NIKMAT yang sewajarnya disyukuri ialah apabila diberi keistimewaan oleh Allah untuk diciptakan dan menjalani kehidupan sebagai seorang manusia di atas muka bumi ini, malah disediakan segala kelengkapan bagi mereka sama ada di langit mahupun di bumi. Kenyataan ini dibuktikan melalui firman Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 164: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.”
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’izati yang bersiaran di radio IKIMfm hari Khamis jam 5 petang menjelaskan bahawa Rasulullah SAW memberi ingatan kepada manusia, sejak mereka berada di dalam kandungan ibu lagi sudah ditulis oleh Allah mengenai rezeki, ajal, jodoh atau perjalanan hidup di dunia, serta qada’ dan qadar mereka. Sudah tentunya ada di kalangan manusia yang mempersoalkan tujuan diciptakan Allah di dunia ini dan pada ketika inilah nikmat Islam menjadi jawapan kepada setiap persoalan yang timbul. Selain itu manusia turut dikurniakan akal dan pancaindera yang menjadi sumber kebijaksaan mereka untuk menguruskan kehidupan, malah setiap manusia dilahirkan beriman kepada Allah SWT sehinggalah mereka dicorakkan oleh ibu-bapa masing-masing sama ada menjadi penganut agama yahudi, Kristian dan sebagainya.
Asal penciptaan manusia di antaranya bertujuan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Akal yang dikurniakan Allah kepada setiap manusia untuk kewarasan menguruskan kehidupan dan ini adalah di antara timbulnya larangan meminum arak atau mengambil sesuatu benda yang memabukkan. Akal juga menjadi sumber kepada manusia untuk beroleh nikmat hidayah dan agama yang akan mendorong mereka agar mentaati Allah. Selain itu kewarasan akal menjadi sumber kecerdikan manusia mencari nikmat iman dan Islam yang menemukan mereka dengan al-Qu ran dan hadis Rasulullah SAW yang ditinggalkan Baginda kepada umatnya.
Adalah menjadi satu kerugian yang besar kepada umat manusia apabila gagal menjadi hamba Allah. Apabila perintah Allah diabaikan ia bererti manusia melanggar syariat agama dan peraturan yang telah disusun, menyebabkan pelbagai ujian dan tekanan diturunkan kepada mereka. Manusia akan melakukan kerosakan dan mula memusnahkan alam yang diciptakan Allah. Sewajarnya manusia yang hidup di dunia ini perlu bermatlamat untuk menghuni syurga pada Hari Akhirat kelak, manakala sebaiknya mengelakkan diri daripada mensia-siakan masa yang diberi oleh Allah.
Manusia juga perlu menerima hakikat bahawa dirinya adalah hamba kepada Allah SWT yang bukan hanya akan menikmati kurniaannya di dunia, tetapi juga kehidupan di alam barzakh. Malah kehidupan manusia diteruskan di Padang Mahsyar dan masih bergantung kepada perlunya makanan dan minuman serta perjalanan selamat yang ditentukan oleh cara hidup dan amalan mereka ketika menjalani kehidupan di dunia dahulu. Seterusnya manusia akan menempuhi kehidupan di Akhirat yang kekal, sama ada menjadi penghuni syurga atau neraka.
Di dalam surah ar-Rum, ayat 47, Allah SWT berfirman: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” Oleh itu manusia harus memilih untuk menjadi orang mukmin dan bukan menjadi mereka yang mengkufuri nikmat kurniaan Allah kerana hanya agama Islam diredhai sebagai cara hidup manusia di muka bumi ini dan tidak akan diterima di sisi Allah selain daripadanya.
Memilih Islam itu sendiri adalah nikmat kurniaan Allah dan apabila beriman kepada Allah, sewajarnya manusia perlu mengetahui tentang ganjaran yang akan diperolehi kelak. Manusia yang terperangkap dengan tipu daya dunia akan berakhir dengan balasan siksaan di neraka. Mereka terlupa dengan peringatan Allah untuk menjadi manusia yang qanaah atau menjalani kehidupan yang berpada-pada kerana manusia yang mengejar harta hanya akan memusnahkan dirinya sendiri. Mengambil iktibar bencana yang menimpa Qarun iaitu manusia yang sangat kaya sehinggakan lebih 400 ekor kuda diperlukan untuk membawa anak kunci kepada gedung harta kekayaan yang dimilikinya. Namun Qarun ditenggelamkan Allah ke dalam muka bumi sedalam 70 hasta setiap kali terbitnya matahari kerana keangkuhan dan sikap tamaknya. Setiap manusia akan disoal pada Hari Akhirat mengenai tanggungjawabnya sebagai pemimpin ketika hidup di dunia.
Selain itu kejarlah keberkatan di dalam kehidupan, jangan hanya menyibukkan diri dengan kebendaan dalam kuantiti yang banyak semata-mata. Adalah sesuatu yang merugikan apabila beroleh kekayaan yang melimpah ruah tetapi jauh dari keberkatan Allah. Dengan adanya berkat, sesuatu yang sedikit sekalipun akan dirasakan banyak, sesuatu yang sempit dirasakan luas, masa yang panjang akan terasa ringkas dan tidak membebankan. Di dalam hidup ini juga manusia harus mengejar keampunan daripada dosa-dosa yang dilakukan, pada setiap masa. Carilah ilmu sebanyak mungkin daripada sumber yang telah dikurniakan oleh Allah iaitu al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Semakin banyak ilmu yang diperolehi, semakin dekat kedudukan seseorang di sisi Allah.
Kejarlah keikhlasan di dalam beragama dan sentiasa berada di dalam keadaan bebas daripada menyengutukan Allah, walaupun sukarnya menjadi seorang yang ikhlas sehingga turunnya surah al-Ikhlas yang sangat tinggi nilainya iaitu apabila ia dibaca, seumpama membaca satu pertiga daripada al-Quran. Dan akhirnya berusahalah mendapatkan redha Allah untuk melengkapkan dan melayakkan diri agar beroleh ganjaran syurga.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 September 2017