DIDIK MADANI YAPEIM SALUR RM2.34 JUTA KEPADA 20 UNIVERSITI AWAM

GOMBAK, 27 Okt (IKIM) – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) hari ini menyalurkan bantuan pendidikan berjumlah RM2.34 juta kepada 20 Universiti Awam (UA) di seluruh negara bagi meringankan beban pelajar yang memerlukan.

Bantuan tunai yang merupakan inisiatif Didik MADANI YAPEIM ini akan memberi manfaat kepada 2,340 pelajar kemasukan baharu peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi sesi pengajian 2024/2025 yang dikenal pasti bagi sumbangan berjumlah RM1,000 setiap seorang. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar berkata bantuan yang diberi ini diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar yang memerlukan seterusnya menyuntik semangat kepada mereka untuk belajar dengan lebih gigih dan cemerlang dalam peperiksaan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Didik MADANI YAPEIM kepada 20 Universiti Awam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini. 

“Sumbangan berkenaan akan digunakan untuk pembayaran yuran pengajian dan disalurkan terus ke Jabatan Bendahari universiti masing-masing. Sumbangan yang disalurkan oleh YAPEIM ini mengambil kira golongan sasar yang layak dibantu yang terdiri dalam kalangan B40/asnaf,” tambah beliau. 

Majlis serahan tersebut turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) YAPEIM, Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus; Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed; Rektor UIAM Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman bin Bakar serta Timbalan-timbalan Naib Canselor dari Universiti-universiti Awam yang telah disenaraikan. 

Sementara itu, inisiatif Didik MADANI YAPEIM yang dilaksanakan ini mempunyai objektif untuk membantu meringankan jumlah pembayaran yuran pengajian, meringankan bebanan keluarga dalam menangani aspek kebajikan dan pendidikan anak-anak terutamanya sebagai persediaan kemasukan ke universiti awam. Inisiatif ini seterusnya menjadi pelengkap dalam usaha pelbagai pihak khususnya agensi kerajaan berkaitan, insititusi korporat dan individu dalam menyantuni anak-anak dan pelajar atau kelompok pelajar yang disasarkan.

Sejak tahun 1985 hingga Jun 2024, YAPEIM telah mengagihkan peruntukan sebanyak RM703 juta kepada 10 juta penerima manfaat di seluruh negara membabitkan tiga teras penubuhan YAPEIM iaitu (Pembangunan Ekonomi Islam, Pendidikan dan Pembangunan Sosial) merangkumi program-program seperti YAPEIM Didik, YAPEIM Prihatin dan YAPEIM Niaga.

WhatsApp
Scroll to Top