“Seorang yang diberkati daripada keluarga yang berkat”
BEGITULAH kata-kata Baginda SAW mengenai sahabat yang bernama Fairuz al-Dailamy. Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi kisah mengenai kehidupan sahabat yang bernama Fairuz al-Dailamy.
Kisah bermula tatkala Rasulullah SAW mula mengadu sakit selepas Baginda pulang daripada mengerjakan ibadah haji Wadaq. Berita gering Baginda telah tersebar luas ke seluruh Semenanjung Arab. Seorang lelaki bernama Aswad Al-Ansi yang berada di Yaman, mula murtad daripada Islam apabila mengetahui bahawa Baginda SAW dalam keadaan sakit dan seluruh kaum muslimin dalam keadaan dukacita menerima berita tersebut. Langkah Aswad itu pula diikuti oleh Musailamatul Kazzab, yang berada di Yamamah turut murtad. Tulaihah Al-Asadi yang berada di Asad juga mengambil langkah sama untuk murtad. Ketiga-tiga orang yang murtad itu mengaku sebagai nabi yang diutuskan buat kaum masing-masing.
Ini merupakan gejala murtad yang berlaku sebelum wafat Baginda SAW. Mereka merasakan keadaan kucar-kacir urus tadbir para sahabat kerana kebimbangan ekoran sakitnya Baginda SAW. Aswad al-Ansi di Yaman merupakan seorang dukun yang sentiasa mengenakan pakaian hitam dan pakaian-pakaian ahli sihir. Beliau mempunyai tenaga yang kuat dan badan yang sasa. Beliau juga merupakan seorang yang sangat petah berkata-kata dan pandai berhujah. Dia tidak pernah langsung berjumpa dengan orang ramai kecuali dengan mengenakan topeng demi menjaga penyamaran dirinya. Akan tetapi pada saat itu, keturunan al-Abnaa’ memiliki pengaruh yang kuat di Yaman. Mereka mempunyai kedudukan di kalangan penduduk Yaman. Di antara mereka yang paling terkenal pada ketika itu ialah Fairuz al-Dailami, salah seorang sahabat Rasulullah SAW.
Al-Abnaa’ adalah gelaran kepada mereka yang lahir daripada kacukan Parsi dan Arab. Pemimpin mereka bernama Bazan, Raja Yaman yang memeluk Islam saat mengetahui kebenaran ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Raja Bazan menyertai dan memeluk agama Islam bersama seluruh kaumnya. Bazan terus menetap di Yaman sehingga beliau meninggal dunia sebelum wujudnya Aswad al-Ansi. Aswad bersama kaumnya, Bani Mazhij telah berangkat ke San’aaq dan berjaya menggulingkan Gabenor San’aaq yang bernama Shaharok bin Bazan. Bahkan Aswad juga telah mengahwini isteri Shaharok dengan paksaan. Dengan kekuatan yang ada padanya, dia berangkat dari San’aaq ke beberapa wilayah yang lain menyeru orang ramai mentaatinya sebagai seorang nabi. Semua wilayah dengan begitu cepat tunduk kepada Aswad Al-Ansi sehinggalah semua negeri yang terletak di antara Hadramawt dan Thaif tunduk kepada Aswad.
Kelicikan dan tipu daya Aswad yang hebat dalam sihir berjaya membuatkan rata-rata masyarakat di Yaman mengikutnya dan murtad bersama-sama Aswad. Untuk mewujudkan kebenaran pengakuannya itu, beliau sengaja mengirim beberapa orang pengintip-pengintip ke seluruh daerah jajahannya. Maka pengintip tersebut ditugaskan untuk mengumpulkan maklumat dan rahsia-rahsia terkini yang dibicarakan oleh orang ramai. Mereka kemudiannya menyampaikan berita tersebut kepada Aswad sehinggakan beliau tampil di hadapan orang ramai dan menceritakan mengenai rahsia-rahsia yang diketahui seolah-olah beliau mengetahui apa yang dibicarakan dan isi hati setiap orang yang ada. Hal ini menyebabkan orang ramai terpegun dan mengakui beliau merupakan nabi.
Tatkala Rasulullah SAW mengetahui berita murtadnya Aswad dan penaklukan demi penaklukan yang dibuat olehnya ke atas negeri Yaman bahkan seluruh daerah-daerah sekitarnya, Baginda SAW memandang perkara itu sebagai satu pengkhianatan yang sangat besar. Baginda telah mengutuskan sepuluh orang sahabat yang utama dan ternama untuk membawa surat perintah Rasulullah SAW untuk disampaikan kepada seluruh penduduk Yaman yang masih teguh dengan pendirian Islam. Rasulullah SAW turut menyeru kumpulan yang awal memeluk Islam untuk memerangi fitnah yang telah melanda keimanan mereka. Rasulullah SAW juga mengarahkan supaya mereka segera menghapuskan Aswad dengan apa jua cara. Mereka kemudiannya segera menyahut perintah Rasulullah SAW. Antara yang paling segera menyahut seruan Baginda SAW merupakan Fairuz al-Dailamy.
Kata Fairuz “Aku dan beberapa orang daripada Al-Abnaa\” tidak pernah rasa ragu sedkit pun terhadap agama Allah dan tidak pernah terlintas di hati salah seorang daripada kami untuk memberikan kepercayaan kepada musuh Allah”. Aswad bagaikan seseorang yang sudah dikuasai dengan kesombongan kerana merasakan dirinya berjaya menakluki satu daerah yang besar sehingga beliau begitu sombong dihadapan panglima pasukannya sendiri, Qais bin Abdi Yakut. Qais sudah merasakan tidak aman terhadap kejahatan yang dilakukan oleh Aswad. Maka pada ketika itu, Fairuz dan sepupunya, Zawaih telah pergi bertemu Qais. Mereka menyampaikan surat Rasulullah SAW kepadanya serta mengajaknya menumpaskan Aswad. Qais menerima ajakan mereka serta menceritakan segala rahsia Aswad.
Fairuz bersama Qais dan isteri Aswad yang dikahwininya secara paksa yang merupakan sepupu Fairuz telah melakukan pakatan untuk membunuh Aswad si nabi palsu. Perancangan teliti telah mereka atur dan tibalah saat seperti yang direncana, mereka berjaya membunuh Aswad. Setelah itu, Fairuz mengirimkan surat kepada Baginda Rasulullah SAW untuk memaklumkan mengenai berita gembira tersebut. Saat utusan yang membawa surat itu tiba di Madinah, kota tersebut diselubungi kesedihan kerana kewafatan Baginda SAW. Belum sempat mereka mengkhabarkan berita gembira, mereka telah menerima berita duka. Namun, tidak lama kemudian, mereka mengetahui bahawa wahyu Allah telah memberitahu Baginda SAW mengenai kematian Aswad Al-Ansi telah terbunuh pada malam tersebut, sebelum kewafatan Baginda SAW. Baginda SAW telah bersabda pada malam sebelum kewafatannya “Aswad al-Ansi telah terbunuh pada malam ini. Dia telah dibunuh oleh seorang lelaki yang sangat diberkati daripada keluarga yang diberkati”. Pada ketika itu, para sahabat bertanya “siapakah orangnya Ya Rasulallah?” Kata Baginda SAW “Dia adalah Fairuz al-Dailamy. Beruntunglah Fairuz”.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 Jun 2017