Daurah Ramadhaniah

RAMADHAN adalah bulan tawaran yang tidak tergambar dek minda daripada Allah yang Maha Hebat. Malangnya, ia terkadang di pandang sepi oleh umat yang kurang adabnya pada Pencipta.

Justeru, persediaan dan perancangan perlu di rangka sebaiknya bagi benar-benar memafaatkan kehadiran Ramadan. Lantaran itu, naqib Usrah Nurani, Ustaz Zul Ramli M.Razali bersama rakan usrah di konti penyanyi terkenal Heliza Helmi dan Tuan Haji Sharudin Dawam cuba membentuk satu modul Ramadan bagi memastikan ia hadir dengan sambutan penuh keterujaan dan semangat yang membuak.

Bulan Ramadan umpama satu kursus yang akan membakar semangat dan menanam iltizam supaya di hujungnya ada peningkatan ilmu yang akan menambahbaik kualiti kehidupan dan nilai diri. Matlamat utama ‘Kursus Ramadan’ ini adalah untuk menggapai takwa sebagaimana firmanNya: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimanadiwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Surah Al-Baqarah, ayat 183). Sesungguhnya takwa itu adalah kemampuan melaksanakan setiap yang di suruh dan meninggalkan setiap laranganNya.

Rasulullah SAW pula mendifinasikan takwa itu sebagai sesuatu yang berada di hati manusia. Termaktub menerusi sabda baginda kala di tanyakan berkaitan takwa: “Takwa itu di sini (sambil menunjuk dada baginda). Baginda mengisyaratkan bahawa ketakwaan letaknya di dalam hati.” (HR.Muslim). Puasa itu adalah kolobrasi seluruh anggota badan dan pancaindera. Tiada satu pun yang tertinggal saat puasa dilaksanakan untuh meraih takwa. Namun, Rasulullah SAW menyifatkan takwa lebih daripada itu iaitu melahirkan hati yang punya rasa sayang terhadap setiap yang Allah sayang serta membenci setiap yang dibenci Allah SWT. Secara tidak langsung ia melengkapkan matlamat puasa untuk lahir takwa menerusi puasa anggota luaran dan puasa dalaman (hati).

Selain itu, puasa menawarkan faedah dan kesan yang sangat baik dari aspek kesihatan sebagaimana sabda Rasulullah SAW : “Berpuasalah nescaya kamu akan sihat” (HR Abu Naim). Sesungguhnya kesihatan adalah nilai terbesar selepas agama dan iman. Puasa juga menyumbang kepada akal yang lebih cerdas. Tanpa disedari, hakikatnya 5 liter darah yang mengalir dalam tubuh di gunakan saban hari sebahagian besarnya berkhidmat untuk sistem pencernaan. Namun, hikmah berpuasa menyebabkan jumlah darah yang sepatutnya diperuntukan untuk sistem pencernaan naik ke otak menghasilkan lebihan tenaga pada otak menjadikannya lebih cerdas. Komponan lain yang wujud lantaran berpuasa adalah hati yang tenang dan tenteram.

Semua itu dapat dikecapai andai melalui proses dan agenda penting puasa itu sendiri iaitu siam (menahan) dan qiam (menghidupkan malam). Puasa sebulan adalah medan latihan untuk menahan segala perbuatan yang di benci Allah sehingga menatijahkan anggota dan pancaindera yang patuh perintahNya tatkala Ramadan berlalu pergi. Dari kawalan dan tahanan-tahanan tersebut akan membawa kepada hati yang terjaga dengan ketaatan.

Sebagaimana maklum, Ramadan adalah bulan al-quran. Maka, indahkanlah malamnya dengan al-quran. Perbanyakkan agenda member sedekah dan ziarah sepanjang Ramadan. Bagi mendapatkan impak yang lebih mendalam hasil daripada puasa dalam kehidupan adalah dengan usaha yang bersungguh sepanjang menempuh Ramadan. Usah biarkan pengisian Ramadan tertumpu pada diri sendiri semata seperti mengaji al-quran dan memperbanyakkan solat. Malah Ramadan akan lebih bermakna jika ditambahkan amal-amal soleh lain yang memasukkan kegembiraan pada hati orang lain seperti sedekah dan ziarah.

Belajarlah untuk menjadi pemurah umpama Rasulullah SAW yang di nukilkan daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawa Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ketika baginda didatangi oleh jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang. (HR Bukhari dan Muslim).

Jadikan Ramadan sebagai bulan dakwah. Tidak hanya tertumpu kepada iktikaf tetapi perbanyakkan aktiviti ziarah dan dakwah. Manfaatkan setiap saat di bulan Ramadan sepertimana para sahabat. Mulakan dari hati kerana hati umpama kebun, semaikanlah ‘benih’ rasa yang baik-baik, pasti  akhirnya akan menuai ‘buah’ kebaikan. Ramadan semakin menghampir, persiapkan diri dan niat sebaiknya agar ia tidak berlalu dengan sia-sia. Moga akhirnya keluar daripada kursus Ramadan dengan mencapai nilai takwa dan bebas daripada seksa api neraka.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 Jun 2016
\"2016-06-03\"
Scroll to Top