CONTOHI AKHLAK RASULULLAH DALAM HAYATI SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 

KUALA LUMPUR, 11 September (IKIM) – Akhlak dan pekerti mulia yang telah ditunjukkan oleh Baginda Nabi SAW wajar menjadi panduan dan amalan dalam kehidupan setiap individu muslim terutamanya dalam konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang agama dan bangsa. 

Sempena sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024M pada 16 September ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar mengajak umat Islam di Malaysia menghayati semangat sambutan Maulidur Rasul agar dapat mencontohi dengan sepenuh hati apa yang telah dilakukan oleh Baginda Nabi SAW dalam aspek akhlak dan pekerti mulia. 

“Dalam konteks kepelbagaian agama dan bangsa, gambaran sejarah Nabi dalam mentadbir dan menjadi pemimpin di Madinah yang mempunyai berbilang bangsa dan agama dengan adanya Piagam Madinah wajar dicontohi” kata beliau ketika ditemui pemberita IKIMfm sewaktu siaran langsung rancangan Dari Hati di IKIMfm, pada Isnin (9 September).

Dalam membina gagasan Malaysia Madani yang diasaskan oleh YAB Perdana Menteri, sudah tentu apa yang dilakukan dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dengan cara berinteraksi dengan akhlak dan adab yang mulia sehingga masyarakat bukan Islam terpegun dan mudah berinteraksi dengan Baginda seharusnya menjadi panduan dalam kehidupan hari ini. 

Beliau dalam kesempatan itu turut mengajak umat Islam di Malaysia untuk memeriahkan acara sambutan Malam Cinta Rasul yang bakal berlangsung di Dataran Putra, Putrajaya pada 15 September 2024 jam 7 malam serta program Karnival Healing De’ Masjid yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula 13-16 September 2024.

WhatsApp
Scroll to Top