ISLAMIC RELIEF MALAYSIA RAI PENGHUNI RUMAH SERI KENANGAN CHERAS SEMPENA MAJLIS KASIH SYAWAL 2026

CHERAS, 15 April (IKIM) – Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) menganjurkan Majlis Kasih Syawal 2026 bagi meraikan seramai 178 penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan itu turut menghimpunkan rakan strategik, ikon kemanusiaan serta rakan media sebagai tanda sokongan berterusan terhadap usaha kebajikan yang dilaksanakan oleh IR Malaysia.

Pengerusi IR Malaysia, Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, penganjuran program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam memperkukuh nilai kemanusiaan serta menyebarkan kebaikan kepada golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang.

“Aidilfitri adalah waktu untuk kita kembali kepada fitrah, mengukuhkan silaturahim dan menyebarkan kasih sayang. Melalui majlis ini, kami ingin memastikan para penghuni turut merasai kegembiraan Syawal tanpa rasa terpinggir,” katanya.

Menurut beliau, majlis berkenaan bukan sekadar sambutan perayaan, malah merupakan manifestasi tanggungjawab sosial dalam menyantuni warga emas yang disifatkan sebagai khazanah berharga masyarakat.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti diadakan termasuk jamuan makan, persembahan nyanyian oleh Afad Raihan, agihan duit raya serta penyerahan sumbangan barangan keperluan seperti peti ais, lampin dewasa dan sabun basuh hasil tajaan orang ramai.

Majlis turut diacarakan oleh pempengaruh terkenal, Fendi Mohammad dan dihadiri beberapa tokoh termasuk Penguasa Rumah Seri Kenangan Cheras, Zamzuri Mohamed; Ahli Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia, Nur Iskandar A Samad; Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood serta ikon kemanusiaan seperti Irma Hasmie, Diana Amir, Chef Imelda dan Adi Saujana.

Dalam pada itu, IR Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk penaja dan individu yang menyumbang dalam menjayakan program berkenaan, selain berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

WhatsApp
Scroll to Top