Erat Silaturrahim Ketika Syawal

GEMA Syawal menjelma untuk semua orang mengambil pelbagai peluang memanfaatkan kehadiran Syawal ini. Hadiah Syawal ini selain daripada meraikan kegembiraan setelah sebulan menempuh pelbagai ujian ketika Ramadan, ia juga menjadi medan untuk bersatu, berkumpul sesama ahli keluarga dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita.

Syawal menjadi medan buat anak kota mengambil peluang untuk pulang berhari raya di kampung halaman. Terdapat sesetengah daripada kita yang kurang mengambil berat untuk pulang ke kampung halaman kerana kekangan kerja dan tuntutan hidup di kota. Namun, peluang hari raya jarang sekali dipersia dan pasti ruang ini menjadi satu waktu yang sesuai untuk anak-anak pulang ke kampung berjumpa dengan orang tua mereka.

Apalah ertinya di hari raya tidak dapat bersua muka dengan ayah dan ibu tercinta. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran menerusi Surah An-Nisaa’ ayat 1 yang bermaksud : “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu”

Mungkin sebelum menyusul Syawal, ramai antara kita yang berkecil hati sama ada anak berkecil hati dengan orang tuanya mahupun sebaliknya. Namun, ruang yang disediakan oleh Allah SWT ini menerusi sambutan Hari Raya pasti kita rebut sebaiknya untuk kembali menjernihkan hubungan yang keruh.

Jadikan amalan bermaaf-maafan sentiasa meriah ketika sambutan Aidilfitri. Bukan semata-mata menyambutnya dengan juadah penuh di meja serta baju baharu sehingga seminggu beraya.

Selain daripada hubungan sesama ahli keluarga, peluang ini juga seharusnya kita rebut untuk memperkukuh ikatan dan hubungan sesama jiran tetangga, sahabat handai dan rakan sekerja. Pastinya, setelah seminggu berhari raya, setiap daripada kita mungkin terlibat dengan majlis rumah terbuka. Sama ada memenuhi undangan sebagai tetamu mahupun sebagai tuan rumah bagi meraikan pelbagai pihak.

Seharusnya, ruang diadakan majlis rumah terbuka membuatkan kita benar-benar menginsafi setiap perbuatan salah kita sesama manusia. Jangan pula kita jadikan platform rumah terbuka ini untuk kita bermegah dan berebih-lebih. Mungkin selama setahun kita tidak bertegur sapa dengan jiran tetangga, maka di hari raya ini rendahkanlah hati kita untuk mengundang mereka ke rumah kita serta menziarahi mereka. Bertepatan dengan hadith baginda Nabi Muhammad SAW tentang menjaga hati jiran yang bermaksud : \”Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kiamat ( Akhiratt) maka janganlah menyakiti jirannya\” Hadith Riwayat Bukhari.

Sekiranya ada di antara kita yang bertelagah dan bermusuh, hari raya adalah peluang terbaik untuk kita menjernihkan kembali hubungan. Ini mengambil saranan yang disebutkan di dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara, maka perbaikilah (perhubungan) antara dua saudara kamu yang bertelagah. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah moga-moga kamu semua mendapat rahmat”. (Surah al-Hujurat: 10).

Namun begitu, kita harus sentiasa beringat antara adab-adab kita ketika menziarahi rumah terbuka atau berkunjung ke rumah jiran tetangga. Antara adab menziarahi jiran tetangga adalah memberi salam dan meminta izin sebelum masuk serta ditegah untuk mengadap terus ke muka pintu. Selain daripada itu, kita seharusnya memilih waktu yang sesuai untuk berkunjung ke rumah jiran tetangga dan haruslah kita berniat baik ketika melakukan ziarah.

Terkadang, kita sering mengabaikan satu golongan lagi ketika meriah menyambut lebaran. Kita sering meraikan kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga. Tetapi, kita terlupa untuk menyantuni insan yang kurang bernasib baik. Sedangkan mereka juga punya rasa yang sama untuk meraikan lebaran seperti kita.

Apalah salahnya, ada sedikit masa kita diperuntukkan untuk insan-insan yang kurang bernasib baik. Mungkin tahun ini, jadikan juga ziarah kita ke rumah orang-orang tua ataupun rumah anak-anak yatim sebagai salah satu agenda kita berhari raya. Alangkah bahagianya mereka saat menerima kunjungan kita.

Walau apapun rencana kita bagi mengisi kalendar Aidilfitri ini, pastikan ruang bermanfaat yang Allah SWT hadiahkan buat kita benar-benar menjadi peluang yang sangat baik untuk kita memperkukuh hubungan sesama manusia.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 Julai 2016
Scroll to Top