DALAM menjalani kehidupan seharian, sifat sabar sangat penting. Oleh itu, pendidikan sifat sabar ini boleh dilakukan secara berterusan sejak seseorang itu masih kecil lagi. Sebagai contoh, sabar dalam menghadapi perjalanan dan kesesakan di jalan raya. Di dalam Al-Quran Allah SWT menyebutkan perkataan sabar lebih 70 kali. Mereka yang bersifat sabar dijanjikan oleh Allah SWT darjat yang tinggi berupa pahala kebaikan dan bantuan.
Walaupun sabar dianggap sebagai sifat yang paling mulia di sisi Allah SWT , tetapi dewasa ini,terdapat juga mereka yang mudah hilang sifat kewarasan sehingga sanggup melakukan pembunuhan. Menerusi rancagan Pesona D’ Zahra yang disiarkan di IKIMfm pada Isnin lalu, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin berkata sabar itu merupakan amalan atau kelakuan manakala sabir pula merujuk kepada sifat yang ditunjukkan hasil daripada tabiat sabar yang beterusan . Rasulullah SAW adalah contoh tauladan yang yang terbaik apabila memperkatakan tentang sifat sabar .Baginda memiliki semulia-mulia akhlak dan peribadi sehinggakan orang kafir sendiri kagum dengan kehebatan Baginda. Dalam menyampailkan rislah kepada masyarakat Arab Jahiliyyah , sudah tentu Baginda SAW telah berhadapan dengan pelbagai tentangan , dugaan dan cabaran tetapi Baginda tetap bersabar membawa risalah suci tersebut. Ia membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW berupaya menyatukan golongan Arab Jahiliyyah daripada memiliki sifat marah iatu daripada sifat suka beperang dan berbunuh-bunuhan kepoada suatu keadaan yang cukup harmoni dan berkasih sayang antara satu sama lain. Daripada kisah tersebut, perlulah kita mengambil pengajaran bahawa sabar begitu penting untuk diamalkan dalam kehidupan seharian supaya tidak dibelenggu dengan sifat marah yang melampau.
Kesabaran ada had dan batasnya kerana apabila sudah hilang sabar maka timbullah kemarahan. Menurut Muhammad, bisikan hawa nafsu merupakan salah satu punca berlakunya sifat marah .Hawa nafsu dan sifat pemarah itu wajib dikawal dan dikendalikan. Salah satu cara yang dianjurkan oleh Islam ialah dengan berpuasa. Untuk menundukkan kedua-dua sifat berkenaan , manusia perlu berjuang ,sama tarafnya dengan berjuang dalam peperangan jihad. Allah SWT menjanjikan ganjaran yang hebat terhadap sesiapa yang berjaya dalam perjuangan ini. Sebagaimana firman Allah SWT “ Wahai orang –orang yang beriman ! Mintalah pertolongan (kepada Allah) denagn sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar (Surah Al-Baqarah , ayat 153) . Untuk itu, didiklah hawa nafsu kita dengan mempelajari dan memantapkan ilmu melalui guru-guru. InsyaAllah dengan cara sedemikian mereka mampu melihat dan memperbaiki kelemahan yang ada pada diri kita. Apabila datangnya perasaan marah kita perlu bijak mengawal emosi marah tersebut. Marah yang tidak terkawal boleh membinasakan diri sendiri dan mengguris hati orang lain. Dengan itu, kita perlu mengawal sifat-sifat yang dikeji oleh Allah SWT. Ternyata, syaitan sangat suka melihat umat manusia apabila api kemarahan menguasai diri.. Misalnya, dalam konteks rumah tangga , bisikan syaitan itu sentiasa berlanjutan agar pasangan suami isteri bertelingkah sehingga boleh membawa kepada sesuatu perkara yang lebih serius. Umpamanya sehingga ke hari ini, ada sahaja paparan berita di laman media sosial , radio mahupun televisyen yang melaporkan kes isteri dipukul sehinnga mati atau mengalami kecederaan akibat daripada emosi kemarahan suami yang meluap-luap.
Justeru, dalam memanagani hal ini, seelok-eloknya sebagai umat Islam diseru agar tidak berputus asa mengharap pertolongan dari Allah Yang Maha Esa. Malah, wudhuk juga dianggap sebagai terapi sesuai dalam mengurangkan perasaan marah seseorang . Dengan berwudhu’ mampu memabantu emosi kita yang sedang tidak segar menjadi segar kembali. Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW \”Kemarahan itu daripada syaitan, sedangkan syaitan tercipta daripada api, api hanya dapat padam dengan air, maka kalau kalian marah berwuduklah\” (Hadis Riwayat Abu Dawud). Selain daripada bisikan hawa nafsu dan syaitan yang juga merupakan penyebab manusia memiliki sifat pemarah, tidak dinafikan juga emosi marah adalah antara naluri semulajadi manusia yang dijadikan oleh Allah SWT untuk keperluan hidupnya.. Tidak semua manusia boleh bersabar dalam pelbagai situasi yang dihdapi. Misalnya, ada suami yang begitu sabar menunggu isteri bersiap di rumah, tetap tidak pula menunjukkan kesabaran sewaktu menantikan hidangan makanan dan minuman yang disajikan oleh isterinya. Sesungguhnya, emosi marah boleh memberi manfaat kepada manusia jika digunakan untuk kebenaran dan keadilan. Tetapi emosi marah yang tidak dapat dikawal dan menurut hawa nafsu adalah dilarang dalam Islam kerana ia boleh membawa kepada kemudaratan diri dan orang lain.Justeru, kita disarankan agar menddik diri kita dengan ilmu dengan sentiasa merendah diri atau tawadduk serta mensyukuri dengan segala ujian dan nikmat yang diberikan oleh-Nya. Saat diri kita diuji dengan kesusahan , ingatlah bahawa Allah Maha Pendengar dan DIA akan menggantikan sesuatu yang lebih baik lagi .
Terapkanlah sifat sabar ketika membuat perubahan dalam diri serta dalam melalui ujian kehidupan berumahtangga.Sentiasalah bersabar dalam semua perkara sehingga kita menjadikan sabar sebagai suatu kelaziman dan seterusnya menjadi orang yang sabir iatu menghasilkan ketenangan secara berterusan.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 November 2016