FLOTILA GLOBAL SUMUD BERLEPAS DARI BARCELONA

BARCELONA, 15 April (IKIM) – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla secara rasmi memulakan pergerakan maritim fasa baharu apabila armadanya berlepas dari Barcelona selepas penangguhan sementara akibat cuaca.

Pergerakan awal ini menandakan permulaan fasa gerakan di beberapa pelabuhan di Itali dan Eropah, dengan penyertaan beberapa organisasi masyarakat sivil maritim termasuk Greenpeace melalui kapal Arctic Sunrise serta Open Arms yang turut menyertai misi bagi memperkukuh aspek keselamatan dan kemanusiaan.

Sepanjang fasa ini, pelbagai program dijadual berlangsung di beberapa lokasi utama seperti Augusta, Catania, Siracusa dan Rome, selain penglibatan komuniti di Sicily serta Brussels.

Setiap pelabuhan dijangka menyaksikan pertambahan bot dan peserta antarabangsa sebelum pelepasan rasmi armada berskala besar dari Siracusa pada 24 April ini.

Perkembangan ini berlaku dalam suasana politik yang berubah di Eropah, khususnya di Itali, susulan peningkatan tekanan awam dan penglibatan parlimen berkaitan kerjasama ketenteraan dengan Israel, sekali gus memberi dimensi baharu kepada misi tersebut.

Global Sumud Flotilla dijangka terus mendapat perhatian antarabangsa seiring usaha memperluas penyertaan serta sokongan menjelang fasa seterusnya.

WhatsApp
Scroll to Top