Al-Quran & Hadis : Mengambarkan Hari Yang Menggemparkan

ALLAH menjadikan kehidupan ini tidak berakhir di dunia tetapi perjalanan itu diteruskan sehinggalah bertemu hari akhirat. Salah satu rukun yang perlu dipegang oleh mereka yang beriman kepada Allah ialah beriman kepada hari akhirat kerana orang mukmin bukan hanya bergembira di dunia tetapi kemuncak kegembiraan adalah pada hari akhirat kelak. Manakala kesedihan orang-orang yang kufur bukan hanya di dunia tetapi kesedihan itu turut dirasakan apabila melihat janji-janji dan bertemu dengan firman Allah sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran. Kemuncak kesedihan oleh golongan kafir juga disebabkan oleh kegagalan  untuk berfungsi sebagai makhluk ciptaan Allah sebagai orang yang beriman kepada-Nya.

Hari Kiamat merupakan kegemparan di dalam hidup manusia dengan kedahsyatan yang tidak terhingga untuk digambarkan kejadiannya. Alam ini akan digoncangkan oleh Allah sehingga manusia menjadi kelu dan kaku. Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’izati yang ke udara pada jam 5.15 petang, setiap Khamis IKIMfm turut berkongsi pengisian kitab al-Nihayah karangan Ibnu Kathir yang menggambarkan hari apabila fitnah-fitnah dan suasana pada akhir zaman. Di dalam al-Quran sendiri terdapat banyak gambaran-gambaran oleh Allah yang menceritakan bagaimana dahsyatnya suasana berlakunya hari Kiamat. Misalnya di dalam Surah al-Haaqqa, ayat 15-18: “Maka pada saat itu berlakulah hari Kiamat. Dan terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh), sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu. Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal), tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi.”

Rasulullah menceritakan pada masa ini, malaikat yang menjunjung Arasy Allah ialah empat orang, namun bila tibanya ketika bumi digoncangkan pada penghujung zaman nanti, Arasy dipikul oleh lapan orang malaikat. Besarnya malaikat yang menjaga Arasy Allah, digambarkan oleh Baginda, bumi ini berada di atas ribaan mereka sahaja. Firman Allah di dalam Surah al-Muzammil, ayat 17-18: “(Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu kalau kamu kufur dan ingkar – (dari azab) hari yang huru haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban? Langit (yang demikian besarnya) akan pecah belah dengan sebab kedahsyatan hari itu. (Ingatlah), janji Allah adalah perkara yang tetap dilakukan-Nya.”

Pada hari Kiamat nanti, tidak akan terasa masa yang telah dilalui ketika di dunia dahulu kerana ia seolah-olah satu suasana baharu dan masih tidak mengenali di antara satu sama lain. Adalah menjadi satu kerugian kepada mereka yang mendustakan hari Kiamat dan tidak mempercayai akan adanya hari Kiamat kerana mereka ini tergolong di dalam golongan manusia yang tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT. Apa yang dapat dilihat di sekeliling kita, terlalu ramai yang kelelahan kerana bersungguh-sungguh mengejar perkara yang akhirnya akan ditinggalkan. Sebaiknya di dalam kehidupan ini pastikan apa yang dilakukan memberi asbab kepada berolehnya hidayah daripada Allah, keredhaan dan keberkatan di dalam setiap amalan, diampunkan dosa oleh Allah.

Firman Allah di dalam Surah al-Kahfi, ayat 47-49, menjelaskan tentang hari terjadinya hari Kiamat iaitu hari diterbangkan bukit-bukau dan gunung-ganang, bumi diratakan dan manusia dikumpulkan tanpa ada yang terkecuali. Allah mula membawa manusia berada di dalam keadaan berbaris-baris. Pada hari tersebut tidak akan ada makhluk yang mampu melarikan diri kecuali mereka yang diberi kekuasaan oleh Allah SWT. Ketika dibangunkan di padang Mahsyar, manusia berdiri dan datang kepada Allah di dalam keadaan kesunyian dan terasing serta tidak menyangka itulah janji Allah kepada diri mereka dahulu. Lalu pada waktu itu, Allah meletakkan segala kitab-kitab amalan masing-masing dan Allah berfirman, mereka yang telah melakukan kesalahan itu menundukkan kepala mereka di dalam keadaan takut dan gentar.

Di dalam hadis Rasulullah SAW menceritakan, takutnya manusia ketika itu hinggakan mukanya separas dengan telapak kaki mereka. Di dalam keadaan tunduk itu, mereka berkata, “Celakalah kami! Buku catatan amalan apakah ini? Tidak ada satu pun yang tertinggal, semua dicatat termasuklah perkara yang besar dan kecil sekali pun, semuanya di hitung disisi Allah.”

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hafiz Abu Ya’la al-Musolli menceritakan tentang Abu Hurairah menyebut, Rasulullah SAW menceritakan kepada para sahabat, apabila Allah selesai menciptakan langit dan bumi, maka diciptakan pula sangkakala yang kemudiannya diserahkan kepada malaikat Israfil. Setelah menerimanya, malaikat Israfil meletakkan sangkakala itu di mulutnya sambil menatap ke Arasy dan menunggu saat diperintahkan Allah untuk meniup sangkakala itu.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW menyebut pada hari Kiamat nanti manusia digolongkan kepada tujuh kelompok manusia. Pada hari yang panas kerana matahari berada sangat hampir di kepala mereka, tiba-tiba ada bayangan yang melindungi golongan ini yang menyebabkan mereka terselamat daripada keadaan yang dahsyat itu. Di antara mereka yang tergolong di dalam golongan ini ialah pemimpin yang adil berdasarkan al-Quran dan hadis, mereka yang membesar di dalam keadaan sentiasa beribadah kepada Allah, seorang yang hatinya terikat dengan masjid, seorang yang berkasih sayang kerana Allah SWT, seorang yang diajak oleh perempuan cantik dan kaya untuk berzina, lalu dia menolaknya kerana takut kepada Allah, dan mereka bersedekah dengan ikhlas di jalan Allah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 2 Jun 2016
Scroll to Top