafan yang unik disebut sebagai sungkeman. Ia berasal daripada perkataan sungkem yang bermaksud bersimpuh atau duduk berjongok sambal mencium tangan. Tradisi turun-temurun yang dilakukan pada hari istimewa seperti hari raya, hari perpisahan dan menunaikan haji ini merupakan suatu bentuk penghormatan dilakukan oleh orang muda kepada orang yang lebih tua, atau anak kepada ibu bapanya. Suasana kebiasaan di rumah orang Melayu di pagi raya usai solat sunat Aidilifitri ialah berkumpul dan mengambil giliran untuk saling bermaafan. Mengambil pengajaran daripada Madrasah Ramadan, budaya bermaafan ini bukan sahaja dilakukan pada pagi raya, namun sebenarnya ia perlu diterapkan setiap hari. Adalah lebih baik jika seseorang itu mempunyai sikap memaafkan dahulu berbanding meminta maaf. Perkara ini juga dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW dan sesiapa yang memaafkan kesalahan orang lain sebelum tidur akan mendapat sunnahnya.
Amalan popular yang ditunggu-tunggu yang hanya terdapat di bulan Ramadan ialah solat sunat tarawih. Kebanyakan kita akan pergi ke masjid atau surau untuk menunaikan solat sunat tersebut usai solat Isyak secara berjemaah. Di sesetengah masjid juga, terdapat program qiamullail yang dilakukan bagi menghidupkan 10 malam terakhir. Sepanjang sebulan solat sunat tarawih, terdapat juga pihak yang mengambil inisiatif untuk pergi ke masjid atau surau yang berlainan setiap malam bagi merasai pengalaman yang berbeza di setiap tempat. Solat berjemaah amat dituntut dalam Islam. Pahala jemaahnya juga digandakan menjadi 27 berbanding solat secara biasa. Ketika PKP juga, sesama ahli keluarga akan berjemaah di rumah kerana masjid tidak dibuka kepada orang awam. Amalan solat secara berjemaah ini ternyata mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama keluarga di rumah dan sesama jiran tetangga di masjid. Amalan baik yang mampu memupuk semangat kekitaan antara kita seharusnya diteruskan pada bulan-bulan lain. Dalam kesibukan berulang-alik ke tempat kerja saban hari dan kurangnya masa untuk beramah mesra atau berkasih sayang sesama keluarga dan masyarakat setempat, amalan berjemaahlah yang berupaya untuk menyuburkan sifat rahmah dan mawaddah tersebut. Sifat bernafsi-nafsi pada zaman moden ini haruslah dielakkan kerana fitrah manusia itu sendiri memerlukan kepada kehidupan bermasyarakat yang membentuk sebuah peradaban. Kita tidak mungkin mampu untuk hidup berseorangan kerana memerlukan struktur sosial yang menyeluruh dari aspek ekonomi, perubatan, pendidikan, rohani, jasmani dan pelbagai lagi.
Untuk menjadi graduan Madrasah Ramadan yang paling cemerlang dan selayaknya dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik, segala amalan yang diamalkan ketika menuntut di ‘institusi’ tersebut perlu diteruskan sehingga bertemu dengan sesi yang akan datang pula. Keazaman dan iltizam untuk sentiasa mahu memperbaiki diri walaupun sedikit adalah lebih baik dan terpuji berbanding melakukan transformasi besar-besaran secara mendadak tetapi ditinggalkan begitu sahaja sebaik melangkah keluar dari Madrasah Ramadan. Lalu kita perlu tepuk dada dan bertanya kepada diri sendiri: “Apakah sekurang-kurangnya satu perkara yang dipelajari dan ingin diamalkan secara istiqamah pada bulan-bulan selepas Ramadan?”
Artikel ini telah ditulis oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)